6 Disember 2024, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkembangan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam Revolusi Perindustrian 4.0 kini memberikan implikasi yang amat besar. Hal ini dikatakan demikian kerana hampir 90 peratus kehidupan manusia pada era ini berasimilasi dengan penggunaan teknologi yang canggih.

Secara amnya, AI merupakan teknologi pintar yang mampu menduplikasikan kepintaran yang hampir setara dengan kepintaran manusia. Dalam kontek semasa, teknologi ini turut memainkan tugas dalam usaha meningkatkan hasil produktiviti bagi membangunkan inovasi serta kecekapan kepelbagaian bidang, termasuklah pertanian.

Oleh hal yang demikian, tidak wajar sekiranya mana-mana pihak terus membuta tuli mempertikaikan penggunaan AI kerana yang seharusnya diambil cakna adalah dengan melihat aspek yang lebih positif, terutamanya ketika dunia sedang bertembung dengan isu keterjaminan makanan.

Malaysia sebagai negara yang masih tekal bergantung pada pendapatan dalam sektor pertanian perlu lebih memberikan fokus terhadap kelebihan yang ada bagi memperkasakan bidang tersebut. Hal ini termasuklah memberikan tumpuan dalam aspek pengeluaran yang bersifat inovatif dan produktif melalui penggunaan teknologi. Dalam hal ini juga, pelbagai jentera, peralatan serta perisian yang berasaskan teknologi telah dibina serta dibangunkan bagi tujuan menyelesaikan permasalahan sesuatu bidang pada era masa ini.

Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan agar Malaysia memberikan fokus terhadap penggunaan teknologi dalam sektor pengeluaran makanan. Usaha ini adalah penting bagi mendapatkan hasil yang berkualiti dan bersesuaian dengan permintaan semasa yang saban hari semakin meningkat.

Oleh sebab itu, bagi merealisasikan matlamat tersebut, teknologi menjadi alat yang sangat penting. Perkembangan mutakhir ini juga menunjukkan penggunaan AI menjadi antara teknologi yang penting dalam tranformasi pertanian yang boleh dimanfaatkan.

U-Net Hibrid dan Vision Transformer

Di Malaysia, terdapat perisian teknologi AI yang dibangunkan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil tanaman bagi menggelakkan kerugian berskala besar. Antaranya termasuklah teknologi AI yang dikenali sebagai U-Net Hibrid dan Vision Transformer.

U-Net Hibrid terkenal dalam bidang segmentasi imej. Vision Transformer pula ialah teknik transformer yang mempunyai keupayaan yang kuat dalam memahami ciri visual yang kompleks. Teknologi ini membantu dalam bidang pertanian dengan menjalankan segmentasi dan pengenalan penyakit secara automatik daripada imej daun mangga.

Model U-Net Hibrid menyediakan asas segmentasi imej, manakala Vision Transformer meningkatkan keupayaan pengesanan dan pemahaman imej yang kompleks. Kombinasi ini menghasilkan sistem yang mampu mengesan penyakit dengan lebih tepat, walaupun dalam persekitaran cahaya dan kualiti gambar yang berbeza.

AI ini digunakan khususnya untuk aspek kawalan penyakit dalam bidang pertanian. Dengan mengenal pasti penyakit daun mangga, AI membantu petani dalam membuat keputusan pantas untuk merawat tanaman mereka, sekali gus mencegah penyebaran penyakit yang boleh mengancam kualiti dan kuantiti hasil tanaman.

Teknologi ini juga adalah untuk memudahkan proses diagnosis penyakit daun mangga dengan cepat dan tepat. Melalui penggunaan teknologi AI ini, petani dapat mengesan penyakit pada peringkat awal dan mengambil tindakan segera. Hal ini secara tidak langsung akan dapat meminimumkan kesan buruk pada keseluruhan tanaman dan meningkatkan produktiviti hasil tanaman tersebut.

Kelebihan

Menurut pakar dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Fatima Khalid, pertanian adalah satu daripada bidang yang semakin berkembang dengan kemajuan teknologi, terutamanya AI. Teknologi AI menjadi alat penting dalam menyelesaikan pelbagai masalah seperti kawalan penyakit tanaman yang dihadapi oleh petani.

Sebagai contohnya, kajian terbaharu yang dijalankan dengan perisian teknologi yang menggunakan pendekatan AI hibrid, iaitu gabungan model U-Net dan Vision Transformer memberikan tumpuan kepada penyelesaian penyakit daun mangga.

Tambahnya pula, teknologi ini dibina untuk mengurangkan kerugian pada hasil tanaman akibat penyakit daun yang merebak dengan cepat. Kerosakan hasil dan kualiti buah akan menyebabkan kerugian aspek ekonomi yang besar kepada petani, sekali gus mendatangkan kesan kepada negara.

“Teknologi ini digunakan melalui analisis imej daun mangga kerana sukar dilakukan secara manual oleh petani. Kajian ini juga akan mengenal pasti penyakit dengan pantas dan tepat ” katanya lagi.

Kesimpulannya, teknologi AI seperti U-Net Hibrid dan Vision Transformer memainkan peranan penting dalam revolusi pertanian moden yang akan membantu petani mengurangkan kerugian dan meningkatkan produktiviti. Pengaplikasian teknologi ini yang lebih meluas juga berpotensi menjadi pemacu utama dalam meningkatkan keselamatan makanan dan ekonomi pertanian di seluruh dunia.

Jadual 1 Imej daripada lensa U-Net Hibrid dan Vision Transformer.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.