Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSesetengah masyarakat di negara ini mungkin berasa agak asing dengan istilah jejak karbon atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil carbon footprint. Tidak mustahil juga terdapat sebahagian daripadanya yang tidak pernah mendengar istilah ini. Namun demikian, istilah ini menjadi semakin popular semasa era krisis perubahan iklim global. Bertitik tolak daripada hal ini, penulis mengambil inisiatif untuk berkongsikan pengetahuan tentang jejak karbon secara umum untuk difahami oleh masyarakat.
Jejak karbon merupakan satu bentuk konsep yang muncul pada tahun 2004 daripada idea jejak ekologi yang lahir pada awal tahun 1990-an. Jejak ekologi bermaksud penggunaan sesebuah kawasan tanah bagi menyokong segala aktiviti penduduk yang memberikan kesan kepada alam sekitar. Konsep jejak karbon tercetus daripada satu kempen sosial sebuah syarikat bahan api British. Idea asalnya mudah, iaitu untuk menyedarkan individu akan skala kesan aktiviti atau perbuatan mereka (individu/masyarakat) terhadap persekitaran semula jadi, di samping tidak menyalahkan aktiviti yang dilakukan oleh sesebuah industri sebagai punca tunggal masalah pencemaran alam sekitar.
Apabila berbicara tentang alam sekitar, masyarakat tidak boleh lari daripada memperkatakan isu pencemaran dan punca keadaan ini berlaku. Dalam hal ini, terdapat banyak faktor yang boleh diketengahkan. Sektor industri tenaga, pengangkutan, pengilangan dan pertanian merupakan antara sektor utama yang menyumbang kepada pelbagai bentuk pencemaran, sekali gus membentuk jejak karbon.
Secara umumnya, jejak karbon ialah jumlah pelepasan gas karbon dioksida (CO2) daripada semua aktiviti manusia atau entiti lain, sama ada organisma, kenderaan, bangunan, kilang, rumah hijau dan sebagainya. Aktiviti ini termasuklah pembakaran bahan api fosil dalam pembuatan, pengilangan, pemanasan dan pengangkutan serta menghasilkan tenaga elektrik untuk pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Di samping itu, pelepasan gas rumah hijau yang lain seperti metana, nitrus oksida dan klorofluorokarbon (CFC) juga diambil kira dalam konsep jejak karbon.
Jejak karbon terbahagi kepada dua kategori, iaitu jejak karbon primer dan jejak karbon sekunder. Jejak karbon primer merujuk pelepasan gas CO2 secara langsung daripada pembakaran bahan bakar fosil pengangkutan dan penggunaan tenaga yang digunakan di dalam bangunan kediaman. Sementara itu, jejak karbon sekunder ialah pelepasan gas CO2 secara tidak langsung yang terhasil daripada kehidupan seharian individu dan industri komersial yang terlibat dalam proses kitaran pembuatan produk sehinggalah penguraian produk tersebut.
Secara teknikal, jejak karbon bermaksud sumbangan oleh setiap individu dan industri kepada pelepasan gas rumah hijau. Hal ini boleh dikira dengan jumlah gas CO2 atau gas setara yang telah dibebaskan ke atmosfera akibat tindakan yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Kiraan jumlah gas CO2 secara tepat tidak dapat diketahui, namun anggaran jumlah jejak karbon untuk setiap aktiviti yang berlaku adalah penting dalam memberikan idea dan petunjuk bagi memilih aktiviti yang lebih sihat serta mengenal pasti langkah untuk meminimumkan kesan pencemaran alam sekitar.
Perkara yang paling penting untuk diketahui ialah jumlah pelepasan gas karbon per kapita setahun ke atmosfera daripada setiap aktiviti yang dilakukan oleh individu atau industri. Terdapat kaedah untuk mengira nilai jejak karbon yang dinyatakan dengan ukuran jumlah metrik tan gas rumah hijau CO2 yang dijana oleh entiti atau aktiviti tertentu dalam setahun. Sesetengah kiraan adalah khusus kepada industri dan mencerminkan sifat cawangan industri tertentu. Dua kaedah yang paling universal dan paling banyak digunakan ialah Publicly Available Specification 2050 (PAS 2050) yang dibangunkan oleh British Standards Institute dan standard antarabangsa ISO 14067:2018.
Pengiraan jejak karbon memerlukan pendekatan yang menyeluruh. Sebagai contohnya, satu jadual penerbangan kapal terbang bukan sahaja mengambil kira bahan api yang terbakar, malah melibatkan pelepasan gas yang berkaitan dengan pengeluaran dan penyelenggaraan mesin, pengekstrakan dan penapisan bahan api serta keseluruhan infrastruktur di lapangan terbang itu sendiri.
Untuk kumpulan isi rumah atau individu pula boleh menggunakan kalkulator jejak karbon yang mudah dicapai melalui laman sesawang CarbonPrint.com. Menerusi kalkulator karbon ini, pengguna boleh mengetahui jumlah penggunaan tenaga, tahap kitar semula, jumlah dan jenis pemakanan serta cara pengangkutan yang digunakan oleh ahli isi rumah atau individu itu sendiri.
Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi peningkatan jejak karbon, misalnya corak diet yang diamalkan telah menyumbang sebanyak 25 peratus hingga 42 peratus daripada jumlah jejak karbon global. Setiap produk makanan menghasilkan jejak karbon yang berbeza. Sebagai contohnya, makanan berasaskan daging menghasilkan jejak karbon yang tinggi berbanding dengan sayur-sayuran.
Hal ini dikatakan demikian kerana makanan berasaskan daging perlu melalui proses yang panjang dan setiap peringkat proses tersebut mempunyai jejak karbon yang tersendiri. Lokasi penghasilan produk juga perlu diambil kira. Misalnya, sayur yang diimport menghasilkan jejak karbon yang tinggi semasa proses pengangkutan yang menggunakan bahan api.
Selain itu, aktiviti pertanian dan perladangan, terutamanya yang berskala besar juga adalah antara penyumbang utama jejak karbon yang menyaksikan proses seperti penerokaan hutan dan penggunaan bahan api yang tinggi untuk jentera semasa melakukan aktiviti berkenaan. Bahan buangan hasil pertanian dan perladangan pula akan mereput dan seterusnya menghasilkan gas metana dalam kuantiti yang sangat tinggi.
Apabila aktiviti yang menyumbang kepada jejak karbon dikenal pasti, kaedah dan strategi ampuh agar jejak karbon dikurangkan dapat dirangka. Pemilihan produk yang dihasilkan oleh pekebun kecil, sama ada mengurangkan atau tidak menggunakan jentera berat sama sekali dapat meminimumkan penggunaan bahan api, membantu mengurangkan jejak karbon, sekali gus meningkatkan ekonomi pekebun.
Di samping itu, amalan mendisiplinkan diri daripada membeli makanan secara berlebihan juga dapat membantu menjimatkan jejak karbon. Rakyat Malaysia yang membuang makanan yang masih boleh dimakan dianggarkan telah menjangkau 4000 tan sehari, sekali gus menyebabkan makanan tersebut menjadi basi dan reput serta boleh menghasilkan gas metana.
Pemilihan makanan dengan melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan ulam-ulaman sangat digalakkan berbanding dengan memakan daging atau masakan yang mengambil masa yang lama untuk disediakan. Keadaan ini boleh menjimatkan penggunaan bahan api atau elektrik di rumah, mengurangkan jejak karbon, meningkatkan ekonomi ahli isi rumah serta kesihatan turut terjaga.
Seterusnya, pemilihan peranti dan mentol yang cekap tenaga di kediaman juga merupakan usaha yang berbaloi ke arah penjimatan tenaga elektrik dan mengurangkan jejak karbon. Tindakan mematikan lampu dan peranti elektrik yang tidak digunakan juga dilihat penting dalam usaha mengurangkan kadar jejak karbon.
Perkembangan semasa dunia yang begitu agresif dalam usaha mengurangkan jejak karbon dan komitmen tinggi kerajaan seiring dengan pengenalan pelbagai dasar bagi memastikan tadbir urus yang telus dalam melestarikan alam sangat dihargai. Peruntukan dana yang besar bagi bekalan tenaga elektrik hijau berkualiti atau tenaga boleh diperbaharui sangat membantu ke arah mencapai usaha pengurangan jejak karbon, selari dengan aspirasi Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050.
Tanggungjawab untuk mengurangkan kadar jejak karbon perlu disemat di dalam diri setiap kelompok masyarakat, termasuklah pihak industri sendiri. Pembabitan dan peranan segenap lapisan komuniti dan organisasi sangat dituntut kerana melalui tindakan sedemikian akan menjadikan kualiti udara dan alam sekitar lebih sihat dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup serta produktiviti masyarakat. Dengan adanya insentif dan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti Dasar Teknologi Hijau Negara akan menarik kemasukan para pelabur asing, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara.
Menyedari akan kepentingan hal ini, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang merupakan institusi pertama di Malaysia yang mengisytiharkan kadar pelepasan karbon dengan bertindak proaktif menghitung jejak karbon mereka sendiri bermula tahun 2011. Hal ini bertujuan untuk melindungi alam sekitar dan menggalakkan organisasi lain untuk turut serta dalam menyumbang ke arah usaha pemuliharaan alam sekitar dan hutan negara.
Usaha yang dilaksanakan oleh FRIM ini wajar dijadikan contoh bagi menunjukkan komitmen dalam merancang aktiviti berkaitan dengan isu alam sekitar. Misalnya, program penjimatan tenaga yang dijalankan demi pengurusan yang lebih cekap dan berkualiti, di samping memastikan kelestarian alam terjaga, selari dengan eleman alam sekitar yang terkandung dalam konsep Malaysia MADANI.
Masyarakat tidak mampu untuk menghapuskan jejak karbon secara keseluruhan, namun usaha dan tekad yang dilakukan berupaya memberikan kesan pengurangan yang besar terhadap jejak karbon. Sebenarnya, aktiviti mengurangkan jejak karbon dapat menjimatkan perbelanjaan harian tanpa mengurangkan kualiti hidup. Oleh hal yang demikian, sebelum seseorang itu melakukan sebarang aktiviti, fikirkan dahulu impak jejak karbon yang bakal berlaku.
Azian Mohti (Pegawai Penyelidik), Mohd Rizal Mohd Kassim (Penolong Pegawai Penyelidik) dan Nurul Ain Abdul Manaf (Pembantu Penyelidik), Cawangan Perubahan Iklim Perhutanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.