Diterbitkan pada 19 November 2024, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Syarikat kesihatan dan gaya hidup global, QNET berbesar hati menyumbangkan dron berteknologi tinggi kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

Dron canggih QNET yang berharga lebih daripada RM60,000.00.

Sesi penyerahan dron yang berharga lebih daripada RM60,000.00 kepada Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar disempurnakan oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan QI, Encik Krishna Kumar bersempena dengan pelancaran “Program Kerjasama Teknologi untuk Meningkatkan Keselamatan dan Kesejahteraan Warga Petaling Jaya” di Bilik VTC, Tingkat Tiga, Menara QI, Jalan Toman.

Program yang dianjurkan tersebut membuktikan komitmen QI terhadap inovasi yang memberikan impak, sekali gus mencerminkan visinya dengan pihak Polis Diraja Malaysia serta komuniti untuk mewujudkan daerah Petaling Jaya yang lebih selamat dan sejahtera.

Dalam ucapan alu-aluannya, Encik Krishna Kumar menjelaskan bahawa dron yang disumbangkan itu dilengkapi dengan keupayaan pengawasan beresolusi tinggi untuk menyokong respons yang lebih pantas, mempertingkat pencegahan jenayah dan memudahkan capaian ke kawasan yang sukar dicapai.

Encik Krishna Kumar ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Menurut beliau,

Sumbangan ini adalah sebahagian daripada misi kami untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan dalam kehidupan seharian komuniti dengan menggunakan teknologi.

Katanya, sumbangan dron berkenaan adalah selaras dengan falsafah QI untuk menggunakan inovasi dalam mencipta perubahan yang bermakna serta memperkasakan pihak polis dan komuniti untuk menangani cabaran keselamatan dengan berkesan.

Selain itu, beliau juga mengakui bahawa apabila sesuatu teknologi itu berpotensi untuk mengubah kehidupan serta berupaya menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti sekiranya digunakan dengan bijaksana.

Jelas beliau, daya pemantauan dron berkenaan boleh membantu pihak polis bertindak dengan lebih cekap terhadap kecemasan, memantau kawasan awam dengan lebih berkesan dan mencegah sebarang aktiviti jenayah.

Ujarnya,

QI tidak hanya menumpukan terhadap pengawasan semata-mata, tetapi mengintegrasikan ciri seperti amaran komuniti masa nyata, pemantauan alam sekitar dan platform untuk penduduk setempat menyuarakan kebimbangan secara langsung.

Beliau berkata, kamera pada dron yang beresolusi tinggi itu bertujuan untuk mengawasi secara terperinci yang merangkumi keupayaan penglihatan malam bagi operasi dalam keadaan cahaya yang rendah, penjejakan sistem kedudukan sejagat (GPS) untuk navigasi yang lebih tepat dan sebagai penderia alam sekitar bagi memantau kualiti udara atau keadaan berbahaya.

Selain membantu pihak polis dan komuniti bertindak dengan lebih pantas, dron canggih QNET juga menyediakan pandangan udara secara masa nyata, sekali gus mampu membantu pihak polis menilai situasi dengan cepat dan bertindak dengan lebih cekap.

Encik Krishna Kumar melihat operasi dron canggih QNET menerusi layar khas.

Kaedah pencegahan jenayah juga menjadi lebih baik dengan adanya kamera beresolusi tinggi dan liputan kawasan yang luas membolehkan pemantauan berkesan dan berfungsi sebagai pencegah aktiviti jenayah.

Dron tersebut juga berupaya mencapai kawasan yang mencabar atau tidak selamat untuk dicapai oleh anggota seperti kawasan terpencil, berisiko tinggi dan sesak, selain keselamatan awam dapat dipertingkat.

Dengan keupayaan penglihatan malam dan penderia pemantauan alam sekitar, dron berkenaan dapat memastikan kesiapsiagaan operasi 24 jam dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap langkah keselamatan yang diambil oleh pihak polis.

Katanya lagi,

Satu daripada elemen penting dalam kejayaan program ini adalah bersifat inklusif, yakni QI amat komited untuk menyediakan peralatan, latihan dan sumber yang diperlukan oleh penduduk di daerah Petaling Jaya bagi berinteraksi dengan teknologi ini secara efektif.

Di QI, teknologi dilihat sebagai pemangkin yang berkuasa untuk melakukan transformasi positif dalam masyarakat, menangani keperluan semasa dan meletakkan asas bagi pembangunan mampan untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar dalam ucapannya berkata, beliau yakin bahawa dron yang berteknologi tinggi berupaya meningkatkan kemampuan operasi mereka serta membolehkan pihaknya berkhidmat dan melindungi komuniti dengan lebih baik.

Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar ketika menyampaikan ucapan.

Beliau menekankan bahawa kolaborasi yang merangkumi pemindahan ilmu ini bukan sahaja memberikan peralatan teknologi maju kepada pihaknya, malah memperkukuh semula semangat komuniti dan saling berkongsi tanggungjawab yang dipikul.

Ujar beliau,

Anggota yang dipertanggungjawabkan untuk menggunakan dron berkenaan telah menjalani latihan dan pelaksanaannya akan bermula pada minggu hadapan untuk membantu dalam operasi sukar seperti mencari orang hilang, mangsa bencana dan perhimpunan aman tanpa permit.

Program diakhiri dengan sesi pertunjukan dron di bawah pengendalian Encik Mohd Shafiq Azmi dan Encik Ng Swee Wey dari QNET.

QNET merupakan syarikat yang menggunakan model perniagaan jualan langsung untuk mempromosikan produk unik untuk membantu pengguna menjaga kesihatan dan gaya hidup masing-masing.

Sejak tahun 1998, produk inovatif dan model perniagaan berpacukan e-dagang QNET telah membantu pelanggan dan usahawan mikro, selaras dengan misinya “Raise Yourself to Help Mankind”.

Barangan kemas dan jam tangan mewah Bernhard H. Mayer, produk penjagaan rumah, barangan kesihatan, penjagaan diri dan pakej percutian adalah antara produk terkenal keluaran QNET.

Sesi pertunjukan dron QNET di Menara QI.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Superintenden M. Hussin Sollehuddin Zolkifly; Pengarah QNET, YBhg. Dato’ Narenasagaran Thangaveloo dan Pengurus Besar Serantau QI, Puan Pushpalata Balan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi