Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan jaminan bahawa penyakit Hansen atau lebih dikenali sebagai kusta di Kuala Pilah, Negeri Sembilan adalah terkawal dan pesakit kusta juga tidak perlu lagi untuk diasingkan kerana terdapat rawatan yang berkesan.
Menurut KKM, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan telah menjalankan saringan ke atas 368 orang daripada 460 orang penduduk sehingga 19 Februari 2025 sebagai langkah dalam mempergiat pengesanan kes kusta di Kampung Chergun dan Kampung Guntur, Kuala Pilah, Negeri Sembilan selain mengesan kes secara bersasar di lapangan sejak Julai 2024.
Sehingga kini, sebanyak sembilan kes disahkan kusta dan kesemua pesakit telah diberikan rawatan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Menurut KKM, seorang pesakit yang berusia 18 tahun dari Kampung Chergun telah meninggal dunia pada 17 Februari lalu.
“Sebelum itu, pesakit telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) setelah mengalami gejala demam, sakit perut, muntah dan diberikan rawatan sewajarnya oleh Pakar Perubatan Dalaman HTAN serta khidmat perundingan daripada pihak Gastroenterologi, Hepatologi dan Dermatologi.
Walau bagaimanapun, KKM memaklumkan bahawa aktiviti pengesanan kes dan kontak serta langkah pencegahan dan kawalan jangkitan masih diteruskan.
Justeru itu, KKM ingin menyeru masyarakat agar memberikan kerjasama kepada pasukan kesihatan semasa aktiviti pengesanan kes dijalankan.
Mana-mana individu yang mempunyai gejala seperti penyakit kusta juga perlu mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan berhampiran.
Penyakit kusta ialah sejenis penyakit berjangkit kronik yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium Leprae yang menyerang kulit, membran mukosa dan saraf periferal.
Bakteria ini disebarkan melalui titisan cecair yang tersebar ke udara daripada pesakit kepada kontak rapat yang terdedah dalam tempoh yang lama.
Purata tempoh inkubasi jangkitan adalah panjang dan boleh mencecah sehingga 30 tahun.
Penyakit ini boleh dirawat dengan pengambilan harian multidrug therapy (MDT) untuk tempoh enam hingga 18 bulan.
Namun begitu, jika terlewat atau tidak mendapatkan rawatan, pesakit boleh mendapat komplikasi seperti buta, kelemahan dan kecacatan kekal di otot kaki dan tangan.