Diterbitkan pada 20 Januari 2025, 11:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Industri pengangkutan merangkumi pergerakan komoditi dan penumpang dari satu lokasi ke lain. Sejak dahulu lagi, industri ini telah melalui pelbagai kajian, percubaan serta penambahbaikan berterusan untuk mencapai tahap kecekapan dan kemajuan seperti yang dinikmati pengguna pada hari ini.

Satu daripada peristiwa penting dalam sejarah pengangkutan ialah penciptaan kapal wap pada tahun 1787. Peristiwa ini menjadi titik tolak kepada perubahan besar sistem pengangkutan bagi menggantikan kaedah tradisional seperti penggunaan kenderaan yang ditarik oleh haiwab yang sebelum itu merupakan pilihan utama untuk perjalanan.

Kemajuan yang dicapai seterusnya telah memacu perkembangan pesat dalam industri ini. Antaranya termasuk penciptaan basikal pada awal abad ke-19, diikuti oleh kereta bermotor pada penghujung 1890-an serta kereta api pada abad ke-19. Pencapaian ini memberikan impak besar terhadap keberkesanan pengangkutan di darat.

Pada masa ini, sektor pengangkutan telah mencapai tahap kemajuan yang membolehkan kenderaan bergerak dan mengemudi tanpa bantuan manusia. Kemajuan teknologi telah menjadi pemacu utama dalam memajukan sektor ini melalui proses inovasi dan evolusi yang berterusan.

Satu daripada teknologi terkini yang memberikan impak besar kepada sektor pengangkutan ialah kecerdasan buatan (AI). Teknologi ini yang pada asalnya hanya merupakan konsep teori di pusat penyelidikan, kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat moden.

Lebih menarik lagi, AI berjaya mencapai matlamatnya dalam meningkatkan kecekapan dan kemudahan dalam pelbagai aspek kehidupan. Kebanyakan teknologi yang digunakan pada masa ini seperti aplikasi navigasi, sistem pemanduan automatik dan pengurusan trafik pintar dibangunkan berasaskan kecerdasan buatan. Namun begitu, persoalan yang timbul ialah apakah sebenarnya kecerdasan buatan ini dan bagaimanakah teknologi ini berfungsi?

Secara ringkasnya, AI boleh ditakrifkan sebagai teknologi yang memberikan keupayaan kepada mesin untuk beroperasi menyerupai kecerdasan manusia. Mesin yang dilengkapi dengan AI mampu meniru tingkah laku manusia, mengautomasikan tugas manual dan belajar sepanjang proses seperti manusia.

Melalui automasi, tugas yang berulang serta memakan masa dapat diserahkan kepada AI, sekali gus membolehkan manusia menumpukan perhatian kepada tugas yang lebih kompleks dan bernilai tinggi. Lebih penting lagi, sistem yang dikuasakan oleh AI mempamerkan kecerdasan yang hampir setara dengan manusia dengan keupayaan menjalankan pemikiran kritis serta membuat keputusan secara berdikari.

Menyedari potensi unik AI ini, banyak perniagaan dalam sektor pengangkutan telah melabur secara besar-besaran dalam teknologi ini. Langkah ini bukan sahaja mempercepatkan inovasi, malah membantu syarikat meningkatkan kecekapan, memacu penjanaan hasil dan kekal mendahului pesaing. Pasaran global bagi AI dalam industri pengangkutan diramalkan mencapai nilai sekitar RM14 bilion (USD3.5 bilion) menjelang tahun 2026 dan meningkat kepada RM41.2 bilion (USD10.3 bilion) menjelang tahun 2030.

Pelaburan dalam AI memberikan peluang yang besar kepada agensi dan syarikat untuk memanfaatkan teknologi canggih seperti penglihatan komputer dan pembelajaran mesin bagi membentuk masa depan industri pengangkutan. Teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah memberikan keutamaan kepada keselamatan penumpang dengan mengurangkan risiko kemalangan serta mengatasi masalah kesesakan jalan raya.

Analisis Aliran Trafik

Kebanyakan bandar utama di seluruh dunia menghadapi cabaran serupa apabila melibatkan kesesakan lalu lintas. Peningkatan jumlah kenderaan persendirian di atas jalan raya dan kesan daripada pembangunan bukan sahaja menyumbang kepada pemanasan global, malah melibatkan kos dan masa yang tinggi. Situasi ini juga menambahkan tekanan kepada kehidupan seharian rakyat. Untuk mengatasi cabaran ini, beberapa negara seperti Singapura, Jepun, Amerika Syarikat, China, Sweden dan Australia telah memanfaatkan teknologi AI dalam sistem pengangkutan bagi menganalisis aliran trafik dan meningkatkan kecekapan operasi.

Teknologi AI kini berupaya mengatasi masalah kesesakan lalu lintas melalui pengumpulan data daripada peranti dan kamera yang dipasang di jalan raya bertrafik tinggi. Data ini dihantar ke penyimpanan awan yang kemudiannya dianalisis untuk mengenal pasti corak trafik dan menyediakan maklumat berharga kepada pihak berkuasa tempatan. Melalui analisis data besar dan sistem berasaskan AI, pihak berkuasa dapat membuat ramalan dengan lebih tepat serta merancang strategi bagi memperbaik aliran trafik.

Pemprosesan data ini juga memberikan pelbagai faedah lain, antaranya termasuklah mengurangkan bilangan kemalangan jalan raya serta meramal dan mengelakkan gangguan seperti kesesakan lalu lintas. Pengguna jalan raya mendapat manfaat dengan menerima maklumat penting mengenai keadaan semasa atau kejadian di jalan raya. Mereka juga dimaklumkan mengenai laluan terbaik ke destinasi yang membantu perjalanan menjadi lebih lancar tanpa sebarang kesulitan.

Sebagai contoh, Singapura menggunakan teknologi AI untuk menganalisis dan menguruskan aliran trafik secara cekap. Melalui sistem pengurusan trafik berasaskan AI, Singapura dapat memantau dan mengawal aliran kenderaan secara masa nyata dan seterusnya mengurangkan kesesakan dan memperbaik kelancaran pengangkutan. Selain itu, teknologi ini juga digunakan untuk perancangan infrastruktur dan pengurusan pengangkutan awam secara strategik.

Di China, bandar utama seperti Beijing dan Shanghai turut menggunakan teknologi AI untuk tujuan yang sama. Sistem berasaskan AI mengumpulkan data daripada peranti jalan raya dan kamera pemantauan bagi menganalisis corak aliran kenderaan. Analisis ini membantu pihak berkuasa trafik menguruskan isyarat lalu lintas dan menyediakan laporan ramalan trafik kepada pemandu, sekali gus meningkatkan pengalaman perjalanan dan kelancaran pengangkutan.

Pengesanan Insiden Trafik Automatik

Pengesanan kemalangan jalan raya merupakan antara topik yang paling banyak dikaji oleh para penyelidik dalam bidang sistem pengangkutan pintar dan teknologi AI. Kamera CCTV serta peranti trafik menyediakan asas yang kukuh untuk pemantauan automatik tanpa gangguan. Beberapa bandar utama di Amerika Syarikat seperti New York, Los Angeles dan San Francisco juga telah memanfaatkan AI untuk mengesan kemalangan lalu lintas dengan menggunakan kamera CCTV dan peranti trafik yang dipasang di lebuh raya.

Sistem berasaskan AI ini berupaya mengesan kemalangan atau kehadiran objek yang tidak sepatutnya berada di jalan raya seperti kenderaan rosak. Amaran akan segera dihantar kepada pusat kawalan trafik, lalu membolehkan pihak berkuasa bertindak balas dengan lebih cepat. Respons pantas ini bukan sahaja membantu mengurangkan tempoh penutupan jalan, malah berupaya mengelakkan kesesakan lalu lintas yang lebih serius.

Peranti trafik yang dilengkapi dengan sistem pengkomputeran menyokong aliran data secara berterusan kepada pusat pengurusan trafik. Data ini membolehkan pemantauan yang lebih cekap terhadap operasi trafik di sepanjang rangkaian jalan raya dan seterusnya meningkatkan keberkesanan pengurusan lalu lintas.

Penguatkuasaan Peraturan Tempat Letak Kereta dan Lalu Lintas

Teknologi AI dijangkakan memberi impak yang positif terhadap pengurusan tempat letak kereta dan penguatkuasaan peraturan lalu lintas. Melalui rangkaian peranti Internet benda (IoT) dan kamera yang digunakan untuk mengumpul data, status penggunaan tempat letak kereta dapat dipantau secara masa nyata. Pemantauan ini membantu pemandu mencari tempat letak kereta dengan lebih mudah dan pantas, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar.

Sistem kamera berasaskan AI juga berupaya memaklumkan pihak berkuasa mengenai kenderaan yang berpotensi melanggar peraturan lalu lintas. Sebagai contoh, sistem ini boleh mengesan kelajuan kenderaan yang melintasi jalan raya dan menjanakan amaran kepada pegawai rondaan sekiranya terdapat pelanggaran had laju. Maklumat seperti nombor plat, model, jenis dan warna kenderaan akan dikenal pasti, lalu membolehkan tindakan segera diambil terhadap sebarang pelanggaran peraturan.

Walaupun teknologi ini telah digunakan di pelbagai negara, penerapan sistem pemantauan trafik yang dipacu oleh AI masih berada pada peringkat awal. Namun begitu, perkembangan pesat dijangkakan kerana manfaatnya yang signifikan, termasuklah pengurangan pelanggaran lalu lintas, peningkatan keselamatan jalan raya dan pengurangan kesesakan.

Pengecaman Plat Lesen Automatik

Pengecaman plat nombor automatik melibatkan penggunaan sistem kamera berasaskan penglihatan komputer yang dipasang di lokasi strategik seperti tiang jalan, lebuh raya dan jejantas. Sistem ini mengumpulkan maklumat mengenai plat nombor, lokasi serta tarikh dan masa sesuatu kejadian atau kesalahan. Sebaik sahaja imej dirakam oleh kamera, data tersebut akan dihantar dan dipindahkan ke pelayan pusat. Ciri canggih sistem berasaskan AI ini sangat berguna bagi pihak berkuasa untuk mengesan serta mencegah jenayah di jalan raya secara proaktif.

Sistem pengecaman plat nombor automatik boleh menggunakan kamera baharu yang direka khusus untuk tujuan ini atau mengoptimumkan penggunaan kamera sedia ada seperti sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan kamera penguatkuasaan peraturan jalan raya. Teknologi ini membantu pihak berkuasa mengesahkan bukti keberadaan kenderaan di lokasi kejadian jenayah, sekali gus membuktikan atau menyangkal alibi seseorang.

Sebagai contoh, pihak berkuasa di Dubai telah mencuba plat nombor kenderaan pintar yang dilengkapi dengan teknologi canggih. Plat ini mampu memaklumkan perkhidmatan kecemasan mengenai butiran kemalangan dan boleh disambungkan terus ke akaun bank pemilik kenderaan untuk pembayaran denda secara automatik.

Selain itu, teknologi plat nombor automatik ini juga berpotensi digunakan dalam pelbagai bidang berkaitan pengangkutan lain. Antaranya termasuk pengecaman corak perjalanan, pemantauan ketinggian, pengurusan tempat letak kereta dan pengurusan tol. Sistem ini dijangka berkesan dalam menghalang penggunaan kenderaan untuk aktiviti haram serta membantu syarikat pengedar kereta dalam menjejaki armada dan aset mereka.

Kenderaan Autonomi

Kereta tanpa pemandu merupakan satu daripada aplikasi AI yang paling menarik dan dinanti-nantikan dalam sektor pengangkutan. Teknologi ini semakin hampir menjadi kenyataan.

Kenderaan autonomi pada asasnya ialah kereta yang mampu “memandu sendiri” dengan menggunakan aplikasi AI yang menggabungkan pelbagai jenis penderia seperti light detection and ranging (LiDAR), radio detection and ranging (RADAR) dan kamera. Penderia ini membolehkan kenderaan memahami persekitaran, membuat keputusan berdasarkan maklumat semasa serta merancang laluan secara automatik.

Sementara itu, peranti berasaskan IoT menjana sejumlah besar data yang dihantar ke pusat pemprosesan. Bersama-sama dengan algoritma AI, data ini digunakan dalam pelbagai teknik seperti penglihatan komputer, pembelajaran mesin dan pengecaman objek untuk menjadikan pengalaman memandu lebih selamat dan efisien.

Selain kereta pandu sendiri, teksi autonomi dan trak tanpa pemandu turut menjadi fokus utama dalam industri pengangkutan. Di Tokyo, sebagai contoh, teksi autonomi sudah digunakan sebagai pengangkutan awam. Walaupun teksi ini masih beroperasi dengan kehadiran pemandu yang bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kecemasan, teknologi ini telah menunjukkan potensi besar untuk pengangkutan bandar.

Di Amerika Syarikat pula, trak autonomi telah digunakan oleh beberapa syarikat besar untuk pengangkutan barang. Teknologi ini memberikan pelbagai manfaat seperti pengurangan kesan alam sekitar akibat aktiviti pengangkutan, pengoptimuman penghantaran dan pergerakan barangan. Penggunaan trak ini juga membantu mengurangkan kesesakan jalan raya serta kerugian kewangan. Tambahan pula, laporan firma perunding McKinsey menyatakan bahawa kereta dan trak tanpa pemandu dapat mengurangkan kos pentadbiran dan penyelenggaraan sebanyak sehingga 45 peratus.

Ramalan Kelewatan

Faedah AI dalam industri pengangkutan tidak hanya terhad kepada pengangkutan darat dan pengurusan trafik, malah melangkaui sektor pengangkutan udara. Menurut kajian yang dijalankan oleh penyelidik di University of California, Berkeley, kelewatan penerbangan di Amerika Syarikat sahaja dianggarkan menyebabkan kerugian kos sekitar RM154 bilion (USD39 bilion). Selain kerugian kewangan, kelewatan penerbangan turut memberikan kesan negatif kepada pengalaman penumpang yang seterusnya boleh menjejaskan reputasi syarikat penerbangan serta meningkatkan kadar kehilangan pelanggan. Untuk mengatasi cabaran ini, teknologi AI menjadi keperluan mendesak dalam menyokong keberkesanan industri pengangkutan udara.

Melalui teknologi pengumpulan data berpusat dan analisis data yang sistematik, industri pengangkutan udara mampu menawarkan perkhidmatan lebih baik, termasuklah mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang secara keseluruhan. Faktor seperti cuaca buruk dan masalah teknikal sering menjadi punca kelewatan penerbangan. Oleh itu, komunikasi segera kepada penumpang mengenai perubahan jadual penerbangan sangat penting bagi mengelakkan masa menunggu yang berpanjangan. Di samping itu, sistem penglihatan komputer membolehkan pemantauan kapal terbang dilakukan secara berterusan untuk mengesan masalah lebih awal, sekali gus mengurangkan gangguan operasi.

Selain itu, komponen AI dan pembelajaran mesin turut memainkan peranan penting dalam memproses data penerbangan secara masa nyata, termasuklah rekod sejarah dan maklumat cuaca. Pengiraan langsung ini membantu mengenal pasti pola tersirat yang memberikan cerapan berguna mengenai faktor kelewatan atau pembatalan penerbangan. Data ini bukan sahaja menyokong penambahbaikan operasi, malah membolehkan penumpang merancang jadual perjalanan mereka dengan lebih baik.

Pemantauan Keadaan Jalan

Kerosakan jalan raya merupakan isu penting yang kerap dilaporkan dan memberikan kesan besar kepada pengguna jalan raya. Di Amerika Syarikat, kerosakan jalan raya dilaporkan menyebabkan kerugian sekitar RM12 bilion (USD3 bilion) setahun.

Dalam konteks pengangkutan, teknologi penglihatan komputer dalam AI mampu mengesan kecacatan jalan dengan berkesan serta menilai infrastruktur sekeliling. Teknologi ini dapat mengenal pasti perubahan pada permukaan asfalt dan konkrit untuk tujuan penilaian.

Algoritma penglihatan komputer pula dapat mengesan jalan berlubang dan menentukan tahap kerosakan dengan tepat. Pengesanan automatik ini membolehkan pihak berkuasa bertindak segera, sekali gus meningkatkan kecekapan dalam penyelenggaraan jalan. Selain meningkatkan keselamatan jalan raya, teknologi ini turut membantu menjimatkan masa, kos dan mengurangkan risiko kemalangan.

Pemantauan Pemandu

Satu daripada pencapaian terbesar AI dalam sistem pengangkutan ialah keupayaannya dalam pemantauan, analitik serta pencegahan kemalangan. Kemalangan jalan raya telah menyebabkan kira-kira 1.19 juta kematian di seluruh dunia pada setiap tahun, selain mencederakan antara 20 hingga 50 juta orang.

Di Malaysia, Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat (YB) Anthony Loke menyatakan kebimbangan mengenai jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang mencecah lebih 6000 orang pada setiap tahun. Dari Januari hingga Oktober 2024 sahaja, sebanyak 5029 kemalangan maut dilaporkan dan mengakibatkan kira-kira 5364 kematian.

Teknologi penglihatan komputer yang diintegrasikan dalam kabin kenderaan mampu meningkatkan keselamatan pemandu. Sistem ini menggunakan pengesanan wajah untuk menganalisis perubahan emosi pemandu serta menganggarkan posisi badan bagi mengenal pasti tanda keletihan.

Sistem bantuan pemandu lanjutan ini juga memberikan amaran segera kepada pemandu sekiranya kemampuan mereka untuk memandu terjejas seperti akibat keletihan bagi membolehkan tindakan yang sesuai diambil. Selain itu, teknologi ini mampu mengesan tanda gangguan lain dan seterusnya menyediakan perlindungan keselamatan yang lebih tinggi kepada pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Teksi Dron

Satu lagi prospek inovatif yang menarik dalam penggunaan AI dalam pengangkutan ialah aplikasinya dalam teksi dron. Teknologi ini dianggarkan mampu memudahkan pengangkutan di bandar serta mengurangkan tekanan terhadap infrastruktur sedia ada. Populasi bandar yang semakin meningkat menjadikan teksi dron sebagai penyelesaian kepada majlis perbandaran yang berdepan cabaran besar dalam perancangan bandar pintar.

Sebagai contoh, helikopter tanpa juruterbang menawarkan alternatif berkesan untuk mengurangkan pelepasan karbon, mengatasi kesesakan lalu lintas dan meminimumkan keperluan pembinaan infrastruktur mahal. Teknologi ini membantu pengguna sampai ke destinasi dengan lebih cepat dan lancar, sekali gus mengurangkan masa perjalanan harian.

Sebagai contoh, di China, demonstrasi kenderaan udara autonomi telah diadakan untuk 17 orang yang menggunakan mobiliti udara pintar buat kali pertama. Dijangkakan teksi ini direka untuk beroperasi secara manual atau autonomi dengan kemampuan mengelak halangan serta melakukan pendaratan dan pelepasan dengan ketepatan tinggi.

Di Malaysia, syarikat seperti AirAsia telah mengambil langkah ke arah pengangkutan udara pintar. AirAsia telah bekerjasama dengan Mobiliti Udara Terkehadapan (AAM) dan Skyports untuk meneroka pembangunan infrastruktur teksi udara di negara ini. Mereka juga merancang untuk memajak 100 pesawat berlepas dan mendarat menegak elektrik (eVTOL) Vertical Aerospace VX4 dari Avolon sebagai usaha merealisasikan teknologi ini.

Walau bagaimanapun, penerbangan komersial teksi udara di Malaysia dijangka mengambil masa untuk direalisasikan. Pesawat eVTOL memerlukan pensijilan daripada pengawal selia tempatan – sama seperti pengangkutan udara lain selain masa yang diperlukan untuk penyesuaian terhadap teknologi baharu.

Beberapa syarikat penghantaran juga telah berjaya menggunakan dron untuk perkhidmatan penghantaran dan mencatatkan kejayaan besar. AI memainkan peranan penting dalam navigasi Sistem Penentududukan Sejagat (GPS), penghantaran barang secara tepat, pengesanan dan pengelakan halangan serta pengurusan kecemasan dan situasi luar jangka. Keupayaan dron untuk menguruskan penghantaran dengan efisien dan tepat waktu memberikan kelebihan besar kepada syarikat penghantaran dalam meningkatkan operasi mereka.

Secara keseluruhannya, masa depan AI dalam sistem pengangkutan dijangka membawa pelbagai manfaat melalui kemajuan teknologi yang mampu merevolusikan cara manusia dan barang bergerak. Kejayaan dalam teknologi AI bersama-sama dengan perubahan undang-undang dan peraturan yang menyokong penggunaan kenderaan serta dron autonomi, menawarkan gambaran masa depan yang lebih baik. Sistem pengangkutan juga dijangka menjadi lebih selamat, cekap dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Pembangunan dan penyepaduan AI bukan sahaja menjadikan sistem pengangkutan lebih automatik tetapi juga lebih berfokus kepada keperluan manusia. Syarikat terkemuka yang menerajui penerapan AI terus meneroka inovasi baharu, lalu menunjukkan potensi besar teknologi ini dalam meningkatkan setiap aspek pengangkutan. Pengangkutan masa depan bukan lagi sekadar alat untuk mencapai destinasi tetapi akan menjadi elemen yang bersepadu dalam kehidupan seharian, sekali gus memenuhi keperluan pengguna dengan lebih bijak dan efisien.

 

Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Siti Arinah Sanat, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS).

Intan Maisarah Osman, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Governan dan Kecemerlangan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi