Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPengkomersialan buah-buahan tempatan, khususnya durian semakin mendapat perhatian dalam pasaran domestik dan antarabangsa seperti di China. Keadaan ini telah merancakkan lagi usaha pengeluaran dalam kalangan pengusaha tanaman durian yang terlibat.
Selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030, usaha untuk menjadikan Kuala Kangsar sebagai bandar pelancongan diraja diperhebatkan. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar tampil ke hadapan dengan menonjolkan keunikan yang tersendiri dalam usaha meningkatkan kualiti durian tempatan. Inisiatif ini turut bertujuan memperkenalkan kepelbagaian varieti “raja segala buah” kepada pengunjung dalam dan luar negara.
Duriotourism MARDI Kuala Kangsar
Stesen MARDI Kuala Kangsar merupakan satu daripada tiga buah stesen MARDI di Perak Darul Ridzuan. Dua buah stesen lagi ialah MARDI Bagan Datuk yang menumpukan penyelidikan tanaman kelapa dan MARDI Parit untuk penyelidikan pembenihan padi. MARDI Kuala Kangsar terletak kira-kira 38 kilometer dari utara bandar Ipoh dan tiga kilometer dari Plaza Tol Kuala Kangsar, Lebuhraya Utara Selatan. Pembukaan rasmi stesen MARDI Kuala Kangsar telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu, YBhg. Datuk Seri Dr. Ismail Bakar pada 9 Disember 2017.
Pada awal penubuhannya, stesen MARDI Kuala Kangsar yang berfokuskan penyelidikan mula melangkah lebih jauh dengan meneroka sektor agropelancongan, khususnya pelancongan berasaskan pertanian buah durian sebagai daya tarikan baharu. Dusun durian yang menawarkan suasana yang tenang dan jauh daripada kesibukan bandar menjadi tarikan utama pengunjung. Istimewanya tempat ini ialah terdapat satu-satunya taman agroteknologi MARDI yang mempunyai nama khusus, iaitu Duriotourism MARDI Kuala Kangsar daripada sembilan buah taman agroteknologi lain di Malaysia.
Kawasan seluas 100 hektar di Duriotourism MARDI Kuala Kangsar dimanfaatkan sepenuhnya bagi tanaman buah-buahan tropika. Penanaman tersebut merangkumi 53 hektar kawasan tanaman durian yang terdiri daripada lebih 20 varieti dengan 900 batang pokok berusia hampir 30 tahun. Selain itu, terdapat 12 hektar kawasan tanaman limau bali; 2.5 hektar tanaman manggis dan mesta serta 2.5 hektar tanaman kelapa.
Di Malaysia, lebih 200 jenis buah durian telah dihasilkan sejak era kemerdekaan, termasuklah varieti D1 dan D2. Duriotourism MARDI Kuala Kangsar kini berjaya menghasilkan tiga varieti utama selain 10 jenis durian hibrid. Usaha penambahbaikan varieti sedia ada terus giat dijalankan menerusi kajian dan penyelidikan bagi meningkatkan kualiti dan daya saing durian tempatan dalam pasaran.
Peranan Besar MARDI Kuala Kangsar
Stesen MARDI Kuala Kangsar yang menempatkan 48 orang kakitangan berfungsi sebagai stesen sokongan bagi penyelidikan buah-buahan tropika. Semasa penubuhannya, stesen ini mempelopori penyelidikan tanaman harum manis pada awal tahun 1970-an sebelum berubah kepada tanaman durian sekitar tahun 1980-an. Selain itu, stesen ini juga bertindak sebagai makmal lapangan bagi kajian buah-buahan tropika yang dijalankan di stesen pusat MARDI Sintok, Kedah dan melaksanakan projek yang dirancang di stesen pusat.
Di samping itu, stesen MARDI Kuala Kangsar juga menjalankan kajian mengenai tahap sisa racun serangga dan kulat pada buah durian. Kajian ini penting bagi memastikan pemberian racun dan baja kimia kepada pokok durian dihentikan pada minggu ke-10, iaitu dua minggu sebelum buah durian gugur. Amalan pemberian baja kimia yang berterusan sehingga buah durian gugur boleh memberikan risiko kepada pengguna akhir, iaitu pelanggan yang menikmati durian tersebut.
Usaha peluasan tanaman hibrid dan klon, pengedaran anak pokok yang mempunyai baka terbaik turut diberikan perhatian. Pihak MARDI Kuala Kangsar juga terlibat dalam penghasilan produk hiliran berasaskan durian yang berpotensi memberikan nilai tambah kepada sektor agropelancongan dan eksport.
MARDI Kuala Kangsar turut memainkan peranan besar dalam pertumbuhan ekonomi rakyat melalui pemindahan tekonologi dan pembangunan usahawan. Stesen ini menjadi tempat permulaan bagi usahawan yang berminat untuk membangunkan produk mereka untuk dipasarkan ke luar negara. Bantuan advokasi dan nasihat disediakan bagi memudahkan proses ini, sekali gus memperkukuh sektor keusahawanan tempatan.
Bagi menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030, pihak MARDI Kuala Kangsar menjalinkan jaringan kerjasama dengan pelbagai jabatan seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris, Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak. Kerjasama ini bertujuan memperkukuh daya saing sektor pertanian dan ekonomi negeri.
Stesen ini tidak ketinggalan menjalankan penyelidikan pengawalan jangkitan bakteria pada pokok pisang dan penanaman durian komersial seperti Black Thorn, Tupai King dan Udang Merah. Usaha ini mencerminkan komitmen MARDI Kuala Kangsar dalam memastikan pembangunan pertanian berteraskan penyelidikan dan inovasi.
Pengurusan Tanaman Durian Hibrid di Duriotourism MARDI Kuala Kangsar
Durian keluaran Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bukan sahaja diminati oleh rakyat Malaysia, malah kawasan ini menjadi tumpuan stesen MARDI lain apabila tiba musim durian.
Segalanya bermula apabila anak pokok durian baharu yang tumbuh akan dihantar ke stesen sokongan untuk ditanam. Pada masa yang sama, benih durian klon baharu pula digunakan dalam pengembangan tanaman durian hibrid. Apabilan klon baharu ini tumbuh, pucuk muda atau tunasnya akan diambil untuk dicantumkan bagi menghasilkan generasi seterusnya dengan kualiti yang sama.
Dalam penyelidikan MARDI, kaedah pembiakbakaan digunakan untuk menghasilkan anak pokok durian baharu. Antara contoh durian hibrid yang bejaya dihasilkan di dunia termasuklah Durian M2.
Selepas proses persenyawaan, jaring digunakan untuk menutupi anak pokok. Langkah ini bertujuan menghalang serangga daripada menjadi agen pendebungaan asing, di samping memastikan aliran udara yang mencukupi untuk anak pokok.
Encik Mohammad Ammaruddin Mohamed Amin selaku Pengurus Stesen MARDI Kuala Kangsar berkongsi bahawa pada Julai 2024, hasil tuaian buah durian di stesen tersebut mencecah 3.5 tan sehari daripada 400 batang pokok yang berbuah. Menurut beliau, kemuncak hasil tuaian berlaku semasa musim durian, namun sukar untuk semua pokok berbuah secara serentak kerana setiap pokok mempunyai masa yang tertentu untuk berbuah.
Dalam konsep pertanian, buah durian yang gugur dikenali sebagai hasil pengendalian lepas tuai. Pengendalian ini perlu diuruskan dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan pembaziran. Kebiasaannya, buah durian yang gugur akan diproses menjadi pes durian atau tempoyak yang memiliki nilai pasaran tersendiri.
Selepas musim durian berlalu, petugas ladang akan menjalankan kerja pembersihan dan rawatan ke atas tanaman. Langkah ini penting untuk memastikan pokok durian terus sihat dan produktif untuk musim akan datang.
Penjenamaan Semula Durian MDUR88 – Lembaran Sejarah Baharu
Aneka varieti durian seperti “Musang King”, “Black Thorn”, “Black Gold” dan “Tupai King” sering mendominasi pasaran setiap kali musimnya tiba. Walau bagaimanapun, MARDI Kuala Kangsar tampil berbeza dengan membawakan varieti durian hibrid yang jarang-jarang ditemukan dalam pasaran.
Pada 27 Disember 2024, stesen ini telah mencatatkan lembaran sejarah baharu apabila durian hibrid MDUR88 dijenamakan semula sebagai Durian Mardi Super. Durian MDUR88 terhasil daripada induk D24 dan D10 melalui teknik pendebungaan berbantu. Selain MDUR88, varieti durian hibrid lain yang turut dibangunkan ialah MDUR78, MDUR79, D99, D24 dan D10.
Durian Mardi Super (MDUR88) menjadi pilihan peminat durian kerana keistimewaan rasanya yang tersendiri, iaitu gabungan rasa berlemak krim dan manis yang seimbang, setanding dengan durian premium lain. Menariknya, MDUR88 merupakan hasil penyelidikan sepenuhnya oleh MARDI Kuala Kangsar selama 15 tahun sebelum dilancarkan pada tahun 1992. Varieti durian hibrid ini dihasilkan daripada baka terpilih yang menampilkan ciri komersial seperti buah berbentuk bulat, isinya tebal dan rasa yang sedap.
Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bukan sahaja menawarkan pengalaman baharu kepada mereka yang meminati buah durian dari sudut suasana ladang, malah memperkenalkan pelbagai varieti buah dan perkhidmatan kepada pengunjung. Aktiviti kajian dan penyelidikan yang dijalankan di stesen MARDI juga menjadi pemangkin yang signifikan kepada pengkomersialan durian hibrid tempatan, sekali gus meningkatkan daya saingnya dalam pasaran antarabangsa. Durian Mardi Super juga kini menjadi lambang kebanggaan kepada industri durian Malaysia yang mampu menyaingi durian lain di persada dunia.