Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pendakian Amal Bomba de Everest dilancarkan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Yang Amat Setia (YAS) Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad di Dewan Sutera, Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya, hari ini.
Bertemakan “Mencari Hati Emas”, program ini merupakan satu ekspedisi yang sangat mencabar bagi menawan puncak tertinggi dunia, iaitu Gunung Everest yang bakal digalas oleh figura dan ikon bomba bernama PBK II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa.
YAS Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad menzahirkan ucapan penghargaan kepada PBK II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa dalam menggalas tugas yang besar demi membawa nama jabatan ke peringkat antarabangsa dan menghargai jasa para penyumbang dalam membantu insan yang kurang bernasib baik.
Ujar beliau,
Misi ini adalah penting bukan sahaja untuk memahat nama JBPM di persada dunia, tetapi memiliki misi yang sangat mulia untuk menjalankan kutipan amal yang bertujuan untuk menambah dana bagi tabung Kebajikan Anggota Bomba, selain disalurkan untuk membantu pembiayaan pemindahan buah pinggang serta kelengkapan pembedahan yang diperlukan oleh pihak yang memerlukan di Hospital UiTM Puncak Alam, Selangor.

PBK II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa merupakan anggota yang bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Tengah dan salah seorang anggota dari Pasukan Khas Udara Bomba, JBPM.
Beliau diangkat sebagai figura yang mengangkat martabat jabatan dengan melaksanakan pendakian amal sebagai satu daripada usaha menambah tabungan dana untuk membiayai pembedahan insan istimewa yang memerlukan.

Pendakian amal ini akan bermula pada April 2025 hingga Jun 2025 bersama-sama wakil dari Yayasan Al-Baghdadi, Gedung Penawar, Kelab Kembara Kosmopolitan serta rakan penggiat seni dari pelbagai latar belakang.
Ekspedisi hebat ini turut mendapat sokongan dari Majlis Sukan serta Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan JBPM.