Diterbitkan pada 5 Januari 2025, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gopeng – Program FSK TERJAH 2025 anjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi medan memperkenalkan peluang pengajian dalam bidang sains kesihatan kepada pelajar Kolej Matrikulasi Perak (KMPK).

Program tahunan ini menjadi platform bagi fakulti tersebut untuk memperkenalkan 11 program pengajiannya kepada pelajar prauniversiti yang berminat dalam bidang sains kesihatan.

FSK TERJAH 2025 diterajui oleh Pengarah Program, Encik Muhammad Amir Firdaus Izzuddin yang turut mengetuai Persatuan Mahasiswa FSK (PMFSK).

Menurut beliau, KMPK dipilih sebagai lokasi program kerana pelajar aliran sains di kolej ini menunjukkan minat yang tinggi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains kesihatan.

Dalam program ini, sebanyak 11 reruai program disediakan bagi memberikan maklumat yang mendalam kepada pelajar dan kakitangan KMPK mengenai peluang pengajian di FSK, UKM.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar KMPK, Dr. Aris Hanafi Abu Jalil mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada FSK UKM atas kesudian melaksanakan program ini.

Beliau berharap para pelajar KMPK menggunakan peluang ini untuk mendalami maklumat tentang kehidupan kampus dan prospek kerjaya dalam bidang sains kesihatan.

Reruai pameran berkaitan dengan program yang ditawarkan di FSK, UKM.

Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh Timbalan Dekan Prasiswazah FSK, UKM, Profesor Madya Dr. Mazlyfarina Mohamad yang menyampaikan pengenalan ringkas mengenai Fakulti Sains Kesihatan UKM.

Taklimat khas turut diberikan oleh Dr. Wan Syafira Ishak untuk program Audiologi dan Dr. Dayana Hazwani Mohd Suadi Nata untuk program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Para pelajar dan kakitangan KMPK juga berpeluang melawat reruai pameran di Dewan Kinta bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program yang ditawarkan oleh FSK.

Antara reruai yang turut serta dalam program FSK TERJAH 2025 di Kolej Matrikulasi Perak.
Pelajar FSK, UKM memeriahkan reruai pameran program.

Program ini turut disertai oleh Penolong Dekan Pelajar dan Alumni, Dr. Mohd Sham Othman dan Penyelaras Promosi FSK, UKM, Dr. Rukiah A. Latiff.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi