Diterbitkan pada 29 Januari 2026, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Peningkatan jumlah sisa pepejal merupakan antara cabaran utama yang dihadapi oleh kebanyakan negara pada masa ini, termasuk Malaysia. Penjanaan sisa pepejal yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia diunjurkan meningkat sehingga 17.03 juta tan metrik pada tahun 2035 berbanding dengan 15.2 juta tan pada tahun 2024. Pertumbuhan penduduk, proses perbandaran yang pesat serta perubahan corak gaya hidup telah menyebabkan penghasilan sisa meningkat setiap tahun. Tapak pelupusan yang dahulunya mampu menampung sisa kini semakin sesak, manakala pembukaan tapak baharu sering menghadapi kekangan tanah, kos yang tinggi serta bantahan masyarakat setempat. Dalam konteks ini, pengurusan sisa tidak lagi boleh bergantung pada kaedah pelupusan konvensional sahaja.

Pada masa yang sama, dunia turut berhadapan dengan cabaran keselamatan tenaga dan perubahan iklim. Kebergantungan terhadap bahan api fosil bukan sahaja menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau, malah mendedahkan negara kepada risiko turun naik harga tenaga global. Oleh hal yang demikian, pendekatan baharu yang lebih lestari amat diperlukan bagi menangani kedua-dua isu ini secara serentak.

Dalam kerangka ini, teknologi pengolahan sisa untuk penjanaan tenaga muncul sebagai satu penyelesaian strategik. Sisa pepejal yang sebelumnya dianggap sebagai beban lingkungan kini berpotensi diubah menjadi sumber tenaga alternatif yang bernilai. Pendekatan ini tidak hanya mengurangi jumlah sisa yang dikirim ke tempat pembuangan akhir, tetapi juga berkontribusi pada produksi tenaga secara berterusan dan mendukung agenda pembangunan lestari negara.

Konsep Teknologi Tenaga daripada Sisa

Teknologi tenaga daripada sisa atau lebih dikenali sebagai waste to energy (WtE), merujuk pelbagai kaedah rawatan sisa yang bertujuan untuk menukarkan sisa pepejal kepada bentuk tenaga yang boleh dimanfaatkan seperti elektrik, haba atau bahan api gas. Prinsip asas teknologi ini mudah, iaitu menggunakan sisa untuk diproses melalui kaedah tertentu bagi membebaskan kandungan tenaga yang terkandung di dalamnya.

Berbeza dengan tapak pelupusan tradisional yang hanya menimbunkan sisa, teknologi WtE melibatkan proses terkawal dengan pemantauan ketat terhadap pelepasan bahan pencemar. Teknologi moden dilengkapi dengan sistem rawatan gas dan kawalan emisi yang canggih, menjadikannya jauh lebih selamat dan mesra alam berbanding dengan amalan pembakaran terbuka yang masih digunakan hingga kini.

Secara tidak langsung, teknologi ini mengubah paradigma pengurusan sisa daripada pendekatan “buang dan lupus” kepada konsep “guna semula sebagai sumber”, selari dengan prinsip ekonomi kitaran yang semakin ditekankan pada peringkat global.

Jenis Teknologi Pengolahan Sisa untuk Penjanaan Tenaga

Pembakaran terkawal moden

Pembakaran terkawal merupakan teknologi WtE yang paling matang dan meluas penggunaannya di negara maju seperti Jepun, Jerman, Korea dan Sweden. Dalam proses ini, sisa pepejal dibakar pada suhu yang tinggi melebihi 850 darjah Celcius dalam relau tertutup bagi menghasilkan haba. Oksigen diperlukan untuk memastikan pembakaran yang lengkap berlaku. Penggunaan suhu yang tinggi ini adalah untuk mengelakkan pembentukan gas berbahaya seperti dioksin dan furan. Haba daripada pembakaran sisa digunakan untuk menukarkan air kepada wap, seterusnya memutar turbin bagi menjana elektrik.

Kaedah WtE berfungsi dalam mengolah sisa kepada tenaga.

Berbeza dengan persepsi umum, loji pembakaran moden dilengkapi dengan sistem kawalan pencemaran udara yang ketat, termasuk penapis zarah, penyerap gas berasid dan pemangkin khas bagi mengurangkan pelepasan bahan berbahaya. Abu sisa yang terhasil pula dikendalikan secara terkawal dan sebahagiannya boleh digunakan semula sebagai bahan binaan selepas rawatan lanjut.

Kelebihan utama teknologi ini ialah keupayaannya mengurangkan isipadu sisa sehingga 90 peratus, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada tapak pelupusan.

 Pencernaan anaerobik

Pencernaan anaerobik merupakan teknologi yang sangat sesuai untuk sisa organik seperti sisa makanan, sisa pertanian dan enap cemar kumbahan. Proses ini melibatkan penguraian bahan organik oleh mikroorganisma dalam keadaan tanpa oksigen dan menghasilkan biogas yang kaya dengan metana (CH4).

Biogas yang terhasil boleh digunakan untuk menjana elektrik, haba atau diproses lanjut menjadi bahan api bio. Selain tenaga, proses ini turut menghasilkan baki yang kaya dengan nutrien dan boleh dimanfaatkan sebagai baja organik.

Teknologi ini amat relevan dalam konteks Malaysia yang menghasilkan jumlah sisa makanan yang tinggi, iaitu antara 30 peratus hingga 40 peratus daripada jumlah komposisi sisa pepejal. Selain mengurangkan pelepasan gas metana secara tidak terkawal di tapak pelupusan, pencernaan anaerobik turut menyokong amalan pertanian lestari.

Gasifikasi dan pirolisis

Gasifikasi dan pirolisis merupakan teknologi terma lanjutan yang semakin mendapat perhatian sebagai alternatif masa hadapan. Kedua-dua proses ini melibatkan pemanasan sisa pada suhu yang tinggi dengan kehadiran oksigen yang terhad atau tanpa oksigen langsung.

Gasifikasi menghasilkan gas sintetik atau singas yang boleh digunakan sebagai bahan api untuk menjana elektrik atau sebagai bahan mentah industri. Pirolisis pula menghasilkan campuran gas, minyak dan arang yang berpotensi tinggi untuk kegunaan tenaga dan industri kimia.

Walaupun teknologi ini masih dalam peringkat pembangunan di kebanyakan negara membangun, potensi jangka panjangnya amat besar, terutamanya apabila digabungkan dengan inovasi pendigitalan dan kawalan automasi.

Manfaat Teknologi Tenaga daripada Sisa

Pelaksanaan teknologi tenaga daripada sisa menawarkan pelbagai manfaat dari sudut alam sekitar, ekonomi dan sosial. Dari segi alam sekitar, teknologi ini membantu mengurangkan jumlah sisa yang dilupuskan ke tapak pelupusan sambil mengurangkan pencemaran tanah, air dan udara. Pelepasan gas rumah hijau juga dapat dikawal dengan lebih berkesan melalui sistem rawatan moden.

Dari sudut tenaga pula, sisa pepejal menjadi sumber tenaga alternatif yang boleh menyumbang kepada kepelbagaian campuran tenaga negara. Walaupun sumbangannya mungkin kecil berbanding dengan sumber utama, sisa pepejal tetap memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya tahan sistem tenaga.

Sementara itu, manfaat dari sudut ekonomi merangkumi penciptaan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi hijau, operasi loji dan penyelenggaraan. Selain itu, teknologi ini turut merangsang inovasi tempatan dan pembangunan kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan sisa pepejal yang lestari.

Dari perspektif sosial, persekitaran yang lebih bersih dan sistem pengurusan sisa yang cekap menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat, khususnya di kawasan bandar.

Kedudukan Malaysia dalam Pembangunan Teknologi Ini

Malaysia telah menunjukkan komitmen dalam memperkukuh pengurusan sisa dan tenaga lestari melalui pelbagai dasar dan pelan strategik. Usaha ke arah pengurangan sisa ke tapak pelupusan serta peningkatan tenaga boleh baharu semakin diberikan penekanan.

Beberapa projek loji tenaga daripada sisa telah dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat, khususnya di kawasan berpenduduk padat. Namun demikian, pelaksanaannya masih berdepan dengan cabaran, termasuk kos pelaburan yang tinggi, keperluan kepakaran teknikal serta persepsi masyarakat terhadap isu pencemaran.

Kejayaan jangka panjang teknologi ini di Malaysia bergantung pada pendekatan bersepadu yang melibatkan dasar yang jelas, pemilihan teknologi yang bersesuaian, pemantauan yang ketat serta komunikasi berkesan dengan masyarakat.

Cabaran dan Persepsi Masyarakat

Satu daripada cabaran utama teknologi tenaga daripada sisa ialah persepsi awam yang sering mengaitkan pembakaran sisa dengan pencemaran udara dan risiko kesihatan. Persepsi ini sebahagiannya berpunca daripada pengalaman lampau serta kekurangan maklumat mengenai teknologi moden yang digunakan hari ini.

Oleh itu, usaha pendidikan dan literasi awam amat penting bagi menjelaskan perbezaan antara pembakaran terbuka dengan loji WtE moden. Ketelusan dalam perkongsian maklumat, pemantauan berterusan serta pelibatan komuniti setempat mampu meningkatkan tahap kepercayaan masyarakat terhadap teknologi ini.

Masa Hadapan Teknologi Tenaga daripada Sisa

Masa hadapan teknologi tenaga daripada sisa dijangka semakin diperkukuh melalui integrasi teknologi digital, kecerdasan buatan dan sistem pemantauan pintar. Pendekatan ini membolehkan operasi loji menjadi lebih cekap, selamat dan mesra alam.

Dalam konteks ekonomi kitaran, teknologi ini berpotensi menjadi komponen penting dalam sistem pengurusan sumber yang holistik. Peranan institusi pendidikan, penyelidikan dan generasi muda amat penting dalam memacu inovasi serta memastikan pembangunan teknologi ini selari dengan prinsip kelestarian.

Kesimpulan

Transformasi sisa kepada tenaga mencerminkan perubahan cara berfikir dalam menangani cabaran alam sekitar dan tenaga. Sisa tidak lagi dilihat semata-mata sebagai masalah, sebaliknya sebagai sumber yang boleh dimanfaatkan melalui teknologi yang sesuai dan bertanggungjawab. Dengan perancangan yang rapi, sokongan dasar dan kesedaran masyarakat, teknologi penjanaan tenaga berasaskan sisa berpotensi menjadi satu daripada tonggak penting dalam usaha Malaysia menuju pembangunan lestari dan masa hadapan yang lebih hijau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi