Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hutan darat terosot merujuk kawasan hutan yang telah mengalami degradasi akibat pelbagai faktor seperti pembalakan, penebangan untuk pertanian, kebakaran dan faktor antropogenik lain. Keadaan hutan yang terosot menyebabkan kehilangan biodiversiti, penurunan kualiti tanah dan perubahan dalam ekosistem secara keseluruhan. Bagi memulihkan kawasan hutan darat terosot, aktiviti penanaman dijalankan sebagai satu daripada proses pemulihan terbantu.

Penanaman anak pokok dapat membantu mempercepat proses pemulihan kawasan hutan berbanding dengan proses pemulihan secara semula jadi. Walau bagaimanapun, anak pokok yang ditanam di hutan terosot sering mengalami tekanan persekitaran seperti cuaca yang ekstrem serta persaingan untuk mendapatkan nutrien dan air.

Kualiti anak pokok yang akan ditanam perlu diberikan perhatian ketika melakukan penanaman di kawasan hutan terosot. Saiz anak pokok dan keadaan fizikal daun adalah antara kriteria yang perlu diutamakan. Memandangkan kawasan hutan terosot biasanya kawasan lapang dan mendapat cahaya matahari secara terus tanpa perlindungan kanopi, keadaan ini adalah ekstrem bagi sesetengah spesies pokok.

Keadaan fizikal anak pokok yang sesuai ditanam di kawasan darat terosot.

Untuk memastikan anak pokok yang akan ditanam mampu bertahan di bawah keadaan penerimaan cahaya matahari yang tinggi, anak pokok akan didedahkan kepada cahaya matahari secara berperingkat atau dikenali sebagai slow hardening semasa di tapak semaian. Hal ini bagi memastikan anak pokok tidak mengalami kejutan apabila ditanam di kawasan terosot.

Selain faktor luaran seperti suhu persekitaran serta keperluan nutrien dan air yang mencukupi, kemandirian dan pertumbuhan anak pokok juga bergantung pada fisiologi pokok itu sendiri. Fisiologi pokok merupakan aspek yang penting dalam memahami cara pokok berfungsi dan berkembang. Antara parameter utama dalam pengukuran fisiologi pokok termasuklah kadar fotosintesis, kadar transpirasi, kekonduksian stomata dan kecekapan penggunaan air.

Pengukuran parameter pertumbuhan pokok.

Fotosintesis merupakan proses pokok menggunakan cahaya matahari untuk menghasilkan makanan. Dalam konteks ini, keupayaan anak pokok yang ditanam untuk menyerap cahaya matahari dan bertahan dalam keadaan penerimaan cahaya matahari yang tinggi akan menentukan kemandirian anak pokok tersebut.

Tempoh tiga bulan pertama selepas penanaman adalah jangka masa yang sangat kritikal dalam memastikan kemandirian anak pokok yang ditanam. Dalam tempoh ini, beberapa kesan dapat diperhatikan jika anak pokok tersebut mengalami kejutan atau tidak sesuai dengan keadaan persekitaran yang ekstrem.

Berdasarkan kajian, antara faktor yang menyumbang kepada kadar kematian anak pokok termasuklah keadaan cuaca panas yang berterusan. Hal ini dapat dilihat apabila terdapat kesan lecur pada daun, hampir keseluruhan daun gugur dan keadaan anak pokok yang mati kering.

Keadaan anak pokok yang mati kering di plot penanaman hutan darat terosot.

Selain itu, proses fisiologi juga melibatkan proses transpirasi, yakni air diserap oleh akar dan dipindahkan ke atmosfera melalui daun. Proses ini membantu dalam menyejukkan tumbuhan dan mengekalkan keseimbangan kelembapan dalam tisu tumbuhan. Kecekapan penggunaan air pula mengukur sejauh mana pokok dapat menggunakan air secara efisien dalam menjalankan proses fisiologi bagi tujuan pertumbuhan.

Cerapan data fisiologi dengan menggunakan alat CIRAS 3 – Portable Photosynthesis Systems.

Kecekapan penggunaan air yang tinggi menunjukkan pokok tersebut berada dalam keadaan yang baik dan mampu beradaptasi dengan keadaan yang ekstrem. Sementara itu, kadar kecekapan penggunaan air yang rendah menunjukkan pokok tersebut mempunyai masalah dalam beradaptasi dengan keadaan yang ekstrem dan kebarangkalian berlakunya gangguan pertumbuhan pada pokok tersebut adalah tinggi.

Kekonduksian stomata merujuk keupayaan stomata, iaitu liang kecil di permukaan daun untuk membenarkan pertukaran gas, terutamanya karbon dioksida dan air. Semua proses fisiologi ini saling berkait rapat dalam menentukan kadar pertumbuhan anak pokok.

Sebagai kesimpulannya, fisiologi anak pokok di hutan darat terosot merupakan aspek penting dalam memastikan keupayaan anak pokok untuk bertahan dan beradaptasi dengan persekitaran yang mencabar. Pemahaman yang mendalam mengenai proses ini dapat membantu usaha pemuliharaan dan pengurusan sumber hutan serta memastikan kelestarian ekosistem yang kaya dengan biodiversiti.

Dengan mengkaji proses ini, pemulihan ekosistem hutan secara amnya dapat dipertingkat. Memastikan pertumbuhan anak pokok yang sihat bukan sahaja menyokong biodiversiti, malah memberikan manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Dr. Farah Shahanim Mohamed Mohidin, Nurcahaya Khairany Mohamad Azmi dan Hyrul Izwan Mohd Husin (Pegawai Penyelidik), Program Hutan Asli, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.