Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuantan – Pelbagai aktiviti riadah, pameran dan sukan diadakan bersempena dengan Karnival Komuniti Paya Besar, Gugusan Bukit Sagu yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 29 November 2024 hingga 1 Disember 2024 di Dewan Semai Bakti Felda Bukit Sagu 1 dan padang terbuka Felda Bukit Sagu.
Karnival berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Paya Besar, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), PECCA Foundation dan Mentiga Corporation Berhad dengan kerjasama pelbagai agensi swasta serta agensi kerajaan lain.
“Semua aktiviti yang dijalankan mencerminkan betapa eratnya hubungan antara penduduk dengan pelibatan aktif dalam memeriahkan setiap program, sekali gus berjaya membuktikan kukuhnya perpaduan penduduk setempat,” kata Ahli Parlimen Paya Besar, Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah ketika merasmikan program berkenaan.
Beliau juga menekankan bahawa semangat perpaduan ini haruslah kekal subur dan memberikan kebaikan kepada semua pihak untuk menjadikan komuniti lebih harmoni dan progresif.
Pelibatan komuniti setempat dari Felda Bukit Sagu, Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan telah menjadikan setiap aktiviti dan acara yang diadakan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Antara aktiviti yang dianjurkan dalam program ini termasuklah senamrobik; sukaneka warga emas; aktiviti berjalan pantas; pertandingan sepak penalti; pertandingan sepak takraw; pertandingan busana klasik; pertandingan dekorasi sayur-sayuran; pertandingan memasak pulut kuning; persembahan dikir barat; cabutan bertuah; pertandingan mewarna; himpunan permotoran; ziarah kasih serta pameran agensi dan institusi pendidikan di negeri Pahang.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YBhg. Dato’ Mohd Faizal Jaafar, Timbalan Ketua Pegawai (Pembangunan) PKNP, Encik Mohd Razif Abdul Malek dan tetamu undangan lain.