Diterbitkan pada 19 November 2024, 10:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – Program “Fit and Fun 2024” yang dianjurkan oleh pelajar tahun tiga program Sains Pemakanan dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di pekarangan Surau At-Taufiqiyyah, Taman Kajang Perdana adalah untuk mempromosikan kepentingan pemakanan yang seimbang dan gaya hidup sihat.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga Taman Kajang Perdana yang dipengerusikan oleh Encik Anuar Idris ini merupakan inisiatif para pelajar dalam memenuhi keperluan kursus Amalan Pemakanan Komuniti.

Sesi kaunseling mengenai pemakanan yang sihat bersama-sama para peserta.

“Usaha yang berterusan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesihatan secara keseluruhan melalui pemakanan dan gaya hidup sihat adalah penting, terutamanya dalam dunia moden yang penuh dengan makanan yang tidak berkhasiat seperti makanan segera, makanan berlemak dan bergula tinggi,” kata Timbalan Dekan (Prasiswazah), FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Mazlyfarina Mohamad ketika merasmikan program berkenaan.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, prevalens penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia menunjukkan trend yang amat membimbangkan.

Sebanyak 54.4 peratus orang dewasa dilaporkan mempunyai berat badan yang berlebihan dengan 21.8 peratus daripadanya obes dan sebanyak 54.5 peratus pula mengalami obesiti abdomen, sekali gus program yang menggalakkan perubahan gaya hidup ke arah yang lebih sihat amat diperlukan.

Program yang bertemakan “Pemakanan Sihat Amalan Kita” itu menyediakan pelbagai aktiviti berkaitan dengan pemakanan dan gaya hidup sihat seperti demonstrasi masakan sihat, pameran kesihatan, pameran interaktif pengurusan tekanan dan kualiti tidur, pemeriksaan kesihatan dan sembang sihat, senamrobik serta sukaneka.

YBrs. Profesor Madya Dr. Mazlyfarina Mohamad (kiri) ketika mengunjungi pameran kesihatan yang disediakan.
Demonstrasi masakan sihat oleh cef Mohd Khairuddin Noor Khalib.
Ujian paras kolesterol dan gula dalam darah adalah antara sesi saringan kesihatan yang dijalankan dalam program “Fit and Fun 2024”.

Kesemua aktiviti berkenaan merupakan intervensi untuk membantu menangani isu kesihatan yang dihadapi oleh komuniti setempat berikutan tinjauan penilaian keperluan yang telah dijalankan pada April yang lalu.

Brosur dan aplikasi mengenai panduan kualiti tidur dan pengurusan tekanan.

Kehadiran lebih daripada 80 orang peserta dalam kalangan penduduk setempat menjadi bukti program tersebut mendapat sambutan yang sangat baik, sekali gus menjadi platform kepada para pelajar untuk menggunakan ilmu yang dimiliki oleh mereka secara praktikal sambil menyumbang kepada komuniti, sejajar dengan hasrat UKM untuk melahirkan graduan yang berwibawa dan berimpak tinggi.

Pengarah program “Fit and Fun 2024”, Lee Jia Wei berkata, program ini sememangnya dapat memberikan ilmu yang bermanfaat dan motivasi ke arah perubahan tabiat pemakanan yang seimbang dan gaya hidup yang lebih positif dalam kalangan komuniti.

Dengan statistik NHMS 2023 yang menunjukkan peningkatan ketara dalam prevalens NCD sejak beberapa tahun kebelakangan ini, usaha seperti pelaksanaan program ini adalah sangat relevan untuk memperkasakan komuniti ke arah kesihatan yang lebih baik serta menjadi pemangkin kepada perubahan gaya hidup yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi