Diterbitkan pada 26 November 2024, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Selangor melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor yang bertujuan menjadikan negeri ini sifar pengeluaran karbon menjelang tahun 2050 yang menegaskan komitmen negeri terhadap adaptasi dan mitigasi perubahan iklim melalui pendekatan menyeluruh dan sistematik.

Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, dalam ucapannya semalam berkata dasar tersebut merangkumi 10 Teras Strategik dan 70 Tindakan Utama yang melibatkan kerjasama antara agensi negeri, persekutuan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Pengadaptasian kepada perubahan iklim bukanlah satu pilihan. Langkah ini merupakan tanggungjawab bersama kerajaan dan rakyat bagi menjamin masa depan negeri supaya bukan sahaja terus maju dari segi ekonomi, tetapi menjadi negeri yang berdaya huni untuk setiap warga Selangor,” ujar beliau.

Dasar ini diselaraskan melalui Pusat Adaptasi Perubahan Iklim dengan pelaksanaan terbahagi kepada tiga fasa sehingga selepas tahun 2030. Fokus utama dasar ini meliputi pelbagai aspek seperti penggunaan tenaga mampan, pengurusan sisa, pengangkutan awam, serta keterjaminan makanan. 

“Antara langkah signifikan yang diambil termasuklah meningkatkan penglibatan dalam sektor tenaga boleh baharu, selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Persekutuan. Selain itu, negeri Selangor juga akan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah dengan mengadaptasi teknologi sisa-kepada-tenaga yang telah terbukti berkesan di negara maju.

“Teknologi ini bukan sahaja menyelesaikan isu pengurusan sisa, tetapi turut menghasilkan tenaga untuk kawasan perumahan dan komersial,” tambah beliau.

Pada peringkat industri, sektor yang berkait rapat dengan pelepasan gas rumah hijau (GHG) akan memainkan peranan penting dalam pembangunan pasaran perdagangan karbon dan pengurangan pelepasan GHG. Langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi menuju status negeri sifar karbon. 

Menteri Besar turut menekankan bahawa perubahan iklim tidak boleh lagi dilihat sebagai isu alam sekitar semata-mata, tetapi perlu diberi perhatian dalam semua aspek pentadbiran. Pendekatan ini akan memastikan pembangunan negeri berlangsung secara mampan sambil melindungi kualiti hidup rakyat.

Dengan Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor sebagai panduan, kerajaan negeri berhasrat untuk menjadi negeri contoh dalam usaha melawan perubahan iklim, meletakkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar sebagai keutamaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi