Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Bahagian Geografi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited dalam meningkatkan kesedaran serta pemahaman masyarakat terhadap cabaran alam sekitar global melalui penganjuran program bertemakan “Alam Sekitar dan Kelangsungan Hidup Manusia: Memastikan Keselamatan Bumi dalam Menghadapi Cabaran Global”.
Fokus utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai isu kritikal alam sekitar seperti perubahan iklim, pencemaran dan kehilangan biodiversiti, selain membincangkan langkah penyelesaian bagi memastikan kelangsungan hidup manusia sejajar dengan prinsip kelestarian alam serta Matlamat Pembangunan Mampan.
Penceramah jemputan, Pensyarah Kanan dari Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ricky Anak Kemarau berkongsi pandangan serta kepakaran mengenai kesan perubahan iklim terhadap alam sekitar dan kepentingan tindakan proaktif dalam menangani cabaran ekosistem global.

Beliau menekankan bahawa usaha pembangunan tidak boleh dilakukan secara berlebihan sehingga mengabaikan keseimbangan alam sekitar yang menjadi asas kepada kelangsungan hidup manusia.
“Setiap keputusan pembangunan harus mengambil kira kesan jangka panjang terhadap sumber semula jadi kerana kemajuan yang dicapai pada hari ini tidak bermakna jika bumi menjadi semakin terancam,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pemuliharaan bukan sekadar tanggungjawab kerajaan atau badan bukan kerajaan, malah perlu melibatkan semua lapisan masyarakat, termasuklah sektor swasta dan individu.
Sebagai institusi yang mengutamakan agenda kelestarian, USM terus menyokong usaha pemerkasaan ilmu serta kesedaran masyarakat dalam aspek pemuliharaan alam sekitar.
Program ini secara langsung menyumbang kepada beberapa Matlamat Pembangunan Mampan melalui perbincangan isu alam sekitar serta penyelesaian holistik yang dapat memperkukuh pemahaman masyarakat mengenai kepentingan kelestarian.
Peserta turut diberikan peluang untuk berinteraksi serta mengemukakan soalan bagi mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai peranan individu dan masyarakat dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
Program akademik ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan pelajar, ahli akademik, komuniti serta staf yang mengikuti sesi secara dalam talian melalui platform Webex.