Diterbitkan pada 28 Januari 2025, 12:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Selaras dengan seruan Kerajaan untuk meneroka dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bekerjasama dengan rakan strategik bagi membangunkan dan menyediakan kemudahan bot sembang (chatbot) di platform WhatsApp dan portal Sebenarnya.my. 

Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil berkata inisiatif bot sembang yang diterajui oleh SKMM bakal berfungsi sebagai platform untuk membantu pengguna menyemak kesahihan maklumat yang disebarkan menerusi aplikasi tersebut. Kemudahan bot sembang ini adalah hasil kolaborasi strategik melibatkan pelbagai pihak, termasuk agensi-agensi Kerajaan, badan-badan penyiaran dan rakan-rakan industri teknologi. 

Bot sembang Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Pembantu Penyemak Fakta AI (AIFA) merupakan salah satu inisiatif SKMM untuk meningkatkan fungsi portal Sebenarnya.my, dengan tiga objektif utama, iaitu membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih dengan cepat dan mudah; mempercepat maklum balas terhadap maklumat tidak sahih dalam talian dan memperkukuh peranan Sebenarnya.my dalam menangani penyebaran maklumat palsu di Malaysia. 

“AIFA adalah alat penting untuk memperkasa rakyat dengan maklumat yang telah disahkan oleh pihak berwajib, dan mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar. Dengan kemudahan ini, pihak SKMM menawarkan kepada rakyat cara yang mudah, pantas dan boleh dipercayai untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima atau temui secara dalam talian,” ujar beliau sebelum melancarkan bot sembang Sebenarnya.my pagi tadi.

Menurut beliau, pelancaran ini sangat penting dan bermakna dalam usaha menggalakkan rakyat menyemak segala maklumat yang belum ditentusahkan dengan pantas. Beliau juga berkata bahawa inisiatif ini merupakan pencapaian besar dalam usaha berterusan untuk memerangi maklumat palsu dan memastikan maklumat sahih sentiasa disebar luas dalam era digital.

“Walaupun kemudahan teknologi berupaya menyebarluaskan maklumat dengan cepat, kita juga berdepan cabaran yang sukar untuk ditangani seperti maklumat palsu dan fitnah yang akhirnya mengancam kestabilan masyarakat dan negara tercinta,” jelas beliau 

 

“Kerajaan memandang serius isu keselamatan dalam talian dan akan terus mengambil pendekatan yang seimbang untuk menanganinya dengan mengambil kira latar belakang sosio budaya dan landskap perundangan negara,” tambah beliau lagi.

Berdasarkan data SKMM, jumlah kandungan berita palsu yang dikesan setelah melalui semakan fakta sepanjang tahun lalu mencecah hampir 20 ribu. 

Pada 2024, SKMM telah memohon penurunan 19,546 kandungan berita palsu daripada pelbagai platform dalam talian. Daripada jumlah itu, 17,245 kandungan diturunkan setelah turut disahkan sebagai berita palsu oleh kesemua platform terlibat. 

Pada tahun ini, setakat 27 Januari (semalam), SKMM memohon penurunan 1,575 kandungan berita palsu. Daripada jumlah tersebut, 1,233 kandungan berita palsu telah diturunkan oleh platform berkaitan. SKMM giat memperluas kerjasama erat dengan platform media sosial serta agensi penguatkuasa lain bagi menangani isu penyebaran maklumat palsu. Hasilnya, dari 2020 hingga 27 Januari 2025, sebanyak 25,114 kandungan berita palsu telah diturunkan oleh penyedia platform berdasarkan permohonan dan semakan yang dilakukan oleh SKMM.

Turut hadir di dalam majlis adalah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi SKMM, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif Kementerian Komunikasi, YBrs. Encik Nik Kamaruzaman Nik Husin; Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, YBrs. Encik Mano Verabathran dan Timbalan Pengarah Urusan SKMM, YBhg. Datuk Zurkarnain Mohd Yasin.

AIFA ialah pembantu penyemak fakta yang mesra pengguna yang boleh diakses 24 jam melalui portal dan WhatsApp. AIFA menggunakan algoritma dan pembelajaran mesin untuk memadankan maklumat dengan sumber yang boleh dipercayai, membolehkan pengesahan fakta pantas dan tepat. 

Selain itu, AIFA mendidik pengguna tentang literasi digital dan pemikiran kritis, menggalakkan penglibatan komuniti dan menyokong pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil. Buat masa ini, AIFA hanya menerima input dalam format teks, dengan potensi untuk menerima input pelbagai format pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi