Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) melaksanakan pemantauan khas bagi limau mandarin yang diimport sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Menurut KKM melalui kenyataannya semalam, pemantauan tersebut dilaksanakan di 70 buah pintu masuk negara sejak November 2024 yang lalu untuk memastikan semua limau mandarin yang diimport mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan (PPM 1985), Akta Makanan 1983.
“Hasil pemantauan yang dilakukan, sebanyak 243 sampel limau mandarin dianalisis dan sembilan sampel (3.7 peratus) didapati tidak mematuhi kadar maksimum residu racun perosak di bawah PPM 1985,” katanya.
Tambah pihaknya lagi, kesemua sampel limau mandarin yang melanggar PPM 1985 telah dilupuskan.
Setiap pengimport yang terbabit dalam pelanggaran tersebut akan dikenakan pemeriksaan tahap 5 (tahan, uji dan lepas) pada kemasukan seterusnya, di mana konsainan makanan akan ditahan bagi tujuan pensampelan.
Kelulusan pelepasan hanya akan diberikan sekiranya keputusan analisis mematuhi standard yang ditetapkan.
“PKKM mengingatkan semua pengimport makanan bertanggungjawab untuk memastikan makanan yang diimport mematuhi PPM 1985,” tegasnya.
Ujar pihaknya, negara China, Afrika Selatan, Jepun, Australia dan Mesir merupakan pengeksport utama limau mandarin ke Malaysia sepanjang tahun 2024 berdasarkan data Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM).
KKM turut menjalankan operasi khas, iaitu ‘Ops Tahun Baru Cina’ di seluruh negara bermula 19 Januari hingga 1 Februari untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran selamat dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983.
Selain itu, KKM memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan agar keselamatan makanan terjamin dan pengguna dilindungi.
“KKM komited dalam usaha memastikan keselamatan makanan terjamin terutamanya semasa musim perayaan utama negara seperti Tahun Baru Cina,” katanya.
Jelas pihaknya, pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung dengan sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).