Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajang – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat mencemar duli bagi merasmikan Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak serta menjenamakan semula Hospital Kajang kepada Hospital Tengku Permaisuri Norashikin hari ini.
Baginda menitahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mempertimbangkan semua penambahbaikan fasiliti sedia ada bagi menyelesaikan masalah kekurangan katil di beberapa hospital utama di negeri ini.
“Langkah itu perlu diambil kerana kepenggunaan katil di beberapa hospital utama kini amat tinggi, sehinggakan terdapat pesakit yang tidak dapat ditempatkan di katil apabila dimasukkan ke wad. Beta turut menitahkan KKM untuk mempertimbangkan pembinaan lebih banyak klinik kerajaan baharu di kawasan yang strategik bagi membolehkan rakyat mendapat akses yang lebih meluas kepada rawatan kesihatan yang dikenakan caj berpatutan,” titah baginda.
Menteri Kesihatan Malaysia Yang Berhormat (YB) Dr. Dzulkefly Ahmad pula berkata, Pembangunan Pusat Rawatan ini adalah suatu langkah besar yang sangat dinantikan, terutamanya oleh hampir 1.4 juta penduduk di sekitar Kajang dan daerah Hulu Langat.
“Projek ini pastinya memberikan impak positif kepada sistem penjagaan kesihatan di daerah ini, utamanya bagi mengurangkan kesesakan di bangunan lama yang telah berusia lebih 136 tahun,” ujarnya lagi.
Dengan kos pembinaan RM287 juta, projek ini dibangunkan di atas tanah seluas 5.43 ekar dan terdiri daripada sembilan tingkat serta dilengkapi dengan sebanyak 272 katil yang menawarkan pelbagai kepakaran, termasuklah unit rawatan rapi dan penjagaan khas.
Beliau berkata, selaras dengan inisiatif pendigitalan sektor kesihatan negara, pusat rawatan ini menggunakan Sistem Pengurusan Pesakit (SPP) seperti sedia ada di bangunan utama hospital dan pada masa yang sama turut dilengkapi dengan versi terkini penggunaan teknologi kecerdasan buatan.
“Pendekatan pintar ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi hospital dan pemantauan rawatan yang lebih sistematik, malah turut memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih pantas, tepat dan mesra pengguna,” ujarnya.
Katanya, kompleks baharu ini turut dilengkapi dengan sistem tiub pneumatik yang membolehkan penghantaran sampel perubatan dan ubat dilakukan dengan lebih pantas, cekap dan selamat.
Sistem ini diguna pakai di setiap aras dalam bangunan yang membolehkan sampel perubatan dapat terus dihantar ke makmal tanpa pelibatan secara manual oleh kakitangan.
“Secara tidak langsung, sistem ini mengurangkan masa pemprosesan ujian, mempercepatkan diagnosis pesakit dan seterusnya meningkatkan kualiti penjagaan pesakit. Semoga inisiatif ini dapat terus memperkukuh sistem kesihatan negara demi kesejahteraan rakyat,” kata YB Dr. Dzulkefly Ahmad lagi.