Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia komited dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan lestari melalui kolaborasi dengan jabatan dan agensi lain menerusi penganjuran program Kayuhan dan Larian Lestari “Dari Jalan Bandar ke Denai Hutan”.
NRES dalam satu kenyataan berkata, acara yang disertai oleh lebih daripada 400 orang itu dimulakan dengan sesi pelepasan peserta yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha NRES, YBhg. Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan berakhir di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL).
Menurut NRES,
Acara sejauh lima kilometer itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi mengukuhkan pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan sumber hutan serta pembangunan secara mampan untuk dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan akan datang.
NRES juga menyatakan bahawa acara berkenaan adalah antara usaha yang dilakukan untuk mempromosikan TERKL sebagai satu-satunya green lung area yang kaya dengan flora dan fauna semula jadi di tengah pusat bandar raya dan persiapan TERKL sebagai lokasi ekopelancongan dan tapak lawatan bersempena dengan ASEAN Summit 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dalam program tersebut turut diadakan aktiviti Kutip Sampah sambil Riadah (KUDAH) di TERKL sebagai sokongan untuk memelihara sumber hutan dan mencintai alam sekitar.
Ujar NRES,
Program seumpama ini diharapkan dapat memberikan impak yang positif kepada masyarakat dalam usaha memelihara khazanah sumber hutan, menghargai kawasan ekopelancongan dan membudayakan gaya hidup sihat serta lestari.
Agensi lain yang turut bekerjasama dalam menjayakan acara ini termasuklah Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP), Pertubuhan Nadi Sihat, Sustainable Energy Development Authority Malaysia dan Menara Kuala Lumpur.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan), YBhg. Dato’ Mohd Rahim Rani, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Nadi Sihat, Encik Fahisha Irwan Mustapha dan Pengarah JPWP, Encik Azrul Ekhuan Eliah.