Oleh HIDAYAT MUHAMAD
5 Januari 2025, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahun 2024 telah menyaksikan peningkatan yang ketara dalam ancaman keselamatan siber di Malaysia. Laporan firma keselamatan siber Kaspersky mencatatkan sebanyak 19.62 juta serangan berasaskan web pada separuh pertama 2024 di negara ini. Statistik ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang paling terjejas di Asia Tenggara.

Pusat Tindak Balas Insiden Keselamatan Siber (Cyber999) CyberSecurity Malaysia turut melaporkan sebanyak 5181 insiden siber telah direkodkan dari Januari hingga Oktober 2024. Tiga kategori insiden tertinggi ialah penipuan dalam talian dengan 3483 kes, insiden berkaitan dengan kandungan sebanyak 480 kes dan serangan kod jahat yang merekodkan sebanyak 403 kes.

Beberapa syarikat milik kerajaan dan swasta turut menghadapi cabaran besar akibat serangan perisian tebusan atau ransomware. Ancaman ini menyebabkan sekatan akses kepada data dan sistem, sekali gus menjejaskan operasi organisasi yang terlibat.

Peningkatan penggunaan teknologi digital dalam pelbagai sektor serta evolusi teknologi kecerdasan buatan telah menyumbang kepada perkembangan ancaman siber. Situasi ini menuntut langkah proaktif daripada semua pihak untuk menangani risiko yang semakin kompleks.

Pencapaian Keselamatan Siber Negara Tahun 2024

Satu daripada pencapaian utama pada tahun 2024 ialah penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) yang telah diwartakan pada 26 Jun 2024. Akta ini menjadi penanda aras dan titik penting dalam usaha mengukuhkan pertahanan digital negara. Antara peruntukan utama yang diperkenalkan melalui akta ini termasuklah penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Kebangsaan, penetapan tanggungjawab Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta pengenalan sistem pelesenan bagi pembekal perkhidmatan keselamatan siber.

Negara turut menyaksikan peningkatan kesedaran masyarakat dan permintaan tinggi terhadap profesional keselamatan siber yang berkemahiran sepanjang tahun ini. Walau bagaimanapun, jurang kemahiran yang ketara masih wujud dalam industri ini menjadi cabaran utama dalam memenuhi keperluan tenaga kerja berkualiti.

Prospek Keselamatan Siber Tahun 2025

Mengikut trend perkembangan teknologi semasa, penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam keselamatan siber dijangkakan meningkat pada tahun 2025. Namun begitu, cabaran seperti kesediaan infrastruktur dan perlindungan data perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan keberkesanan teknologi ini.

Fokus yang lebih besar terhadap penggunaan kecerdasan buatan secara beretika turut dijangka menjadi agenda penting negara pada tahun ini. Pematuhan kepada peraturan dan polisi siber serta perlindungan data yang lebih ketat dalam sektor kerajaan mahupun swasta turut dijangka menjadi keutamaan utama.

Kerajaan Malaysia juga mencadangkan pengenalan lesen kepada penyedia laman media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar bermula 1 Januari 2025. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan daripada ancaman dalam talian serta memperkukuh kawal selia terhadap penyedia perkhidmatan.

Langkah ini diharap dapat memastikan penyedia bertanggungjawab terhadap kandungan di platform mereka. Selain itu, usaha ini juga bertujuan mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan dipercayai tanpa menjejaskan hak pengguna dan kebebasan bersuara individu.

Saranan Langkah Keselamatan Siber Individu

Walaupun pelbagai inisiatif telah diambil oleh pihak berwajib bagi membendung ancaman keselamatan siber, benteng pertahanan pertama daripada ancaman ini ialah kesedaran pada peringkat individu. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, setiap individu perlu memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan siber peribadi. Pepatah “sediakan payung sebelum hujan” amat relevan dalam konteks ini.

Setiap individu disarankan untuk menggunakan kata laluan yang kuat dan unik serta mengaktifkan langkah pengesahan dua faktor pada akaun media sosial dan aplikasi. Selain itu, sikap berhati-hati terhadap pautan mencurigakan dalam e-mel atau mesej juga perlu diamalkan. Langkah ini jika dilaksanakan secara konsisten mampu mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan dalam talian, kecurian identiti dan ancaman siber lain.

Kesimpulannya, tahun 2024 telah menyaksikan perkembangan penting dalam landskap keselamatan siber Malaysia. Usaha konkrit seperti penggubalan undang-undang baharu telah diambil oleh pihak berwajib untuk mengukuhkan pertahanan dan keselamatan ruang siber negara.

Bagi tahun 2025, peningkatan penggunaan teknologi canggih dan kerjasama erat antara pelbagai pihak berkepentingan dijangkakan menjadi langkah strategik untuk menghadapi cabaran siber yang semakin kompleks. Persiapan yang rapi dan komitmen berterusan akan memastikan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk menghadapi ancaman siber masa hadapan, sekali gus mewujudkan ruang digital yang selamat untuk semua.

 

Wan Nurhidayat Wan Muhamad,
Penerima biasiswa Chevening United Kingdom 2024,
Calon Ijazah Sarjana Pertahanan Siber dan Jaminan Maklumat,
Cranfield University, United Kingdom.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.