Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 2 Februari 2025, 13:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667) mula berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 1 Februari 2025 dalam usaha menambah baik serta memantapkan pengurusan hutan simpanan kekal (HSK) dan penguatkuasaan hutan.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat (YB) Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, penguatkuasaan tersebut dilaksanakan serentak dengan penguatkuasaan Kaedah-kaedah Perhutanan Negara (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025 [P.U.(A) 50/2025] yang mengandungi peruntukan bagi melaksanakan proses siasatan awam sebelum sesuatu kawasan HSK di Wilayah Persekutuan diwarta keluar.

Penguatkuasaan P.U.(A) 50/2025 menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai negeri kedua yang mempunyai perundangan dan prosedur bagi menjalankan siasatan awam sebelum pewartaan keluar HSK selepas negeri Selangor.

Selain itu, beliau dalam kenyataannya semalam turut memaklumkan bahawa kaedah tersebut memperincikan proses kerja pada peringkat sebelum, semasa dan selepas siasatan awam dijalankan.

Tambah beliau lagi, pada masa ini undang-undang tersebut boleh dijadikan rujukan kepada negeri lain yang sedang menggubal perundangan subsidiari masing-masing bagi menguatkuasakan Akta A1667.

Beliau menjelaskan bahawa setakat ini, keluasan keseluruhan HSK di Wilayah Persekutuan ialah 152.97 hektar yang merangkumi 84.689 hektar di Kuala Lumpur dan 68.281 hektar di Labuan.

Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) sedang berusaha untuk menambah keluasan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan dengan mewartakan kawasan Bukit Dinding, Mukim Ulu Kelang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berkeluasan 20.05 hektar.

“Melalui pewartaan berkenaan, kawasan ini akan dapat dilindungi dan dikekalkan sebagai kawasan hijau, selain boleh bertindak sebagai “paru-paru hijau” bagi kawasan di sekitarnya,” katanya.

“Pewartaan ini juga akan meningkatkan keluasan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan khususnya dan negara amnya, sekali gus menyokong komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan litupan hutan dan pokok,” ujarnya lagi.

Di samping itu, beliau percaya bahawa pelaksanaan Akta A1667 dan perundangan subsidiari P.U.(A) 50/2025 akan memantapkan pengurusan kawasan HSK dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap khazanah hutan negara.

Pelaksanaan dasar ini dijangka dapat mengukuhkan kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen kerajaan persekutuan dalam usaha menangani isu yang berkaitan dengan sosial, ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar secara berkesan.

Sementara itu, penguatkuasaan Akta A1667 mengandungi pindaan 62 peruntukan dalam Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), iaitu undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran, pengurusan dan pemuliharaan hutan serta pembangunan perhutanan di Semenanjung Malaysia.

Antara pindaan yang signifikan dalam undang-undang tersebut termasuklah peningkatan kadar denda dan hukuman ke atas kesalahan hutan, iaitu denda maksimum bermula RM20 ribu hingga RM5 juta berbanding dengan hukuman pada peruntukan asal, yakni antara RM10 ribu hingga RM500 ribu serta hukuman penjara maksimum dinaikkan kepada tujuh tahun hingga 20 tahun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi