Diterbitkan pada 28 November 2024, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Vienna – Malaysia memperkukuh komitmennya terhadap kemajuan sains dan teknologi nuklear untuk pembangunan mampan melalui penyertaan dalam Persidangan Peringkat Menteri Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi Sains, Teknologi dan Aplikasi Nuklear dan Program Kerjasama Teknikal yang berlangsung dari 26 November 2024 hingga 28 November 2024 di Vienna, Austria.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), YBrs. Dr. Rosli Darmawan selaku wakil Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika menyampaikan kenyataan rasmi dalam persidangan tersebut menegaskan komitmen negara terhadap pembangunan mampan melalui penggunaan teknologi nuklear serta mengetengahkan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 yang menjadi asas strategik untuk memanfaatkan teknologi nuklear bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Malaysia telah mencapai kemajuan melalui pelbagai inisiatif dalam memajukan keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar termasuklah menerusi inisiatif Atoms4Food yang menggabungkan Amalan Pertanian Pintar Iklim dengan program pembiakan maju untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tanaman.

Beliau juga berkata, Malaysia telah menerajui teknik nuklear untuk pengesahan halal daging dan menetapkan penanda aras baharu dalam pengesahan makanan.

Ujar beliau,

Sebagai satu daripada negara perintis dalam inisiatif NUTEC Plastics, Malaysia sedang menjalankan aktiviti makmal berskala kecil yang inovatif ke arah pembangunan loji kitar semula plastik perintis, sekali gus menunjukkan komitmennya terhadap usaha menangani pencemaran plastik global.

Ujar beliau, Malaysia turut memperkukuh kemampuan penjagaan kesihatan dengan meningkatkan keupayaan perubatan nuklear melalui kerjasama dengan IAEA di bawah inisiatif Rays of Hope serta memperteguh komitmennya terhadap pencegahan penyakit dengan menyertai inisiatif ZODIAC dan rangkaian VETLAB bagi memperbaik tindak balas terhadap penyakit zoonotik.

Pada masa yang sama, Nuklear Malaysia turut mempamerkan pencapaian dan inovasi sains dan teknologi nuklear dalam persidangan tersebut termasuklah kemajuan dalam ujian tanpa musnah, pertanian nuklear dan teknologi sinaran untuk aplikasi industri.

Reruai Nuklear Malaysia dalam Persidangan Peringkat Menteri IAEA di Vienna, Austria.

Malaysia juga mempromosikan peranannya sebagai tuan rumah bagi Olimpiad Sains Nuklear Antarabangsa (INSO) 2025 dengan kerjasama IAEA bagi memupuk bakat muda dalam sains nuklear.

YBrs. Dr. Rosli Darmawan berkata,

Malaysia kekal komited terhadap penggunaan aman teknologi nuklear dan akan terus memperkukuh kerjasama global melalui program teknikal untuk pembangunan mampan.

Persidangan Peringkat Menteri yang disertai oleh barisan menteri dan pegawai kanan dari negara anggota IAEA menjadi platform penting untuk Malaysia menonjolkan pencapaiannya dan peranan penting teknologi nuklear dalam menangani cabaran global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi