Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Tuba – Menyedari akan kepentingan penjagaan alam sekitar, Persatuan Teknologi Polimer (PTyS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau telah menganjurkan program Team Building 3.0 pada 29 November 2024 hingga 1 Disember 2024 di Stesen Penyelidikan Marin (MARES), Pulau Tuba bagi memupuk kesedaran alam sekitar dan eksplorasi hutan bakau dalam kalangan para pelajar.
MARES yang merupakan pusat penyelidikan di bawah UiTM Cawangan Perlis dipilih sebagai lokasi utama bagi pelaksanaan program adalah disebabkan oleh lokasinya yang strategik untuk menjalankan aktiviti perkhemahan dan pemeliharaan alam sekitar.
“Kepedulian terhadap alam sekitar semakin penting dalam menghadapi cabaran seperti perubahan iklim dan pencemaran, jadi persatuan pelajar di universiti haruslah memainkan peranan yang penting melalui inisiatif seperti kempen kesedaran, projek hijau dan penggalakan amalan lestari seperti kitar semula dan penjimatan tenaga untuk memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” kata Penasihat PTyS, Encik Mohd Syamaizar Mustafa.
Menurut beliau, aktiviti pembersihan pantai yang dilakukan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran para peserta tentang kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian ekosistem.
Ujarnya,
Sampah yang wujud di persisiran pantai seperti plastik sukar terurai dan boleh merosakkan habitat laut serta mengancam spesies marin, misalnya ikan, penyu dan burung yang sering tersilap menganggapnya sebagai makanan.

Dalam program tersebut, para peserta turut diberikan peluang untuk mendalami ekosistem paya bakau melalui sesi eksplorasi yang diadakan.
Menerusi sesi eksplorasi tersebut, para peserta dapat mengetahui fungsi paya bakau sebagai penyangga semula jadi terhadap hakisan pantai dan berperanan dalam menyaring air untuk mengurangkan pencemaran.

Encik Mohd Syamaizar Mustafa juga berkata,
Aktiviti seperti pembersihan pantai dan eksplorasi paya bakau membuktikan bahawa para peserta memahami betapa pentingnya peranan mereka dalam memastikan kelestarian alam sekitar, sekali gus membolehkan mereka belajar secara langsung mengenai ekosistem serta dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat setempat dan alam sekitar.
Turut serta dalam program tersebut ialah dua orang pensyarah pengiring, iaitu YBrs. Dr. Nur Raihan Mohamed dan Puan Siti Noorashikin Jamal serta Penolong Jurutera Bengkel Plastik, UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohd Izzairie Mansor.