Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sesi bual bicara bersama-sama pakar kardiologi dari Universiti of Dundee, United Kingdom, YBrs. Profesor Dr. Chim C Lang yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan satu daripada inisiatif untuk memperkukuh semangat dalam kalangan ahli akademik dan pelajar pascasiswazah di universiti ini.
Pakar kardiologi ini berpendapat bahawa penyelidik perlu membina jaringan dalam kalangan penyelidik di seluruh dunia sekiranya ingin berjaya dalam penyelidikan kerana tindakan ini membuka ruang untuk suatu penyelidikan itu bersifat translasi dengan menggabungkan bidang sains asas, penggunaan teknologi maklumat seperti bioinformatik dan pembelajaran mesin serta membina bukti konsep secara klinikal.
Aturan ini membolehkan beliau diberikan kepercayaan untuk mengetuai penyelidikan mengenai kegagalan jantung dengan dana hingga 23 juta dalam mata wang Euro pada tahun 2020.
Menurut beliau,
Kini, Malaysia dalam era yang sedang memperkukuh pendidikan dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI), jadi pengesanan awal risiko kegagalan jantung dan penyelidikan yang berkaitan dapat dijalankan dengan lebih tepat dengan penggunaan AI.
YBrs. Profesor Dr. Chim C Lang merupakan penyandang Kursi Diraja Tuanku Muhriz dan pelibatan beliau yang penuh dedikasi sebagai pendidik dan pakar bidang kardiologi telah menjadikan beliau seorang yang sangat disegani pada peringkat antarabangsa.
Ujar beliau,
Kita perlu kekal bersedia dan menjadi seorang yang berani untuk memanfaatkan setiap peluang yang hadir dalam kehidupan ini.
Figura kelahiran Kuala Lumpur ini menerima ijazah dalam bidang farmakologi pada tahun 1982.
Beliau meneruskan minat dalam bidang perubatan dan menerima ijazah kedoktoran pada tahun 1985 dan kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat untuk meneruskan kerjayanya pada tahun 1993 dan pulang ke Malaysia pada tahun 1996.
Individu berjiwa besar ini telah berjaya menubuhkan Clinical Investigation Centre di Universiti Malaya ketika beliau berusia 36 tahun.
Pada tahun 2001, YBrs. Profesor Dr. Chim C Lang telah kembali ke Amerika Syarikat melalui Fulbright Scholar Program dan berjaya mengukuhkan kerjaya beliau di negara tersebut dengan menerima pelbagai pelantikan termasuklah sebagai Ketua Pengarang Jurnal Cardiovascular Therapeutics.