Diterbitkan pada 25 November 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gadong Jaya – Pertubuhan Kebajikan Ihsan Bakti, Pertubuhan Rasah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Gadong Jaya dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu telah menganjurkan Mini Karnival Wanita Madani di Surau Al-Mustaqim, Taman Gadong Jaya bagi mempromosikan pembudayaan hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.

Sebahagian peserta yang hadir mendengar ceramah mengenai kanser payudara dan kepentingan menjalani saringan awal pemeriksaan payudara di Surau Al-Mustaqim, Taman Gadong Jaya.

Program yang dirasmikan oleh Penyelaras DUN Labu, Encik Ahmad Faez Abd Razak itu menjadikan ceramah berkaitan dengan kesihatan payudara sebagai pengisian utama dan disertai oleh 50 orang peserta.

Sepanjang program itu berlangsung, pakar kesihatan dari Universiti Healthcare KPJ, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain berkongsikan maklumat penting tentang langkah pencegahan awal penyakit berkaitan dengan payudara seperti kanser payudara menerusi tayangan video pembelajaran prosedur pemeriksaan mamogram serta demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara (PSP).

Menurut beliau,

Penerangan yang jelas adalah amat penting untuk mengubah persepsi negatif  kebanyakan wanita terhadap pemeriksaan awal kanser payudara, khususnya pemeriksaan mamogram.

Dalam program tersebut, para peserta turut diajar teknik PSP yang betul dan mudah dilakukan di rumah untuk mengesan sebarang perubahan yang mencurigakan pada peringkat awal.

Puan Nor’aini A. Latif, salah seorang peserta program berkenaan menyatakan bahawa ceramah ini sangat bermanfaat kerana beliau dapat mempelajari banyak perkara baharu, terutamanya tentang PSP, sekali gus membuka matanya tentang kesihatan yang sering diabaikan.

Selain memberikan ilmu kesihatan, sesi ceramah tersebut juga menekankan aspek sokongan moral dan psikologi bagi individu yang mungkin menghadapi cabaran berkaitan dengan kesihatan payudara.

Sementara itu, Pengarah Program Mini Karnival Wanita Madani, Puan Siti Salwaby Abu Hasan berkata, penganjuran ceramah ini menunjukkan komitmen pihak penganjur dalam memberikan manfaat yang menyeluruh kepada wanita, bukan sahaja dari segi korahanian dan keusahawanan, malah dari aspek kesihatan yang kritikal.

Jelas beliau,

Program seumpama ini bukan sahaja menggalakkan masyarakat untuk aktif secara fizikal tetapi memupuk semangat kebersamaan dan sokongan dalam kalangan penduduk setempat.

Dalam hal ini, Mini Karnival Wanita Madani sememangnya telah membuktikan bahawa wanita yang sihat dan berpengetahuan merupakan tunjang kepada pembentukan masyarakat yang lebih cemerlang.

YBrs. Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain (tiga dari kiri) bergambar bersama-sama sebahagian Ahli Jawatankuasa Program Mini Karnival Wanita Madani 2024 DUN Labu sebagai tanda kenang-kenangan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi