Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganugerahkan gelaran profesor emeritus kepada YBhg. Dato’ Dr. Chan Ngai Weng dalam Sidang Pertama Upacara Konvokesyen ke-62 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, Kampus Induk USM, hari ini.

Pengiktirafan tersebut sebagai tanda penghormatan tertinggi universiti kepada tokoh akademik atas kepakaran dan dedikasi beliau yang luar biasa dalam bidang hidrologi serta kelestarian sumber air dan alam sekitar.
YBhg. Dato’ Dr. Chan Ngai Weng merupakan pakar tersohor dalam bidang pengurusan sumber air dan pembangunan mampan serta telah menghasilkan banyak kajian berimpak tinggi yang memberikan pelbagai manfaat kepada polisi dan strategi berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar, khususnya dalam menangani cabaran perubahan iklim.
Sumbangan beliau merangkumi penerbitan akademik, pembangunan dasar dan usaha advokasi yang membantu memperkukuh keupayaan negara dalam menguruskan sumber air dengan lebih efisien.
Selain kejayaan akademik, YBhg. Dato’ Dr. Chan Ngai Weng juga dikenali sebagai tokoh yang komited dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat melalui program pendidikan dan kesedaran mengenai kepentingan melindungi sumber alam sekitar.

Kerjasama erat beliau dengan pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa memberikan impak terhadap pengurusan air, bukan sahaja di Malaysia, malah hingga peringkat serantau.
Penganugerahan gelaran profesor emeritus ini mencerminkan penghargaan USM terhadap usaha gigih YBhg. Dato’ Dr. Chan Ngai Weng dalam memperkasakan penyelidikan dan pendidikan, terutamanya dalam bidang yang berkait rapat dengan kelestarian alam sekitar.
Gelaran tersebut juga menegaskan peranan beliau sebagai inspirasi kepada generasi muda, penyelidik dan penggubal dasar untuk terus memperjuangkan pembangunan yang seimbang antara kemajuan ekonomi dengan pemeliharaan alam semula jadi.
Selain itu, pengiktirafan berkenaan bukan sahaja mengangkat nama YBhg. Dato’ Dr. Chan Ngai Weng sebagai tokoh yang disegani, malah menunjukkan komitmen USM dalam menghargai dan menyokong usaha ke arah kelestarian sumber alam dan kesejahteraan global.
Turut hadir dalam majlis pengiktirafan tersebut ialah staf akademik dan pentadbiran, para pelajar USM dan tetamu undangan lain.