Diterbitkan pada 14 Februari 2025, 11:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia menunjukkan perkembangan positif dalam peralihan ke platform digital dengan sumbangan ekonomi digital lebih dari 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2023 dan dijangkakan melebihi 25 peratus pada tahun ini.

Industri pelancongan negara kini berkembang pesat melalui pelancaran platform Interactive Virtual Tourism (IVT) sebagai inisiatif terbaharu dalam pelancongan maya interaktif.

IVT merupakan konsultasi maya yang direka khusus untuk meningkatkan kepercayaan dan mengukuhkan keterlibatan pelanggan serta untuk menghapuskan penipuan dalam transaksi pelancongan.

Dalam usaha memperkenalkan kaedah baharu ini, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dengan kerjasama Instan Exhibition Sdn. Bhd. (Instan) dan Vypa Malaysia Sdn. Bhd. (Vypa) telah menganjurkan Taklimat Media Pelancongan Maya Interaktif (IVT) di Hotel Corus, Kuala Lumpur.

Presiden MATA, YBhg. Dato’ Seri Dr. Mohd. Khalid Harun dalam ucapannya menyatakan bahawa IVT bukan sekadar platform tetapi penyelesaian kepada cabaran terbesar dalam industri pelancongan, iaitu kepercayaan.

Presiden MATA, YBhg. Dato’ Seri Dr. Mohd. Khalid Harun,

“Dengan membolehkan komunikasi langsung antara pelancong dengan ejen yang disahkan, kami menjadikan tempahan pelancongan lebih selamat dan telus,” ujar YBhg. Dato’ Seri Dr. Mohd. Khalid Harun.

IVT memungkinkan interaksi secara bersemuka antara pelancong dengan profesional pelancongan yang disahkan, memastikan pengalaman tempahan yang selamat dan boleh dipercayai.

Platform ini juga menyediakan penyelesaian kepada peningkatan kes penipuan pelancongan dengan membantu pengguna mengesahkan ejen sebelum membuat komitmen.

Empat manfaat utama IVT termasuklah meningkatkan kepercayaan pelanggan, mencegah penipuan, meningkatkan jualan untuk agensi dan menyediakan kemudahan serta aksesibiliti yang lebih baik.

Dengan meningkatkan kepercayaan pelanggan, IVT membolehkan pelancong untuk berunding secara langsung dengan ejen pelancongan yang disahkan sebelum membuat tempahan yang bertujuan menghapuskan ejen palsu dan penipuan pelancongan melalui interaksi langsung yang disahkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Instan, YBhg. Dato’ Kaartik Kulanthavelu dan Ketua Pegawai Eksekutif Vypa, Encik M. Vijjayandran dalam taklimat tersebut menyatakan kepercayaan bahawa IVT akan memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi digital industri pelancongan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Instan Exhibition Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Kaartik Kulanthavelu,

Mereka juga menekankan kepentingan IVT dalam konteks menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 dan platform ini diharapkan dapat meningkatkan kredibiliti dan menarik lebih banyak pelanggan ke Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai IVT dan manfaatnya kepada perniagaan anda, layari www.mata.travel atau hubungi melalui email ke [email protected].

IVT dijangka akan mengubah landskap pelancongan Malaysia.

Majlis turut dihadiri oleh Presiden MATA, YBhg. Dato’ Seri Dr. Mohd. Khalid Harun; Timbalan Presiden MATA, YBhg. Dato’ Jeffri Sulaiman; dan Ahli Jawatankuasa Majlis Eksekutif MATA, Encik Ahmad Jafri Ngah Ali bersama-sama Encik Muhammad Saufi Anas dan Puan Rohaizah Hamzah sebagai tenaga pembantu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi