Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBerdasarkan laporan Global AIDS Monitoring Report 2023, terdapat lebih daripada 131 815 kes virus imunodefisiensi manusia (HIV) telah dilaporkan di Malaysia sejak jangkitan ini mula dikesan pada tahun 1986 hingga tahun 2022. HIV ialah virus yang menyerang sistem imuniti badan, khususnya sel CD4 sehingga menyebabkan badan kurang berupaya untuk melawan jangkitan secara optimum. Sekiranya tidak dirawat, virus HIV akan melemahkan sistem imun secara perlahan-lahan dan jangkitan memasuki fasa yang lebih serius yang dikenali sebagai sistem kurang daya tahan badan (AIDS).
AIDS merupakan peringkat terakhir jangkitan HIV, iaitu keadaan apabila sistem imuniti menjadi sangat lemah sehinggakan badan tidak lagi dapat melawan jangkitan. AIDS berlaku apabila kiraan sel CD4 jatuh di bawah paras 200 sel per milimeter padu atau apabila seseorang mengalami jangkitan oportunistik tertentu seperti tuberkulosis, pneumonia atau kanser sarkoma Kaposi.
Daripada keseluruhan jumlah kes HIV yang dilaporkan, sebanyak 62 226 kematian adalah berkaitan dengan HIV dan AIDS. Walaupun jumlah kes baharu HIV dilaporkan menurun sebanyak 65.8 peratus dari tahun 2002 hingga tahun 2022 dengan adanya kemajuan dalam rawatan dan pencegahan, HIV masih menjadi isu kesihatan utama yang memerlukan perhatian berterusan. Tambahan pula, HIV mudah dijangkiti melalui cecair badan seperti darah, air mani, cecair faraj dan susu ibu.
Terapi Antiretrovirus
Individu yang dijangkiti HIV boleh mengelakkan jangkitan ini daripada memasuki fasa AIDS menerusi rawatan terapi antiretrovirus (ART). Rawatan ini juga membolehkan mereka menjalani kehidupan normal seperti orang lain. ART merupakan rawatan HIV yang terdiri daripada kombinasi sekurang-kurangnya tiga jenis ubat antiretrovirus yang berfungsi untuk merencatkan pembiakan virus HIV di dalam badan.
ART tidak menyembuhkan HIV, sebaliknya bertindak dengan menghentikan virus HIV daripada terus berganda dan mengurangkan bilangan virus yang kekal di dalam badan kepada paras yang tidak dapat dikesan. Setakat ini, terdapat empat kumpulan utama ART di Malaysia, iaitu Nucleoside/Nucleotide Reverse Transcriptase Inhibitors (NRTI), Non-Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitors (NNRTI), Protease Inhibitors (PI) dan Integrase Strand Transfer Inhibitors (INSTI).
Profilaksis Prapendedahan
Selain digunakan dalam rawatan, ubat antiretrovirus juga digunakan sebagai satu daripada langkah pencegahan bagi jangkitan HIV. Pencegahan yang dikenali sebagai profilaksis prapendedahan (PrEP) ialah kaedah yang diberikan kepada individu yang negatif HIV tetapi mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti HIV. Antaranya termasuklah pasangan yang salah seorang daripadanya positif HIV, pengguna dadah secara suntikan dan individu dengan tingkah laku seksual yang berisiko tinggi.
Ubat antiretrovirus yang digunakan untuk PrEP ialah kombinasi ubat tenofovir dan emtricitabine dari kelas NRTI. Ubat ini bertindak dengan menyekat enzim yang digunakan oleh virus HIV untuk membiak dan seterusnya mencegah virus daripada berganda di dalam badan selepas pendedahan.
Tidak seperti rawatan HIV, PrEP tidak semestinya perlu diambil sepanjang hayat. Tempoh penggunaannya bergantung pada situasi dan keperluan individu. PrEP boleh diberikan sama ada untuk penggunaan harian mahupun berdasarkan keperluan tertentu.
PrEP hanya boleh diambil dengan pemantauan oleh doktor. Ahli profesional kesihatan seperti doktor atau ahli farmasi boleh memberikan panduan tentang tempoh rawatan, keperluan ujian pemantauan berkala dan cara untuk memastikan keberkesanan ubat antiretrovirus yang diambil oleh pesakit.
PrEP berkesan untuk mencegah jangkitan HIV apabila diambil seperti yang disarankan. Menurut kenyataan Menteri Kesihatan semasa sesi Soal Jawab Lisan dalam Dewan Rakyat, analisis awal projek rintis penggunaan ubat PrEP untuk pencegahan HIV telah menunjukkan penurunan kes yang drastik. Dapatan ini berdasarkan 3451 individu yang mengambil PrEP dari Januari 2023 hingga Januari 2024.
Kepentingan Patuh kepada Pengambilan Ubat Antiretrovirus
Kepatuhan kepada ubat antiretrovirus merupakan satu daripada faktor yang menentukan keberkesanan ubat-ubatan ini. Oleh hal yang demikian, pesakit akan diberikan kaunseling berkaitan dengan dos, masa dan cara pengambilan ubat ART yang sesuai sebelum memulakan rawatan.
Selain itu, kaunseling tentang cara ubat bertindak dan kesan sampingan juga akan diberikan. Kaunseling ini penting untuk memastikan pesakit lebih bersedia untuk memulakan ART dan terus patuh kepada rawatan sepanjang hayat. Rawatan tidak boleh dihentikan sendiri kecuali atas nasihat doktor.
ART harus diambil pada waktu yang sama pada setiap hari kerana ketidakpatuhan terhadap ubat-ubatan boleh meningkatkan risiko kegagalan rawatan. Alat bantuan seperti penggera telefon boleh digunakan untuk membantu pesakit lebih peka dan tidak lupa waktu pengambilan ART. Bukan itu sahaja, ubat-ubatan harus sentiasa mencukupi dan dibawa bersama-sama, terutamanya apabila pesakit mempunyai aktiviti yang memerlukan mereka berada di luar rumah untuk jangka masa yang panjang.
Kepatuhan pesakit kepada ubat antiretrovirus juga mampu dicapai dengan meminimumkan kesan sampingan yang mungkin berlaku. Pesakit digalakkan untuk berbincang dengan ahli profesional kesihatan untuk mendapatkan panduan dan nasihat yang bersesuaian agar kesan sampingan ubat ART dapat diuruskan dengan berkesan.
Antara kesan sampingan ubat antiretrovirus daripada kumpulan NRTI seperti tenofovir termasuklah ketoksikan mitokondria (mitochondrial toxicity). Kesan sampingan ini boleh menyebabkan kebas dan sakit saraf dalam kalangan pesakit.
Selain itu, pemantauan fungsi buah pinggang yang berterusan dan ujian kepadatan mineral tulang secara berkala harus dilakukan bagi penggunaan ubat tenofovir. Hal ini dikatakan demikian kerana ubat ini berpotensi menyebabkan kesan sampingan kepada kedua-dua organ tersebut. Ubat antiretrovirus daripada kumpulan NRTI juga boleh menyebabkan ketidakselesaan perut, loya, muntah dan cirit-birit.
Nevirapine daripada kumpulan NNRTI pula boleh menyebabkan ruam yang pada kebiasaannya akan sembuh dengan sendirinya dalam masa dua minggu hingga empat minggu. Walau bagaimanapun, dalam beberapa keadaan, kesan sampingan yang lebih serius seperti Sindrom Stevens-Johnson juga boleh berlaku. Satu lagi ubat dalam kumpulan ini, iaitu efavirenz boleh menyebabkan sakit kepala, masalah tidur, pening dan insomnia.
Semua ubat antiretrovirus dalam kumpulan PI dikaitkan dengan sindrom lipodistrofi. Kesan sampingan ini menyebabkan masalah pengumpulan lemak, terutamanya di kawasan perut, leher dan payudara. Selain itu, gangguan metabolik seperti peningkatan trigliserida, kolesterol dan glukosa juga boleh berlaku. Kesan sampingan bagi ubat dalam kumpulan INSTI termasuklah sakit otot, pening dan insomnia.
Kesan sampingan ubat antiretrovirus lazimnya bersifat sementara dan akan berkurangan apabila pesakit mula menyesuaikan diri dengan ubat. Sekiranya gejala yang dialami berlarutan atau menjadi lebih teruk, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor dengan segera. Pemantauan berterusan serta penyesuaian rawatan mungkin diperlukan bagi memastikan keberkesanan rawatan tanpa menjejaskan kualiti hidup pesakit.
Nasihat kepada Pesakit dan Orang Awam
Penggunaan antiretrovirus memainkan peranan penting dalam usaha pencegahan dan rawatan HIV. Strategi menggunakan ART untuk rawatan dan PrEP untuk pencegahan telah menunjukkan keberkesanan yang tinggi dalam mengurangkan kes jangkitan HIV secara global, menjadikannya komponen penting dalam usaha memerangi jangkitan ini.
Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).
Nadiatul Nabilah Sani,
Pegawai Farmasi,
Kementerian Kesihatan Malaysia.