20 November 2024, 07:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kucai yang nama saintifiknya dikenali sebagai Allium tuberosum atau turut dipanggil Allium ramousum ialah sejenis tanaman daripada famili Alliaceae, sama seperti keluarga bawang yang lain. Tumbuhan berharga ini merupakan sejenis sayuran berdaun yang berasal dari Shanxi, sebuah wilayah di bahagian utara negara China.

Atas faktor mudah hidup di atas pelbagai jenis tanah, tanaman kucai telah ternaturalisasi dan ditanam di seantero dunia, terutamanya di kebanyakan negara Asia termasuklah Malaysia. Di Malaysia, kucai dipercayai telah diperkenalkan oleh kaum Cina yang gemar menjadikannya sebagai sayuran atau bahan tambah dalam masakan mereka.

Pertembungan budaya yang unik di Malaysia menjadikan kucai sinonim dalam masakan pelbagai kaum. Antara masakan yang menggunakan kucai termasuklah char kuetiau, mi goreng, campuran dalam cucur dan beberapa hidangan lain.

Kucai memiliki pelbagai manfaat untuk kesihatan badan manusia. Kajian klinikal yang dijalankan mendapati kucai mengandungi antiseptik yang boleh membunuh kuman dalam perut dan dalam sistem penghadaman usus.

Kucai juga dapat mengurangkan risiko daripada terkena penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok. Hal ini dikatakan demikian kerana kucai mengandungi serat yang baik bagi menurunkan kadar kolesterol sehingga dapat mencegah pengumpulan kolesterol di dalam pembuluh darah yang menjadi penyebab kepada penyakit kardiovaskular.

Kandungan kalium dan antioksidan flavonoid yang terdapat pada kucai pula terbukti efektif untuk menurunkan dan mengawal tekanan darah. Kucai turut didapati mengandungi vitamin C, vitamin B, karotin dan paling istimewa. Tumbuhan ini mempunyai kandungan belerang (sulfur) yang dipercayai baik untuk mengurangkan penyakit darah tinggi, senggugut, keputihan dan sembelit.

Selain itu, kehadiran sebatian meruap daripada kumpulan sulfur turut menjadikan kucai sangat sesuai dijadikan sebagai tanaman penghalau (repellent) bagi serangga perosak, terutamanya perosak kutu daun atau lebih dikenali sebagai afid yang biasanya menyerang pelbagai jenis tanaman. Penanaman kucai sebagai tanaman beregu yang ditanam bersama-sama tanaman utama dapat mengurangkan populasi afid yang menjadi pembawa kepada penyakit pada tanaman seperti penyakit virus. Bau sulfur pada kucai akan menyebabkan afid menjauhi tanaman utama dalam mekanisme yang dinamakan masking odour.

Di Malaysia, terdapat dua varieti utama kucai yang dikomersialkan yang terdiri daripada jenis berdaun halus dan berdaun lebar. Kucai berdaun halus atau dikenali sebagai kucai tempatan kebiasaannya ditanam di laman rumah dengan tanamannya seakan-akan tanaman bawang yang mempunyai umbisi berwarna putih serta mengeluarkan aroma yang agak kuat dan berasa sedikit pedas. Kucai berdaun lebar atau dikenali sebagai kucai Cina pula mempunyai aroma seakan-akan bawang putih dan lazimnya mengeluarkan bunga berwarna putih yang mempersonakan pandangan mata, lalu menjadikannya turut ditanam bagi tujuan hiasan di sekitar kawasan rumah selain digunakan dalam masakan.

Bunga kucai boleh didapati di sesetengah pasar raya tempatan bagi dijadikan hidangan yang membangkitkan selera bagi penggemarnya yang tersendiri. Pada kebiasaannya, bunga kucai dapat dilihat pada hujung musim bunga bagi negara yang mempunyai empat musim dan juga pada Julai. Walau bagaimanapun, bagi tujuan menggalakkan pertumbuhan daun, bunga kucai perlu dibuang supaya kucai dapat hidup dengan lebih subur.

Bunga kucai.

Penanaman kucai biasanya menggunakan biji benih atau bebawang. Namun begitu, tidak seperti bawang, kucai akan terus kekal hidup walaupun sudah berbunga dan menghasilkan benih berbanding dengan bawang yang akan terus mati sebaik sahaja mengeluarkan benih.

Kucai yang ditanam daripada biji benih agak sedikit mencabar dan mengambil masa lebih kurang setahun untuk mula stabil berbanding dengan pembiakan daripada bebawang yang memerlukan masa yang lebih singkat tanpa tempoh semaian. Pokok kucai boleh dipecahkan bermula pada umur sekitar empat hingga lima bulan.

Setiap pokok didapati mampu menghasilkan 30 pokok per rumpun dalam tempoh 9 bulan. Jangka hayat kucai biasanya melebihi satu tahun dan mampu mencapai usia tujuh tahun ke atas sekiranya ditanam pada tanah yang subur dan mendapat nutrien yang mencukupi.

Fakta menarik bagi tanaman kucai ialah tumbuhan ini tidak mempunyai masalah serius berkaitan dengan penyakit dan perosak serta boleh dituai dengan cara memotong kira-kira dua hingga tiga sentimeter dari paras perdu sekerap tiga hingga empat minggu sekali. Kucai juga merupakan antara tanaman yang mudah dijaga kerana tergolong dalam tanaman tropika yang boleh hidup di bawah panas matahari.

Tanaman kucai sebaik-baiknya menerima empat hingga enam jam cahaya matahari sehari bagi penghasilan pokok yang subur. Kucai akan tetap hidup sekiranya ditanam di bawah teduhan, namun akan terdapat kekurangan dari segi hasil sekiranya dibandingkan dengan kucai yang ditanam di bawah terik matahari.

Tanaman kucai boleh tumbuh subur di atas pelbagai jenis tanah. Tanah yang tinggi bahan organik adalah yang paling disyorkan bagi mengurangkan bilangan pembajaan sewaktu pembesaran kucai. Penanamannya di tanah tinggi hanya menggunakan baja tahi ayam sebanyak dua kali setahun kerana mempunyai kandungan nutrien dan bahan organik yang tinggi.

Di Malaysia, tanah tinggi Cameron Highlands merupakan satu daripada kawasan yang terbaik bagi penanaman kucai dalam ladang. Pengusaha dan pengeluar kucai yang terkenal di Cameron Highlands, iaitu SKS Farm memiliki keluasan ladang seluas 15 hektar yang digunakan bagi tujuan penanaman kucai sejak lapan tahun yang lepas.

Penanaman kucai dalam ladang.

Sebanyak 500 kilogram (0.5 tan) kucai berjaya dituai oleh SKS Farm pada setiap hari bagi menampung pasaran tempatan dan luar negara. Harga pasaran kucai yang mampu mencecah RM13.00 per kilogram, tanaman ini dilihat mampu memberikan pulangan yang lumayan bagi pengusaha tanaman bernilai ini. Oleh hal yang demikian, kucai boleh diiktiraf sebagai tanaman yang menguntungkan kerana ditanam sekali, tuai berkali-kali!

Fatin Nurliyana Ahmad dan Dr. Razean Haireen Mohd Razali,
Pusat Penyelidikan Tanaman Industri,
Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.