Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama Fakulti Sains Gunaan dan Kolej Alam Bina telah mengadakan program Alumni Talk, iaitu perkongsian kerjaya bersama-sama alumni UiTM Cawangan Perlis.
Dalam program tersebut, Juruukur Hidrografi Syarikat THS Geoscience Sdn. Bhd., Encik Muhammad Syawal berkongsikan maklumat dan pengalaman beliau tentang kerjaya dalam bidang sains geomatik.
Menurut beliau, graduan bidang sains geomatik mempunyai pelbagai pilihan kerjaya dalam bidang sains maklumat geografi (Geographic Information System, GIS) sebagai Pegawai Eksekutif atau Pegawai Teknikal.
Beliau juga menyatakan bahawa skop fungsi pegawai eksekutif lebih berkaitan dengan aspek kepimpinan dan perancangan pengurusan projek, manakala bagi pegawai teknikal pula lebih memerlukan kemahiran pengurusan aplikasi dan sokongan teknikal dalam bidang GIS.
Ujar beliau,
Walaupun gaji pegawai eksekutif bidang GIS lebih lumayan, namun pendapatan pegawai teknikal GIS disokong dengan pelbagai kemudahan kewangan seperti elaun tambahan lain
Selain itu, bidang kerjaya sebagai juruukur tanah mempunyai banyak cabaran seperti terdedah kepada cuaca buruk, terikat dengan peraturan, etika dan undang-undang badan berkuasa, peka terhadap kemajuan teknologi, perancangan masa dan telanan perasaan untuk menyiapkan projek serta masalah komunkasi antara pelanggan dan pihak berkepentingan.
Jelas beliau,
Graduan perlu mempunyai kemahiran hidup dan keyakinan diri yang tinggi kerana lokasi tempat bekerja dalam kerjaya ini amat mencabar seperti ketiadaan Internet, tidur di dalam khemah dan tiada makanan yang enak.
“Namun begitu, dengan latihan berterusan dan kemahiran komunikasi yang efektif mampu menjadikan pekerjaan ini menyeronokkan,” tambah beliau lagi.

Encik Muhammad Syawal Sabri juga memohon graduan yang meminati aspek pengumpulan data geospatial dan fizikal mengenai dasar laut, kawasan pesisir atau struktur bawah air boleh memilih kerjaya sebagai juruukur lautan.
Kata beliau,
Bidang kerjaya dengan gaji yang lumayan memberikan peluang kepada graduan untuk bekerja dalam persekitaran yang unik dalam usaha pembangunan infrastruktur kelautan dan pemeliharaan alam sekitar marin.
Beliau turut memberikan sinar harapan kepada para graduan untuk memilih kerjaya dalam bidang sains geomatik yang mempunyai kemahiran teknikal dan insaniah yang tinggi.
Pelajarilah banyak aplikasi, perisian dan teknologi terkini yang merangkumi penggunaan Unmanned Surface Vehicles (USVs), Multibeam Echosounder, ub-Bottom Profilers, Side-scan sonar dan Magnetometer kerana ini mampu memberikan nilai tambah untuk menarik perhatian syarikat atau pelatih industri untuk mengambil anda bekerja.
Turut hadir menyaksikan program ini ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Puan Rosnani Nazri; Pensyarah Program Teknologi Marin Lestari, Encik Sharir Aizat Kamaruddin dan 50 mahasiswa UiTM Cawangan Perlis.