Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Bertempat di Sekolah Kebangsaan Bukit Naga, Selangor, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam telah mengadakan Bengkel Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) sebagai usaha membudayakan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di sekolah.
Bengkel yang diadakan bersempena dengan Karnival STEM anjuran Panitia Sains dan Reka Bentuk SK Bukit Naga ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada murid-murid sekolah rendah mengenai teknologi AR dan VR, sejajar dengan hasrat memupuk minat terhadap STEM pada peringkat akar umbi.
Sebanyak enam orang pensyarah ADTEC Shah Alam telah turun padang untuk mengajar dan membuat demonstrasi bersama-sama pelajar mengikut tahun persekolahan.
Sepanjang bengkel diadakan, para pelajar telah diberikan bimbingan untuk menggunakan perkakasan Meta Quest 2 dan 3 serta perkakasan lain.
Menurut pensyarah ADTEC, Puan Nurul Aisyah Ahmad, bengkel ini adalah inisiatif awal untuk memperluaskan pengetahuan murid tentang teknologi terkini yang menjadi tunjang kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Menurutnya lagi,
Teknologi seperti AR dan VR bukan sahaja relevan untuk masa depan, malah dapat mengubah cara pelajar belajar dengan lebih interaktif dan menarik. Kami di ADTEC Shah Alam komited untuk terus menjalinkan kerjasama dengan sekolah-sekolah dalam usaha ini.
“Ilmu berkaitan dengan teknologi baharu ini wajar diperkenalkan sejak di bangku sekolah lagi bagi membolehkan para pelajar dapat mempelajari dan bergerak seiring dengan peredaran dan perkembangan teknologi semasa,” jelasnya lagi.
Pembelajaran teknologi seperti AR dan VR amat penting kerana membolehkan para pelajar memahami serta mendalami konsep abstrak secara visual dan interaktif, di samping dapat mengasah ilmu dan kemahiran penyelesaian masalah serta kreativiti.
Teknologi ini turut memainkan peranan penting dalam IR4.0 kerana menekankan integrasi antara dunia fizikal dengan digital melalui teknologi canggih seperti automasi, Internet benda dan kecerdasan buatan.
Selain pendedahan berkaitan dengan teknologi AR dan VR, pihak ADTEC Shah Alam turut membuka reruai bagi membolehkan para pelajar mendalami lebih banyak berkaitan dengan teknologi.