Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima lawatan ilmiah daripada pelajar Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) daripada usaha berterusan kedua-dua institusi untuk memperkasa pengetahuan dan kemahiran dalam bidang sains kesihatan, khususnya psikologi kesihatan.
Lawatan ini diketuai oleh dua orang pensyarah UNIRAZAK, Puan Edzati Kamaluddin dan Puan Norsinar Adilun bersama-sama 17 orang pelajar untuk untuk mendalami pengendalian dan perkhidmatan yang dijalankan di Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku.
Para pelajar dan pensyarah ini disambut oleh Ketua Program dan Pakar Psikologi Kesihatan, Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam dan Pegawai Psikologi Kesihatan yang bertanggungjawab sebagai Penyelaras klinik Psikologi Klinikal dan Kaunseling, Puan Syasya Mohd Ridwan Goh.

Acara dimulakan dengan sesi penerangan mendalam mengenai Perkhidmatan Penilaian Psikologi yang ditawarkan di UKM yang merangkumi penilaian kecerdasan dan fungsi kognitif melalui alat WAIS-IV serta penilaian lain menggunakan WMS-IV dan MPPI-2-RF.

Pelajar UNIRAZAK juga diberikan peluang untuk menyelami penggunaan alat ini melalui demonstrasi praktikal yang dijalankan oleh pakar psikologi UKM.
Selain itu, delegasi dari UNIRAZAK juga diberikan penerangan tentang peranan bilik terapi permainan yang digunakan untuk menilai dan memahami isu pembelajaran kanak-kanak dan mereka turut mengalami sesi kaunseling langsung melalui pemantauan dengan sistem televisyen litar tertutup (CCTV).

Kunjungan ini tidak hanya sebagai medium pertukaran ilmu tetapi juga sebagai platform untuk membina keupayaan pelajar dalam mengaplikasikan teori ke dalam praktikal, selaras dengan tujuan utama kedua-dua institusi untuk melahirkan ahli profesional sains kesihatan yang kompeten dan empati terhadap keperluan masyarakat.

“Kami berharap melalui lebih banyak kerjasama seperti ini, pelajar akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan dan seterusnya memberikan impak yang positif dalam bidang psikologi,” ujar Profesor Madya Dr. Ponnusamy dalam ucapannya.
Kunjungan ini juga menandakan satu lagi langkah positif dalam usaha memperkukuhkan silaturahim dan kolaborasi antara akademik dalam sektor pendidikan tinggi Malaysia dalam bidang sains kesihatan.