Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Bersempena dengan Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari pada setiap tahun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkongsikan sepuluh jenis kanser yang paling tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia seperti yang dilaporkan dalam Malaysia National Cancer Registry Report (MNCR) untuk tahun 2017 hingga tahun 2021.
Data tersebut menunjukkan bahawa kanser payudara, kolorektal dan paru-paru ialah tiga jenis kanser yang paling banyak dihidapi oleh rakyat Malaysia.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini, KKM menekankan pentingnya menjalani saringan kanser secara berkala sebagai langkah proaktif untuk pengesanan awal yang dapat menyelamatkan nyawa.
KKM juga menyarankan amalan gaya hidup sihat yang meliputi pemakanan yang seimbang, aktiviti fizikal secara teratur serta menghindari rokok dan alkohol.
Menurut KKM,
Hari Kanser Sedunia pada tahun ini yang membawa tema “United By Unique” merupakan refleksi dari usaha global untuk menghadapi kanser dengan memahami keunikan setiap individu dan cabaran yang dihadapi, mengukuhkan semangat kebersamaan dan memberikan perhatian lebih kepada mereka yang terkesan akibat kanser.
“Orang ramai disaran untuk menjalani saringan bagi tujuan pengesanan kanser lebih awal kerana tindakan ini dapat menyelamatkan nyawa dan rawatan awal dapat diberikan,” jelas KKM dalam hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebooknya.
Selain itu, menurut KKM, kempen tahun ini adalah tentang memahami keunikan dan cabaran bagi setiap individu yang menentang kanser.

KKM juga dengan tegas menekankan pentingnya pendidikan kesihatan dan peningkatan kesedaran masyarakat sebagai langkah utama dalam memerangi penyebaran kanser dengan menyatakan bahawa maklumat dan pendidikan yang efektif merupakan kunci untuk pencegahan dan pengesanan awal penyakit ini.