Diterbitkan pada 4 Februari 2025, 13:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pengangkutan telah menjadi asas penting dalam pembangunan masyarakat bagi memudahkan perjalanan dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain. Bermula daripada inovasi penciptaan roda, pengangkutan darat kini telah berkembang ke arah kepada teknologi pengangkutan moden dengan manusia yang terus berinovasi untuk meningkatkan mobiliti dan ketersambungan. Hal ini juga mendorong perkembangan ekonomi sesebuah negara. Kenderaan bermotor menjadi pilihan utama masyarat pada masa kini kerana menawarkan kemudahan, keselesaan, fungsi dan kecekapan yang menyokong penggunaannya.

Pergantungan kepada pengangkutan bermotor ini membawa kesan yang negatif terhadap alam sekitar. Kenderaan bermotor merupakan penyumbang utama kepada pelepasan gas rumah hijau yang memberikan kesan yang buruk terhadap iklim, menurunkan kualiti udara dan air, meningkatkan pencemaran bunyi serta mengancam habitat semula jadi dan biodiversiti. Pada peringkat global, pengangkutan bermotor menyumbang hampir satu perempat daripada jumlah pelepasan karbon dioksida dan memberikan impak yang besar kepada alam sekitar.

Sebagai tindak balas terhadap cabaran ini, pengangkutan mampan merupakan alternatif yang dapat meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar dan pada masa yang sama, menggalakkan mobiliti yang inklusif. Konsep bandar pintar (smart city) dan Internet benda atau Internet of things (IoT) semakin mendapat perhatian dalam kalangan industri, penggubal dasar dan penyelidik. Gabungan konsep bandar pintar dan IoT ini menjadi pemacu dalam merevolusikan sistem pengangkutan mampan.

Teknologi ini memanfaatkan sistem pengangkutan pintar dan penyelesaian mobiliti pintar untuk mengurangkan jejak karbon serta meningkatkan kecekapan rangkaian pengangkutan amnya di bandar. Strategi pengangkutan mampan menekankan pentingnya mengekalkan daya saing ekonomi sesebuah wilayah dan pada masa yang sama, memelihara sumber semula jadi untuk generasi akan datang. Dalam erti kata lain, pengangkutan mampan memastikan pergerakan yang cekap tanpa menjejaskan kemampuan generasi masa hadapan untuk memenuhi keperluan mobiliti mereka.

Basikal elektrik yang lebih dikenali sebagai e-basikal merupakan alternatif pengangkutan mampan yang menawarkan keunikannya tersendiri. E-basikal menggabungkan pengayuh tradisional dengan motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri. Sistem motor ini akan berfungsi semasa mengayuh, sekali gus mengurangkan usaha fizikal yang diperlukan oleh penunggang dan mempercepatkan perjalanan. Ciri ini menjadikan e-basikal sebagai pilihan yang efisien untuk perjalanan jarak jauh atau di kawasan yang mencabar selain menawarkan kecekapan tenaga yang berbeza daripada basikal konvensional.

E-basikal telah berkembang pesat dalam dua jenis kategori utama,  iaitu basikal yang membantu kuasa pedal penunggang (pedelec) dan basikal yang ditambah dengan pendikit. Kedua-dua jenis ini mengekalkan keupayaan untuk dikayuh oleh penunggang dan menjadikannya berbeza daripada motosikal elektrik. E-basikal yang dilengkapi dengan bateri yang boleh dicas semula memerlukan masa pengisian antara enam jam hingga lapan jam. Jarak perjalanan yang mampu dicapai adalah antara 35 kilometer hingga 50 kilometer.

Populariti e-basikal telah meningkat dengan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya di negara Kesatuan Eropah. Jualan di sana telah mencapai 5.1 juta unit yang menunjukkan peningkatan sebanyak sepuluh kali ganda daripada tahun 2009 hingga tahun 2021. Menjelang tahun 2025, hasil daripada jualan e-basikal pada peringkat global dijangka akan meningkat kepada sekitar RM97.6 bilion (USD24.4 bilion).

Di China, dianggarkan 90 peratus daripada penjualan e-basikal berlaku dengan sekitar 170 juta unit digunakan untuk tujuan perjalanan harian oleh komuniti setempat. E-basikal pertama kali menjadi popular di China selepas kerajaan menjadikan pembangunan e-basikal sebagai matlamat teknologi rasmi pada tahun 1991. Menjelang tahun 2016, China telahpun menjadi negara pengguna dan pengeluar e-basikal terbesar di dunia.

Trend meningkatnya penggunaan e-basikal menunjukkan pengiktirafan yang semakin meluas terhadap e-basikal sebagai mod pengangkutan yang cekap, mampan dan menyokong gaya hidup sihat. Dalam usaha mencari penyelesaian untuk mobiliti bandar yang mampan, e-basikal mewakili satu daripada langkah penting dalam mengurangkan kesan negatif kepada alam sekitar dan mendukung penggunaan pengangkutan harian yang lebih bertanggungjawab. Pada masa yang sama, e-basikal juga menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat.

 

Kesan Pengunaan E-Basikal terhadap Kelestarian dan Kesejahteraan

E-basikal menggabungkan mekanik basikal tradisional dengan komponen teknologi yang canggih seperti motor elektrik, bateri dan sistem kawalan. Gabungan ini meningkatkan pengalaman menunggang dengan menyediakan bantuan motor kepada penunggang.

Bateri menggerakkan motor yang diaktifkan, sama ada apabila penunggang mengayuh atau menggunakan pendikit untuk menghasilkan pergerakan yang lebih lancar dan mengurangkan keperluan usaha fizikal. Ciri ini sangat berguna untuk mengatasi laluan cerun curam, memandu ke arah medan yang tidak rata atau menjalani perjalanan yang jauh.

Oleh itu, e-basikal merupakan pilihan yang ideal bagi individu yang mencari penyelesaian yang mudah dan cekap untuk perjalanan jarak jauh atau berbasikal untuk tujuan rekreasi. E-basikal juga menggabungkan kepraktisan dengan pengurangan usaha yang diperlukan oleh penunggang.

Kesan terhadap Alam Sekitar

E-basikal ialah mod pengangkutan yang sangat mampan dan mesra alam yang menawarkan pelbagai manfaat dalam mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan bahan berbahaya berbanding dengan kenderaan bermotor. Menurut kajian penilaian kitaran hayat di China, e-basikal menggunakan kira-kira 90 peratus lebih sedikit tenaga dan mengeluarkan 86 peratus hingga 95 peratus lebih sedikit bahan pencemar berbanding dengan kereta persendirian. Keadaan ini menjadikan pengurangan pembebasan karbon dioksida antara 60 peratus hingga 93 peratus, setanding dengan penggunaan pengangkutan awam dari segi kecekapan alam sekitar. Tambahan pula, e-basikal menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam mengurangkan pelepasan PM2.5 (merujuk kepada bahan partikulat; partikel halus) yang merupakan faktor penting dalam menangani cabaran pencemaran udara di bandar.

Dalam usaha menangani perubahan iklim, e-basikal terbukti berkesan sehingga 10 kali hingga 30 kali lebih cekap berbanding dengan kereta elektrik penggunaan tenaga dan sumber dengan efisien. Di samping itu, e-basikal mampu merentasi jarak antara 30 kali hingga 100 kali lebih jauh bagi setiap unit bateri berbanding dengan kenderaan elektrik. Kajian kes di California, Amerika Syarikat menunjukkan bahawa e-basikal menghasilkan 40 kali hingga 140 kali lebih sedikit gas rumah hijau berbanding dengan kereta berkuasa petrol dengan kecekapan bahan api 30 batu setiap gelen. Fakta ini mengukuhkan lagi prestasi e-basikal sebagai pilihan yang ideal untuk pengangkutan bandar yang mesra alam.

Bukan itu sahaja, satu daripada kelebihan tambahan e-basikal ialah operasinya yang senyap berbanding dengan kenderaan bermotor, lalu menjadikan e-basikal sebagai pilihan yang lebih ideal untuk mengurangkan pencemaran bunyi di kawasan bandar amnya. Ciri ini juga menjadikan penggunaan e-basikal dapat mewujudkan persekitaan yang lebih tenang dan harmoni serta pada masa yang sama memainkan peranan penting dalam mempromosikan bandar yang lebih aman dan kondusif untuk didiami.

Pendekatan ini amat relevan di kawasan berpenduduk padat apabila bunyi bising yang berlebihan boleh memberikan kesan yang negatif terhadap kesihatan dan kualiti hidup penduduk. Pengintegrasian e-basikal dalam pelan pengangkutan bandar boleh meningkatkan kemampanan sambil mencipta persekitaran yang lebih tenang dan sihat. Inisiatif ini juga mampu menggalakkan kesejahteraan penduduk dan berpotensi untuk mentransformasi kehidupan bandar ke arah komuniti yang lebih mampan dan harmoni.

Kesan terhadap Kesihatan

E-basikal menawarkan gabungan yang unik antara kemudahan dengan aktiviti fizikal yang memberikan manfaat kesihatan yang ketara dan menjadikannya alternatif yang menarik berbanding dengan kaedah pengangkutan konvensional. Walaupun dilengkapi dengan bantuan motor,  e-basikal masih boleh mengekalkan kayuhan normal sebagai elemen utama operasi bagi memastikan pengalaman berbasikal yang autentik di samping memberikan fungsi tambahan yang efisien apabila diperlukan oleh penunggang.

Oleh itu, e-basikal dapat menggalakkan pengguna untuk terlibat dalam aktiviti fizikal secara berkala. Walaupun tenaga fizikal yang diperlukan mungkin kurang intensif daripada penggunaan basikal tradisional, namun e-basikal tetap memberikan manfaat kesihatan kepada pengguna antaranya meningkatkan kesihatan kardiovaskular, memperbaiki tonus otot dan meningkatkan tahap tenaga.

Selain itu, e-basikal sangat bermanfaat bagi individu yang mungkin menghadapi kesukaran dengan berbasikal tradisional seperti warga emas, individu pasca kecederaan atau individu yang mempunyai tahap kecergasan yang terhad. E-basikal menyediakan penyelesaian yang  praktikal,  inklusif dan mesra pengguna yang membolehkan mereka menikmati aktiviti berbasikal sambil mengurangkan tekanan fizikal. Di samping itu, penggunaan e-basikal dapat mengabungkan senaman dalam rutin harian penunggang serta memberikan sumbangan yang bermakna kepada kesihatan dan kesejahteraan secara menyeluruh.

Ketidakaktifan fizikal telah menjadi isu global yang mendesak dan mendorong penyelidikan yang meluas dalam kajian perjalanan aktif sebagai satu daripada cara untuk meningkatkan kesihatan masyarakat. Kajian mendapati bahawa terdapat perkaitan yang positif antara amalan berulang-alik secara aktif yang menawarkan pelbagai manfaat kesihatan seperti penurunan indeks jisim badan (BMI) dan pengurangan risiko diabetes. Kajian turut menekankan bahawa menggabungkan aktiviti berbasikal ke dalam rutin aktiviti harian dapat mengurangkan kadar kematian dalam kalangan masyarakat yang disebabkan oleh pelbagai faktor penyakit seperti kanser dan penyakit kardiovaskular.

Amalan aktiviti berulang-alik secara aktif memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan individu yang mempunyai tahap aktiviti fizikal yang rendah. Kajian menunjukkan bahawa amalan ini boleh menambah kira-kira 73 minit aktiviti fizikal sederhana pada setiap minggu bagi lelaki dan 105 minit bagi wanita yang menghidap diabetes tahap dua berbanding dengan mereka yang menggunakan pengangkutan bermotor.

Satu kajian yang telah dijalankan di Australia mengenai penggunaan e-basikal juga menunjukkan manfaat yang ketara dalam kesihatan fizikal dan mental. Hasil kajian melaporkan berlakunya peningkatan yang ketara dalam kesejahteraan mental responden, termasuklah peningkatan tahap kebahagiaan, perasaan hubungan sosial yang lebih erat dan ikatan yang lebih kuat dengan alam semula jadi.

Kajian juga mendapati bahawa melibatkan diri dalam aktiviti e-basikal dapat memupuk rasa kesejahteraan yang tinggi dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan motivasi dalam pelbagai aspek kehidupan responden. Dari segi faedah fizikal, responden mengalami peningkatan tahap kecergasan, peningkatan kekuatan otot, tahap tenaga yang lebih tinggi dan mengalami penurunan berat badan akibat peningkatan aktiviti fizikal melalui penggunaan e-basikal secara konsisten.

Bantuan bermotor yang disediakan oleh e-basikal terbukti menjadi faktor utama yang memudahkan kayuhan, sekali gus menggalakkan lebih banyak individu untuk mengambil bahagian dalam aktiviti berbasikal. Ciri ini amat bermanfaat bagi individu yang mungkin mendapati bahawa basikal tradisional terlalu membebankan dari segi fizikal.

Selain itu, respond berkongsikan pengalaman positif mengenai penggunaan e-basikal dan mendorong mereka untuk menyokong dan menggalakkan orang lain untuk memilih mod pengangkutan alternatif ini, seterusnya, dapat memperkukuhkan impak komuniti e-basikal dengan menunjukkan potensi besar dalam mengubah landskap mobiliti bandar sambil menyumbang kepada komuniti yang lebih sihat secara menyeluruh.

Kesan terhadap Keselamatan

Semua jenis pengangkutan mempunyai risiko tertentu semasa dipandu di jalan raya, walaupun kawasan tersebut dilengkapi dengan infrastruktur yang canggih dan baik. Walaupun pelbagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga telah dilaksanakan, kemalangan dan bahaya yang tidak dijangka tetap menjadi realiti dan tidak dapat dielakkan.

Seperti mana pejalan kaki dan penunggang basikal, pengguna e-basikal juga boleh dikategorikan sebagai golongan yang terdedah kepada kemalangan jalan raya. Tambahan pula, kelajuan e-basikal adalah lebih tinggi dan penunggang e-basikal lebih terdedah kepada risiko kecederaan yang lebih serius

Namun demikian, apabila membandingkan aspek keselamatan, antara e-basikal dengan kenderaan bermotor, e-basikal dianggap sebagai pilihan alternatif yang lebih selamat dalam pelbagai situasi. Persepsi ini disebabkan oleh kelajuan e-basikal yang lebih rendah dan dapat mengurangkan tahap keterukan jika berlaku.

Selain itu, e-basikal lebih mudah dikemudi apabila melalui lalu lintas dan mudah untuk mengelak sebarangan halangan, sekali gus meminimumkan risiko kemalangan. Selain itu, e-basikal boleh menggunakan lorong khas basikal yang terpisah daripada aliran kenderaan bermotor yang lebih laju dan berat, sekali gus mengurangkan risiko dan meningkatkan keselamatan bagi penunggang e-basikal..

Walau bagaimanapun, perbandingan aspek keselamataran antara e-basikal dengan kenderaan bermotor bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana kedua-duanya memerlukan pertimbangan dalam pelbagai faktor penting yang saling mempengaruhi. Hal ini termasuklah keadaan dan reka bentuk jalan, kualiti infrastruktur basikal, tahap tingkah laku dan pengalaman penunggang serta pematuhan penunggang terhadap undang-undang dan peraturan lalu lintas.

Selain itu, faktor luaran seperti kepadatan lalu lintas, keadaan cuaca dan keterlihatan juga boleh memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keselamatan lalu lintas.. Penilaian menyeluruh terhadap faktor ini akan memberikan pemahaman yang lebih jelas tentang keselamatan e-basikal sebagai pilihan pengangkutan yang mampan dan praktikal serta membantu memaksimumkan potensi penggunaanya untuk meningkatkan mobiliti dan keselamatan di kawasan bandar.

Kesimpulannya, e-basikal merupakan pilihan pengangkutan yang transformatif dan praktikal yang mampu mengurangkan kesan kepada alam sekitar, meningkatkan kesihatan awam dan menggalakkan mobiliti bandar yang lebih selamat serta mampan. Melalui pengadaptasian teknologi ini, bandar dapat bergerak ke arah mencapai objektif kemampanan sambil memupuk komuniti yang lebih sihat dan terhubung.

Yushafika Roshaini Yuzaile,
Pelajar Sarjana,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ts. Nur Fezah Yahya,
Felow Industri,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff,
Pensyarah Kanan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi