Diterbitkan pada 31 Januari 2025, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Durioo+ telah melancarkan platform penstriman versi terbaharu khusus untuk kanak-kanak Muslim dalam acara istimewa Durioo+ Experience di Pusat Sains Negara.

Melalui tema “Wajah Baharu, Lebih Padu, Senangkan Ibu”, versi ini memperkenalkan pelbagai ciri baharu yang direka untuk memperkayakan pengalaman pengguna.

Selain itu,  Durioo+ turut memperkenalkan maskot rasmi, iaitu Duri yang direka untuk menjadi peneman kanak-kanak sambil menggalakkan penggunaan aplikasi secara bijak dan menyeronokkan.

Aplikasi ini memaparkan reka bentuk baharu dengan susun atur yang lebih tersusun yang memudahkan kanak-kanak mencari kandungan kegemaran mereka.

Ujar Encik Sinan Ismail, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Durioo+,

Dengan fokus untuk memberikan pengalaman “Wajah Baharu, Lebih Padu, Senangkan Ibu”, Durioo+ berusaha muncul sebagai platform penstriman pilihan untuk generasi akan datang bagi kanak-kanak Muslim.

Menurut Encik Sinan lagi, platform ini menawarkan lebih daripada 120 siri animasi di bawah jenama Durioo Originals dan lebih daripada 13 000 buah video yang telah dipilih dengan teliti oleh panel ibu bapa Muslim untuk memastikan kesesuaian umur dan sejajar dengan nilai Islam.

Durioo+ menekankan perpaduan hiburan dan pendidikan, memupuk minat belajar sambil menanamkan prinsip Islam dalam jiwa kanak-kanak.

Tambah beliau lagi, misi utama Durioo+ adalah untuk membentuk generasi yang beriman, berakhlak, dan berilmu.

Tegas Encik Sinan,

Platform ini bertujuan untuk memupuk minda kanak-kanak dengan nilai Islam. Saya harap sasaran 67 000 orang pelanggan berbayar bagi tahun ini, iaitu 50 000 tempatan dan 17 000 antarabangsa mampu dicapai.

Selain itu, ciri interaktif baharu seperti DuDeen diperkenalkan untuk membantu kanak-kanak mempelajari doa harian, surah pendek dan ilmu fardu ain dengan cara yang menyeronokkan.

Fungsi kawalan ibu bapa turut dipertingkatkan agar ibu bapa berupaya memilih kandungan yang sesuai berdasarkan umur, minat dan bahasa pilihan anak-anak.

Durioo+ turut memperkenalkan DuMinis, iaitu mesej pendek sebelum setiap video yang mengajar nilai murni dan Durioo Games, permainan pendidikan interaktif yang mendidik sambil menghiburkan.

Melalui penggunaan teknologi Durioo Intelligence pula, aplikasi ini mampu mencadangkan kandungan berdasarkan minat kanak-kanak dengan lebih tepat menerusi fungsi carian, saluran khas dan halaman “For You”.

Semua kandungan juga ditapis sepenuhnya oleh Lembaga Penapisan Durioo (LPD) bagi memastikan setiap video yang dipaparkan selamat ditonton.

Durioo+ menekankan perpaduan hiburan dan pendidikan di samping memupuk minat belajar sambil menanamkan prinsip Islam dalam jiwa kanak-kanak.

Menurut Nuown Zainal merangkap pengasas bersama Durioo+, sejak pelancaran platform tersebut pada bulan Februari 2022, aplikasi ini telah memberikan manfaat besar kepada kanak-kanak di seluruh dunia.

Ujar beliau,

Kami sentiasa mendengar maklum balas daripada pengguna untuk menambah baik aplikasi ini. Wajah baharu ini ialah langkah kami untuk terus menyediakan kandungan berkualiti tinggi, selamat, serta mendukung nilai Islam sambil memudahkan ibu bapa.

Mengandungi lebih 13  000 video pelbagai genre, termasuklah animasi, dokumentari dan kandungan pendidikan, pengguna boleh mengakses aplikasi ini melalui telefon pintar, tablet, televisyen terpilih dan pelayar web.

Pelancaran wajah baharu tersebut turut diserikan dengan kehadiran penyanyi dan pelakon terkenal, iaitu Alif Satar yang telah dilantik sebagai duta Durioo+.

Alif Satar bersama-sama kanak-kanak dan tetamu yang terlibat dalam majlis pelancaran Durioo+ Experience di Pusat Sains Negara, baru-baru ini.

Turut hadir dalam acara tersebut ialah Ketua Pegawai Aplikasi dan Teknologi Durioo+, Encik Aditya Wirawan, .

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi