Diterbitkan pada 23 Januari 2025, 10:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Dr. Nur Nasulhah Kasim telah merasmikan pelancaran laman Instagram baharu Persatuan Science X-SIS di Putra Regency Hotel, Kangar, Perlis.

Pelancaran Instagram baharu yang menggantikan laman instagram lama menandakan pencapaian besar dalam kemajuan Persatuan Science X-SIS yang mempunyai jumlah mahasiswa dan alumni terbanyak dalam Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis.

Mahasiswa program Diploma Sains merupakan ahli aktif Persatuan Science X-SIS yang mempelopori bidang biologi, kimia, fizik, sains gunaan dan teknologi juga merupakan penyumbang (feeder) kepada program ijazah sarjana muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) ke seluruh universiti tempatan dan antarabangsa.

YBrs Dr. Nur Nasulhah Kasim ketika menyampaikan ucapan pelancaran laman Instagram baharu Persatuan Science X-SIS di Putra Regency Hotel, Kangar, Perlis.

Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, Dr. Nur Nasulhah Kasim berkata bahawa pelancaran instagram baharu Persatuan Science X-SIS bakal merancakkan komunikasi antara ahli persatuan dengan alumni bagi memudahkan perancanganprogram yang boleh menyemarakkan bidang akademik dan bukan akademik dengan lebih berkesan.

“Kita menyedari bahawa media sosial pada hari ini memainkan peranan  yang signifikan, bukan sahaja untuk tujuan komunikasi dan medium menyampaikan maklumat berguna, malah menjadi jambatan penyatuan antara ahli dengan alumni persatuan“, kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Science X-SIS, Encik Wan Nong Shaqil Wan Nong Khairul menyatakan bahawa pelancaran laman Instagram baharu akan meningkatkan motivasi ahli aktif untuk memilih bidang STEM pada peringkat ijazah sarjana muda.

Encik Wan Nong Shaqil Wan Nong Khairul ketika menyampaikan ucapan di Putra Regency Hotel, Kangar, Perlis.

Menurutnya, laman Instagram baharu juga dapat memupuk minat bidang STEM, sekali gus meningkatkan jumlah graduan bidang untuk memacu negara sebagai penyumbang kepada teknologi masa depan dan tidak sekadar menjadi pengguna.

“Instagram baharu bakal menarik dan memupuk minat pengikut untuk melihat potensi bidang STEM, sekali gus menyokong hasrat kerajaan memastikan negara tidak ketandusanaintis dan pakar dalam bidang sains dan teknologi, “ kata beliau.

 

Gimik perasmian laman Instagram disempurnakan oleh Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Dr. Nur Nasulhah Kasim.

Justeru, perasmian laman instagram baharu Persatuan Science X-SIS menyokong saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang memastikan penawaran bakat STI kekal mapan untuk masa depan negara.

Menurut Penasihat Persatuan, Encik Sharir Aizat Kamaruddin, laman Instagram yang baharu akan diisi dengan pelbagai aktiviti persatuan, program STEM dan aktiviti bersama-sama alumni.

“Kami mendapati bahawa terdapat ahli persatuan dalam kalangan mahasiswa yang hilang minat untuk menyambung pengajian dalam bidang STEM pada peringkat ijazah sarjana muda dan diharapkan dengan adanya laman instagram yang baharu, usaha ini dapat menarik semula minat mereka untuk memilih bidang STEM pada peringkat pengajian seterusnya,“ kata beliau

Majlis pelancaran laman Instagram baharu Persatuan Science X-SIS berlangsung bersempena Majlis X-Sis Gala Night Dinner 2025 yang menghimpunkan lebih 175 tetamu yang terdiri daripada pensyarah, mahasiswa dan alumni program Diploma Sains.

Turut hadir ke majlis ini ialah Koordinator Program Fakulti Sains Gunaan, Dr. Rosyaini Afindi Zaman dan Dr. Faiezah Hashim serta Penasihat Persatuan, Puan Nur Syafiqah Rahim.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi