Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada 14 Disember 1982, Parlimen Britain telah meluluskan Kertas Putih Falkland yang mengandungi keterangan tentang Perang Falkland yang berlangsung dari 2 April hingga 14 Jun pada tahun terbabit. Kertas putih berkenaan telah dibentangkan oleh Setiausaha Pertahanan Britain, John Nott yang memaparkan tiga bahagian mengenai perang, iaitu kronologi ringkas, aspek sains ketenteraan yang digunakan dalam perang tersebut selain perancangan untuk masa hadapan supaya konflik itu tidak berulang.
Sama ada anggota Parti Konservatif mahupun Parti Buruh, mereka sebulat suara mempersetujui akan kandungan kertas putih ini untuk perhatian lanjut kerajaan Britain yang pada ketika itu di bawah pimpinan Perdana Menteri Margaret Thatcher. Inisiatif ini merupakan satu kenyataan dasar selepas penanamatan perang antara Argentina dengan Britain yang melibatkan gugusan pulau di Atlantik Selatan yang dinamakan sebagai pulau Falkland dalam perspektif Britain. Melalui Kertas Putih Falkland ini, keterangan jelas menunjukkan betapa pentingnya sains ketenteraan untuk sesebuah negara dalam mendepani pihak lawan semasa konflik yang sudah tentu boleh dipelajari oleh Malaysia sebagai sebuah negara bangsa berdaulat.
Ringkasan Kertas Putih Falkland 1982
Di luar Kertas Putih Falkland 1982, perbahasan dan penghasilannya di Parlimen Britain tidak lain adalah untuk menyediakan satu panduan buat pentadbiran kerajaan agar meneliti perkara yang terkait dengan Perang Falkland supaya konflik seumpama itu tidak terjadi semula. Sudah pasti perkara ini penting kerana konflik ketenteraan seumpama itu akan mengakibatkan kerugian dari segi nilai wang dan Britain sendiri terpaksa membelanjakan lebih £3 bilion pound sterling bagi konflik selama 10 minggu itu.
Dari aspek lain, kertas putih ini turut dijadikan alat untuk mengesyorkan kerajaan Britain supaya tidak mengambil ringan terhadap perbelanjaan pertahanan kerana sebelum terjadinya Perang Falkland, pentadbiran Perdana Menteri Thatcher telah memotong perbelanjaan ketenteraan. Dalam konteks lebih luas, kertas putih ini disediakan untuk tatapan rakyat Britain agar mereka memahami konflik yang dihadapi oleh negara mereka biarpun secara tersiratnya menunjukkan usaha untuk Britain mengekalkan Pulau Falkland sebagai tanah jajahannya di seberang laut.
Perincian dalam kertas putih berkenaan turut mengandungi kronologi yang membabitkan operasi ketenteraan tentera diraja Britain untuk merampas kembali Pulau Falkland dari pendudukan tentera Argentina. Dalam bahagian pertama kertas putih itu, operasi ketenteraan berkenaan telah diperhalusi satu persatu, khususnya dari segi serangan amfibia, iaitu operasi ketenteraan di daratan dan kawasan laut secara serentak.
Tentera Britain perlu melalui peringkat operasi ini kerana Pulau Falkland bukanlah wilayah yang berada di tanah besar tetapi merupakan gugusan kepulauan yang terbahagi kepada dua belahan geografi di bahagian timur dan barat. Tidak menghairankan apabila serangan yang dibuat perlu melalui kawasan darat dan laut yang sememangnya memerlukan keupayaan untuk mengendalikan aset seperti kapal perang dan pasukan payung terjun ke kawasan sasaran. Keadaan menjadi lebih sukar kerana keadaan cuaca buruk di Atlantik Selatan yang berlangsung dari April hingga Ogos yang lazimnya mengakibatkan keadaan laut bergelora serta suhu sejuk dan keadaan awan yang mampu mengaburi jarak penglihatan, khususnya untuk tentera udara.
Untuk itu, siri operasi pertempuran telah dicatatkan satu persatu seperti operasi di kawasan San Carlos, Goose Green dan Port Stanley (pusat pentadbiran Pulau Falkland). Setiap kawasan ini memerlukan operasi ketenteraan yang teliti dan sukar kerana perlu melalui laluan akuatik yang sempit dalam usaha tentera Britain menjejaki tentera Argentina.
Pada masa yang sama, operasi ketenteraan turut membabitkan kawasan tinggi seperti pergunungan Kent dan kawasan Tumbledown sebelum tentera Britain beroleh kemenangan. Seiring dengan perkembangan teknologi kini, siri ketenteraan ini turut difilemkan melalui tayangan filem seperti Tumbledown (2015) dan Longdon (2020) sebagai usaha pemvisualan kepada masyarakat terhadap konflik tersebut.
Kandungan Sains Ketenteraan dalam Kertas Putih Falkland 1982
Dalam bahagian kedua Kertas Putih Falkland 1982, kecanggihan peralatan perang milik Britain turut diperincikan. Aset tersebut mencakupi teknologi kapal perang, kapal selam, pesawat tempur dan helikopter.
Untuk angkatan udara, pesawat Harrier dan Nimrod digunakan secara aktif untuk memenuhi keperluan operasi udara dari Mei 1982 hingga Jun 1982 di kawasan Pulau Falkland. Pesawat Nimrod misalnya memiliki kelengkapan peluru berpandu antikapal Harpoon, bahkan peluru berpandu Sea Eagle yang termaju ketika itu dipersiapkan untuk keperluan pesawat berkenaan pada masa hadapan.
Keupayaan tentera udara turut dipertingkatkan dengan tersedianya 200 helikopter yang memiliki tujuh jenis berbeza, iaitu Sea King, Wessex, Lynx, Gazelle, Wasp, Scout dan Chinook. Tanpa kesemua peralatan ini agak sukar untuk Britain menghadapi angkatan tentera udara Argentina pada ketika itu yang turut diperkuat dengan bekalan pesawat dari Israel, iaitu pesawat Shafrir MK 2 AAM.
Dari segi pengangkutan laut, perang ini turut melibatkan aset ketenteraan seperti kapal selam HMS Sheffield dan HMS Coventry, biarpun kedua-duanya musnah dalam perang. Pelbagai aset tentera laut telah digerakkan dari pelabuhan Sunderland dan Portsmouth sejak minggu pertama pendudukan tentera Argentina di Pulau Falkland. Dalam keadaan segera, lebih 50 buah kapal dagang milik Britain telah diubah suai untuk memenuhi ciri ketenteraan bagi membantu operasi perang dari segi usaha mengangkut pesawat pejuang dan para tentera.
Pulau Ascension yang terletak di lautan Atlantik pula telah dijadikan pangkalan untuk tiga lapisan tentera Britain berlepas untuk melakukan serangan. Kombinasi ini memberikan kelebihan kepada pasukan Britain biarpun Argentina turut memberikan tentangan serupa dengan kapasiti ketenteraan miliknya.
Di samping itu, pengajaran untuk mempertingkat daya tahan kapal perang turut dibentangkan melalui Kertas Putih Falkland bagi tujuan penambahbaikan aset ketenteraan. Sebagai contoh, bahan aluminium yang menjadi komponen utama terhadap binaan kapal perang yang terlibat dalam Perang Falkland ingin dikaji semula dari segi ketahanannya mahupun keperluan untuk penggantian kepada elemen lain.
Antara pengajaran penting yang dipelajari daripada kesan Perang Falkland terhadap kapal-kapal Britain termasuklah penyebaran pesat api dan asap di dalam kapal serta penggunaan bahan yang terbukti berbahaya dalam kebakaran. Bahan mudah terbakar seperti kabel dikurangkan di dalam kapal baharu bagi reka bentuk yang lebih sesuai dan sistematik.
Selain itu, contoh langkah yang diambil termasuklah zon kebakaran yang lebih baik, perubahan kepada pintu kedap air, menambah lebih banyak pintu keluar dan penambahbaikan kepada kawalan asap. Segala perancangan ini dibuat bagi mempertingkat keupayaan pengangkutan tentera laut Britain yang sememangnya penting untuk digerakkan dalam operasi pertempuran di luar daratan.
Dalam kes ini, Jabatan Pertahanan Negara Amerika Syarikat telah menyifatkan Perang Falkland sebagai perang sains moden yang membabitkan pelbagai kelengkapan teknologi ketenteraan. Kenyataan ini dikeluarkan susulan kemenangan tentera Britain pada 14 Jun yang sememangnya bertitik tolak dari keupayaan angkatan tentera negara Anglo-Saxon itu yang sekian lama tidak pernah diserang selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.
Di sebalik kegagalan Argentina dalam perang tersebut, hal ini turut memberikan isyarat bahawa Britain sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk mengekalkan kedudukan tanah jajahannya yang diambil dari Argentina sejak tahun 1833. Dalam kemajuan dunia digital kini, Kertas Putih Falkland 1982 itu telah melalui proses pendigitalan bagi membolehkan masyarakat seantero dunia mengakses sendiri dokumen tersebut. Margaret Thatcher Foundation merupakan arkib digital yang menempatkan dokumen dan perbahasan sebelum dan setelah penghasilan Kertas Putih Falkland untuk rujukan penyelidik serta masyarakat awam.
Pelajaran untuk Malaysia
Untuk Malaysia, Kertas Putih Falkland boleh dilihat sebagai perkara yang dapat menyediakan negara ke arah sebuah pentadbiran dengan keutuhan sistem pertahanan. Kepentingan ini terletak pada kedudukan Malaysia yang sentiasa terdedah dan pernah terlibat dengan isu geopolitik pada peringkat serantau.
Sepanjang 61 tahun penubuhan Persekutuan Malaysia, negara ini pernah melalui pelbagai babak yang membabitkan ancaman terhadap kedaulatan negara seperti konfrontasi dengan Indonesia (1963–1966), isu pelarian dari Vietnam (1970-an hingga 1980-an) dan keganasan di Lahad Datu pada tahun 2013 angkara waris kerajaan Sulu. Kesemua konflik yang berlaku ini seharusnya menjadikan Malaysia lebih bersedia dari segi teknologi pertahanan untuk mendepani anasir musuh dari luar yang sentiasa menunggu kesempatan untuk mengambil peluang jika kita leka. Bukan ingin curiga sesama negara tetangga, setidak-tidaknya kesiapsiagaan yang dibuat dapat mengelakkan sejarah berulang kembali.
Malaysia juga boleh menjadikan Kertas Putih Falkland sebagai panduan terhadap aspek pertahanan dengan penambahbaikan dari segi teknologi ketenteraan. Sama ada tentera darat mahupun tentera udara dan laut, ketiga-tiga barisan tentera Malaysia ini perlu sentiasa diberikan perhatian dari segi kecanggihan peralatan perang di samping keupayaan latihan berintensiti tinggi.
Britain mampu memenangi perang dengan Argentina kerana negara itu bukan sahaja memiliki keupayaan dari segi serangan amfibia, malah terkait dengan keupayaan angkatan udara dalam aspek pesawat pejuang dan helikopter. Kesemua ini perlu diambil pengajarannya oleh Malaysia dalam memastikan keperluan angkatan tentera negara sentiasa dikemas kini biarpun pada waktu ini Malaysia berada dalam keadaan aman. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti jenayah yang pernah terjadi suatu ketika dahulu tatkala dua enjin pesawat tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan hilang pada tahun 2009.
Selain itu, iklim geopolitik yang tidak menentu di Laut China Selatan pada hari ini sememangnya menuntut Malaysia supaya tidak berdiam diri daripada mengikuti perkembangan semasa di kawasan tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana tindakan pihak China yang sentiasa menunggu peluang untuk menguasai wilayah tersebut dengan beberapa siri provokasi dari Kepulauan Spratley hingga wilayah perairan Sarawak.
Teknologi perisikan ketenteraan milik tentera Malaysia juga hendaklah dipertingkatkan dari segi pintasan maklumat asing, keupayaan pentafsiran mesej dari bahasa asing dan keupayaan pengesanan awal terhadap kemaraan pihak luar yang berisiko untuk mencabuli kedaulatan negara.
Kertas Putih Falkland misalnya telah menunjukkan peri pentingnya aspek teknologi perisikan ketenteraan ini, terutamanya dalam konteks penggunaan Signals Intelligence (SIGINT), iaitu rangkaian pemberitahuan perisikan rentas geografi. Walaupun teknologi seperti SIGINT ini memerlukan kerjasama antara Amerika Syarikat dengan negara Eropah, tetapi tidak salah sekiranya Malaysia membangunkan model perisikan seumpama itu dengan rangkaian sasaran liputan dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak dalam konteks pertahanan domestik.
Sebagai rumus bicara, Kertas Putih Falkland 1982 itu sendiri mengandungi pelbagai perkara yang boleh direnungkan dalam konteks geopolitik serta kedaulatan negara. Kerajaan Argentina dilihat ingin mengambil kembali wilayahnya yang diduduki oleh Britain, manakala kepimpinan Thatcher pula berusaha untuk mempertahankan kolonialisasi negara Anglo-Saxon itu di bumi Pulau Falkland.
Kenyataan yang dikemukakan ini pastinya mengandungi soal kedaulatan dan pemilikan ke atas satu-satu wilayah tetapi ketentuan yang boleh dicapai mengenai perkara itu tidak mahu tidak perlu melalui peperangan. Di sinilah kemajuan sains ketenteraan mengambil tempat dalam menentukan hala tuju perang yang dalam konteks ini berpihak pada Britain.
Buat Malaysia yang tercinta, kandungan dalam Kertas Putih Falkland 1982 boleh dijadikan iktibar, khususnya dalam aspek mempertahankan kedaulatan negara dan lebih signifikan usaha untuk membangunkan kekuatan teknologi ketenteraan bagi menghadapi konflik seumpama itu. Malaysia sebagai sebuah negara yang dikatakan mendukung gagasan Madani seharusnya memberikan perhatian terhadap aspek sains ketenteraan ini tatkala suasana geopolitik yang tidak menentu serta memperlihatkan 1001 kemungkinan krisis mengenai wilayah. Setidak-tidaknya hal ini boleh dijadikan sebagai pelan persediaan agar tidak berlakunya keadaan yang tidak diingini.