Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSeremban – Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) mencatatkan satu lagi pencapaian yang gemilang apabila sebanyak 226 orang pelajar sekolah berkenaan berjaya ditauliahkan menerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) 2024 tahap perak dan gangsa.
Kejayaan ini menjadikan SASER antara sekolah dengan jumlah penyertaan dan pentauliahan tertinggi dalam kalangan sekolah berasrama penuh (SBP) di Malaysia hasil usaha gigih pihak sekolah dengan kerjasama yang erat bersama-sama Persatuan Belia Dinamik Barat serta sokongan yang berterusan dari Kementerian Belia dan Sukan.
Daripada 226 orang peserta tersebut, pelajar tingkatan tiga telah berjaya ditauliahkan menerima ARPRM tahap perak, manakala pelajar tingkatan dua dan tingkatan empat masing-masing meraih ARPRM tahap gangsa, sekali gus mencerminkan komitmen yang tinggi daripada pihak sekolah, guru, ibu bapa serta murid SASER dalam mengintegrasikan kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah melalui pelbagai program yang berimpak tinggi.
Majlis pentauliahan ARPRM diadakan dengan penuh gilang-gemilang dan dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia, Encik Syafarudin Ali.
Majlis ini memberikan pengiktirafan rasmi kepada usaha dan dedikasi para peserta yang telah berjaya menyempurnakan cabaran dalam program ARPRM.
Program ARPRM yang diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1992 merupakan adaptasi daripada The Duke of Edinburgh’s International Award yang bertujuan untuk memperkembang potensi remaja yang berusia antara 14 tahun hingga 24 tahun melalui empat komponen utama, iaitu khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal dan penjelajahan lasak.
Dalam komponen khidmat masyarakat, para peserta memberikan sumbangan kepada komuniti melalui aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, kelas dan asrama, sekali gus berupaya memupuk semangat sukarelawan, tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap komuniti.
Komponen kemahiran pula membolehkan para peserta meneroka bakat baharu seperti seni tarian, permainan alat muzik tradisional, penguasaan bahasa, seni mempertahankan diri, permainan catur serta inovasi teknologi.
Sementara itu, bagi komponen rekreasi fizikal, para peserta terlibat dalam pelbagai jenis sukan dan permainan yang mampu meningkatkan kecergasan fizikal dan kesihatan mental, selain membina daya saing dan semangat kerja berpasukan seperti bola sepak, bola keranjang, memanah, bola tampar dan ragbi.
Para peserta juga tidak ketinggalan menghadapi cabaran dalam komponen penjelajahan lasak seperti mengikuti latihan ketenteraan di Kem Terendak, Melaka, menyertai aktiviti fizikal dan mental di Pusat Latihan Kem Port Dickson serta aktiviti perkhemahan yang memberikan peluang kepada para peserta untuk mengasah kemahiran kepimpinan dan penyelesaian masalah.
Melalui program ini juga, para peserta berjaya membina keyakinan diri, mengasah sifat kepimpinan, meningkatkan daya tahan serta membantu membentuk karakter peserta agar menjadi lebih matang, bertanggungjawab dan bersedia dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Kejayaan ini turut dicapai disebabkan oleh hasil sokongan padu daripada Kumpulan Sarana Ibu Bapa SASER tingkatan tiga dan tingkatan empat, barisan guru dan badan operasi.
Kerjasama erat ini menjadikan SASER sebagai inspirasi kepada sekolah lain dalam melahirkan remaja yang berdaya saing, berwawasan dan mampu memainkan peranan yang besar dalam pembangunan komuniti negara.
Kejayaan SASER dalam ARPRM diharapkan menjadi teladan kepada semua SBP dan institusi pendidikan lain di Malaysia, sekali gus membuktikan komitmen SASER untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang berkaliber.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan SBP, Puan Noor Lidyawani Mat Rani, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Seremban, Puan Cindy Usun Sigau serta Pengetua SASER, Tuan Adam@Karim Haji Abd Malek.