Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNilai – Dua unit rangka tulang manusia yang dijadikan sebagai alat bantu mengajar telah diserahkan oleh Persatuan Pelajar Radiografi (RADSA), Universiti KPJ Healthcare (KPJU) kepada Unit Sains dan Matematik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA dalam Majlis Penutupan Program SciTech4U STEM Camp MOSTI 2024 yang diadakan di sekolah berkenaan, hari ini.
Program yang dirasmikan oleh Penolong Pengarah Kanan, Unit Menengah dan Tingkatan Enam, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Puan Khalidah Haji Omar itu merupakan program tajaan dana dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Malaysia (MOSTI) di bawah inisiatif Program Kesedaran dan Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi yang menjadikan RADSA, KPJU sebagai pelaksana.
Program SciTech4U STEM Camp MOSTI 2024 yang melibatkan 100 orang pelajar ini adalah bagi menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi agar semua pihak menggalas tanggungjawab untuk mewujudkan minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), khususnya dalam bidang sains kesihatan.
Dalam majlis penutupan tersebut, sumbangan alat bantu mengajar itu diserahkan oleh Dekan, Fakulti Sains Kesihatan, KPJU, YBrs. Profesor Madya Dr. Khairiah Abdul Hamid dan disaksikan oleh Pengarah Program HealthTech STEM Camp MOSTI 2024, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain.
Menurut Presiden RADSA, KPJU, Encik Muhammad Syamsul Mohamed Zuki, tujuan utama sumbangan ini diberikan adalah untuk digunakan dalam sesi pembelajaran di sekolah dan diharapkan dapat menambah minat pelajar dalam meneroka bidang sains kesihatan.
Ujar beliau,
Dengan adanya alat bantu mengajar ini, para pelajar diharapkan dapat meningkatkan pemahaman dan minat mereka dalam mata pelajaran yang berkaitan dengan STEM yang kini semakin penting dalam dunia pendidikan.
Sementara itu, Puan Khalidah Haji Omar mewakili pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan turut mengambil peluang menyatakan penghargaan kepada pihak KPJU atas sumbangan yang telah diberikan.
Katanya,
Kami amat berterima kasih kepada pihak KPJU kerana bekerjasama dengan pihak sekolah dalam memberikan pelbagai bentuk sumbangan dan sokongan, sama ada dari segi sokongan material ataupun intelektual.
Pengetua SMK Kompleks KLIA, Tuan Ajemeek Haji Samut turut menzahirkan rasa keterujaan dan menyatakan hasratnya agar kerjasama yang terjalin ini dapat diteruskan demi kemenjadian para pelajar SMK Kompleks KLIA pada masa akan datang.
Tambah beliau,
Sumbangan ini mencerminkan komitmen KPJU dalam menyokong pendidikan dan pembangunan para pelajar pada peringkat sekolah menengah serta usaha untuk melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang STEM.