Diterbitkan pada 6 Disember 2024, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seiring dengan penggunaan point-of-care ultrasound (POCUS) dalam mengintegrasikan teknologi berasaskan bukti pengimejan ultrabunyi ke dalam amalan klinikal kian berkembang pesat, bengkel “POCUS: An Introductory for Cardiorespiratory Physiotherapy” anjuran Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan.

Bengkel tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada ahli fisioterapi di Malaysia bagi meningkatkan kemahiran klinikal dengan menggunakan teknologi POCUS dalam penjagaan kesihatan pesakit kardiorespiratori.

Bengkel ini dikendalikan oleh profesor dalam bidang sains kardiorespiratori dari RMIT University, Australia, iaitu YBrs. Profesor Dr. Doa El Ansary bersama-sama fasilitatornya, YBrs. Dr. Katijjahbe Mohd Ali yang merupakan pakar klinikal fisioterapi kardiorespiratori dari Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, UKM.

Sebanyak 38 orang peserta yang terdiri daripada ahli fisioterapi dari pelbagai institusi kerajaan dan swasta serta pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, UKM telah menyertai bengkel berkenaan.

Selaras dengan aspirasi Masyarakat 5.0 dalam penjagaan kesihatan, penggunaan teknologi POCUS amat disarankan untuk memperkukuh kemajuan dalam amalan klinikal dan memberikan perkhidmatan yang lebih efisien serta berfokus kepada keperluan pesakit, selain sebagai platform untuk meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan UKM setelah menamatkan pengajian masing-masing.

Sesi perkongsian ilmu mengenai POCUS oleh YBrs. Profesor Dr. Doa El Ansary.

Menurut YBrs. Profesor Dr. Doa El Ansary, teknologi POCUS memberikan kemudahan kepada ahli fisioterapi untuk melakukan diagnosis dan rawatan secara langsung di sisi katil pesakit secara praktikal dan selamat tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada peralatan besar di pusat pengimejan.

Ujar beliau,

POCUS telah terbukti meningkatkan ketepatan diagnosis dalam mengenal pasti secara tepat patologi yang terdapat pada paru-paru, mempercepat keputusan klinikal untuk intervensi perubatan yang tepat pada masanya dan mengoptimumkan hasil rawatan.

YBrs. Profesor Dr. Doa El Ansary menunjukkan teknik penggunaan ultrabunyi bagi mengenal pasti anatomi dan patologi pada paru-paru.

Tambah beliau,

Inovasi berkenaan juga memudahkan pemantauan yang berterusan terhadap keadaan pesakit sebelum dan selepas pembedahan jantung dan toraks, sekali gus mengurangkan beban kos dan masa dalam sistem penjagaan kesihatan, terutamanya kepada pesakit yang mempunyai masalah kardiorespiratori.

YBrs. Profesor Dr. Doa El Ansary memberikan penerangan mengenai cara untuk mengenal pasti dan mengukur keadaan paru-paru melalui paparan imej ultrabunyi.
Peserta menggunakan teknologi POCUS ketika sesi praktikal.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi