Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerak – Pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengambil kursus Pengantar Persekitaran Fizikal di bawah bimbingan Pensyarah Kanan, Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI, YBrs. Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib berpeluang melakukan kajian lapangan di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang dan Tasik Cermin, Ipoh untuk mengetahui kepentingan ekosistem serta pengurusan lestari kawasan tersebut.
Kaedah pembelajaran menerusi kajian lapangan sememangnya diterapkan bagi setiap semester akademik di UPSI bagi membolehkan para pelajar mengaitkan elemen atmosfera, hidrosfera, litosfera dan biosfera yang dipelajari dalam kehidupan.
Menurut YBrs. Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, terdapat bukti empirikal yang menunjukkan bahawa pelajar akan lebih mudah untuk mengingati perkara yang dilakukan berbanding dengan hal yang didengar atau dibaca.
Ujar beliau,
Kaedah pembelajaran secara kajian lapangan yang menarik dan interaktif bukan sahaja meningkatkan rasa empati terhadap subjek, malah meningkatkan pemikiran kritis, kemahiran membuat keputusan dan kemampuan untuk menyelesaikan masalah yang kompleks.
Beliau juga menyatakan bahawa pembelajaran berasaskan kajian lapangan memberikan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan konsep teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah dan memahami realiti persekitaran dengan lebih mendalam yang membolehkan pemahaman secara langsung mengenai dinamika alam sekitar yang sebenar, sekali gus menambah baik proses pembelajaran pelajar.
Sepanjang kajian lapangan di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang dijalankan, para pelajar dapat memerhatikan komponen biosfera seperti haiwan dan burung di habitat semula jadi, mempelajari proses percambahan biji benih bakau dan memahami komponen biotik dan abiotik serta siratan makanan hutan paya laut.
Selain itu, para pelajar juga mendapat maklumat mengenai ekosistem pokok bakau, termasuklah kepentingan spesies ini dalam melindungi garis pantai, memelihara biodiversiti, menyerap karbon serta berpeluang melihat sendiri keunikan pokok bakau seperti struktur akar yang menonjol keluar dari tanah dan fungsinya dalam memperkukuh ekosistem kawasan paya laut.

Sementara itu, kajian lapangan yang dilakukan di Tasik Cermin pula memberikan peluang kepada pelajar untuk mengkaji kualiti air dengan menjalankan ujian in situ seperti nilai pH, tahap oksigen terlarut dan konduktiviti air.
Eksplorasi kajian yang dilakukan memberikan kesedaran kepada pelajar akan hubungan kehidupan akuatik di tasik, berpeluang memerhatikan pembentukan batu kapur, jenis batuan yang kaya dengan unsur besi dan proses pengoksidaan yang berlaku dalam membentuk pandang darat landskap kawasan tersebut.

YBrs. Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib berpandangan bahawa ekplorasi ilmu seperti ini membentuk pengalaman pendidikan yang holistik dalam dunia akademik kini.
Katanya,
Dengan adanya pengalaman secara langsung di lapangan, para pelajar boleh mengaitkan antara pembelajaran secara teori dengan praktikal, sekali gus memperdalam pemahaman mereka tentang alam sekitar serta peka terhadap persekitaran.