Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kemampuan reaksi rantai polimerase kuantitatif berbalik-transkripsi (RT-qPCR) untuk mengesan dan menganalisis tahap gen tertentu dengan sensitiviti tinggi telah menjadikan RT-qPCR sebagai kaedah diagnostik penting untuk pelbagai aplikasi perubatan.
Rentetan itu, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menganjurkan Bengkel RT-qPCR Hands-On pada 17 Disember 2024 hingga 18 Disember 2024 di Makmal Pelbagai Guna 3C, Kampus UKM, Kuala Lumpur.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Unggul Medik Sdn. Bhd. dan Vazyme serta mendapat penyertaan yang sangat menggalakkan daripada pelajar pascasiswazah yang menjalankan penyelidikan molekular.
Bengkel ini dimulakan dengan sesi teori asas RT-qPCR yang disampaikan oleh wakil dari Vazyme, YBrs. Dr. Teoh Chui Peng dan menerusi sesi ini, para peserta berpeluang mempraktikkan kemahiran makmal melalui prosedur lengkap RT-qPCR, termasuklah penyediaan sampel, sintesis cDNA dan pelaksanaan qPCR serta menjalankan praktikal prosedur yang terlibat secara kendiri bagi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam.

RT-qPCR merupakan teknik penting dalam bidang penyelidikan molekul dan klinikal yang membolehkan kuantifikasi ekspresi gen secara tepat serta menjadikannya alat utama dalam pengenalpastian penyakit seperti kanser, jangkitan virus dan gangguan genetik.

Menurut pengarah bengkel berkenaan, YBrs. Dr. Nurul Farhana jufri, pelibatan pihak industri dalam bengkel ini merupakan aktiviti sihat kerana perkongsian teknologi yang dilakukan bertujuan untuk memastikan institusi pengajian tinggi sentiasa terkehadapan dalam terknologi sains bioperubatan dan segala input terkini dapat dipraktikkan bagi menghasilkan keputusan yang jitu.
Bengkel ini mendapat penajaan daripada syarikat Unggul Medik Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Puan Noraina Mohd Bakri serta sumbangan kepakaran teknikal dari Vazyme.
Ujar YBrs. Dr. Nurul Farhana jufri,
Diharapkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang bengkel ini diadakan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan para peserta dalam menjalankan kajian masing-masing, khususnya dalam bidang sains kesihatan dan bioteknologi.