26 November 2024, 13:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 15.6 peratus atau satu dalam enam individu dewasa di Malaysia dilaporkan menghidap diabetes. Lebih membimbangkan, diabetes juga turut dialami oleh individu yang berusia 18 tahun hingga 29 tahun dan 84 peratus daripadanya tidak menyedari bahawa mereka sedang menghidap penyakit ini.

Diabetes merupakan penyakit tidak berjangkit. Diabetes berlaku apabila pankreas tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi atau apabila badan tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan dengan berkesan.

Insulin ialah hormon yang membantu dalam pengawalan paras gula dalam darah. Antara gejala biasa diabetes termasuklah:

  • Kerap berasa haus (polidipsia)
  • Kerap membuang air kecil (poliuria)
  • Berasa terlalu lapar (polifagia)
  • Penurunan berat badan secara mendadak
  • Rasa kebas pada hujung saraf di tapak tangan dan kaki
  • Mudah berasa penat dan lemah sepanjang masa
  • Penglihatan menjadi kabur
  • Luka lambat sembuh
  • Mudah mendapat jangkitan
  • Kulit menjadi kering

Komplikasi Diabetes

Secara umumnya, diabetes terbahagi kepada dua jenis utama. Diabetes jenis satu lazimnya dikesan pada usia muda tetapi berkemungkinan juga berlaku pada usia dewasa.

Penyebab diabetes jenis satu masih kurang difahami dengan jelas. Namun demikian, satu daripada faktor yang telah dikenal pasti termasuklah sistem imun badan sendiri yang menyerang sel pankreas sehingga mengakibatkan penghasilan insulin terganggu.

Diabetes jenis dua pula kebiasaannya dikesan pada usia yang lebih lanjut. Walau bagaimanapun, kes diabetes jenis dua dalam kalangan kanak-kanak dilihat semakin meningkat kebelakangan ini memandangkan penyakit ini banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti gaya hidup yang tidak sihat, berat badan yang berlebihan dan sejarah keluarga yang menghidap diabetes.

Selain dua jenis utama ini, terdapat juga diabetes yang disebabkan oleh faktor lain. Sebagai contoh, diabetes turut boleh berlaku sewaktu hamil dan dikenali sebagai gestational diabetes mellitus (GDM). Walaupun GDM hanya dihidapi secara sementara hingga tempoh kehamilan berakhir, namun, wanita yang pernah mengalami GDM berisiko untuk menghidap diabetes jenis dua pada masa yang akan datang.

Penyakit diabetes yang tidak terkawal dengan keadaan paras glukosa di dalam darah yang sentiasa tinggi boleh menyebabkan komplikasi yang serius. Komplikasi ini dapat memberikan kesan kepada hampir setiap organ di dalam badan.

Komplikasi diabetes boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu komplikasi makrovaskular (melibatkan salur darah yang besar) seperti strok dan serangan jantung, serta komplikasi mikrovaskular (melibatkan salur darah yang kecil) seperti kegagalan buah pinggang, kerosakan retina (retinopati diabetes) dan kerosakan saraf (neuropati diabetes).

Kebutaan Akibat Diabetes yang Tidak Terkawal Secara Berpanjangan

Antara komplikasi diabetes yang perlu diberikan perhatian termasuklah retinopati diabetes. Risiko untuk retinopati diabetes berlaku akan meningkat dengan tempoh pesakit menghidap diabetes. Pesakit juga mungkin tidak menyedari akan sebarang perubahan kepada penglihatan mereka hinggalah kerosakan retina ini telah terjadi.

Menurut Garis Panduan Amalan Klinik Diabetes Melitus yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kurang daripada lima peratus pesakit mula menunjukkan tanda retinopati diabetes pada peringkat awal mereka didapati menghidap diabetes. Namun begitu, peratusan ini meningkat dengan mendadak sehingga 40 peratus hingga 50 peratus dalam tempoh sedekad.

Retinopati diabetes yang merupakan kerosakan pada retina merupakan penyebab utama kebutaan dalam kalangan pesakit diabetes. Penglihatan yang terjejas ini disebabkan oleh masalah salur darah di retina. Retina ialah lapisan tisu pada bahagian belakang mata yang berfungsi untuk mengesan kehadiran cahaya dan menghantar imej kepada otak.

Pada peringkat awal retinopati diabetes, pesakit biasanya tidak mengalami sebarang gejala. Walau bagaimanapun, sebilangan pesakit mungkin akan sesekali mengalami masalah penglihatan, misalnya seperti kesukaran membaca atau melihat objek yang jauh.

Gejala yang lain termasuklah kesukaran melihat pada waktu malam, paparan warna yang kelihatan pudar atau penglihatan yang tidak stabil, iaitu antara jelas dengan kabur. Semua gejala ini boleh menjejaskan kedua-dua belah mata dan hendaklah diberikan perhatian sewajarnya. Perkara ini adalah penting untuk mengelakkan komplikasi menjadi lebih serius.

Sekiranya keadaan menjadi semakin serius, darah akan meresap keluar dari salur darah dan kemudiannya meresap masuk ke dalam vitreus (cecair seakan-akan gel yang terdapat di dalam mata). Apabila perkara ini terjadi, paparan seperti titik gelap yang terapung atau garisan halus akan muncul pada penglihatan pesakit.

Walaupun titik gelap atau garisan halus ini boleh hilang dengan sendirinya, namun pesakit sangat digalakkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan lanjut. Sekiranya tiada tindakan diambil, pendarahan boleh terjadi atau tisu yang terjejas boleh menjadi parut yang kekal. Kedua-dua keadaan ini akan meningkatkan lagi risiko kepada masalah penglihatan yang lebih serius.

Nasihat kepada Pesakit dan Orang Awam

Pengurusan penyakit diabetes yang efektif merupakan cara yang terbaik untuk mengurangkan risiko pesakit mengalami komplikasi retinopati diabetes. Hal ini termasuklah dengan memastikan paras glukosa sentiasa berada dalam julat yang normal. Kawalan diabetes yang baik boleh dilakukan melalui kepatuhan kepada ubat-ubatan serta gaya hidup yang sihat seperti melakukan aktiviti fizikal secara konsisten dan pengambilan diet yang seimbang.

Ubat-ubatan antidiabetes tidak dapat memberikan kesan yang optimum sekiranya pesakit tidak mengambilnya seperti yang telah diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi. Oleh sebab itu, pesakit hendaklah mengambil ubat-ubatan mengikut aturan yang sepatutnya.

Pesakit disarankan untuk menggunakan alat bantuan seperti carta pengambilan ubat atau jam penggera untuk membantu mereka mengingati waktu pengambilan ubat. Selain itu, pesakit juga boleh mendapatkan bantuan ahli keluarga atau kenalan lain untuk membantu mereka kekal patuh kepada pengambilan ubat-ubatan.

Bukan itu sahaja, pesakit dinasihatkan agar sentiasa berbincang sekiranya berhadapan dengan sebarang masalah berkaitan pengambilan ubat-ubatan dengan doktor atau ahli farmasi, contohnya apabila mengalami kesan sampingan yang menjejaskan kualiti hidup mereka. Penjadualan waktu pengambilan ubat-ubatan yang bersesuaian dengan aktiviti seharian juga dapat membantu meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap rawatan.

Pemeriksaan mata secara berkala sangat digalakkan untuk pesakit diabetes. Sekiranya tanda komplikasi dapat dikesan lebih awal, tindakan segera dapat diambil untuk memperlahankan komplikasi tersebut daripada menjadi lebih serius dan seterusnya dapat mengelakkan masalah kebutaan. Pesakit disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor tentang keperluan melakukan pemeriksaan mata mengikut tempoh yang disarankan.

Pesakit diabetes juga dinasihatkan untuk berhenti merokok dan mengurangkan pengambilan alkohol. Pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes pula dinasihatkan untuk mula menurunkan berat badan.

Pemakanan yang seimbang adalah sangat penting bagi pesakit diabetes untuk mengawal paras glukosa di dalam darah. Mereka harus mengambil lebih buah-buahan, sayur-sayuran, protein yang kurang berlemak (lean protein) dan bijirin penuh. Pesakit juga hendaklah mengurangkan pengambilan lemak tepu serta gula dan makanan terproses.

Senaman secara berkala turut digalakkan memandangkan aktiviti ini dapat membantu menurunkan paras glukosa dan meningkatkan sensitiviti sel terhadap insulin. Amalan gaya hidup sihat sangat digalakkan kepada individu yang berisiko tinggi untuk menghidap diabetes.

Bertindak Sekarang untuk Mencegah Komplikasi Diabetes

Secara kesimpulannya, pengurusan diabetes yang baik adalah penting untuk mengurangkan risiko komplikasi yang serius, termasuklah retinopati diabetes yang akhirnya boleh mengakibatkan kebutaan. Pesakit harus memastikan paras glukosa berada dalam julat yang terkawal dengan sentiasa patuh kepada pengambilan ubat-ubatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Puan Nur Ariza Ab.Rahman,
Pegawai Farmasi UF54.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.