Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPort Dickson – Kumpulan UTARA yang mempertaruhkan sebuah produk yang diberikan nama Fire Guard telah diumumkan sebagai johan dalam Pertandingan Inovasi bersempena dengan Sambutan Minggu Inovasi Tahun 2024 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Jika sebelum ini kumpulan UTARA yang mewakili Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dinobatkan sebagai johan bagi Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Selangor, skrip yang sama telah dilakarkan pada peringkat kebangsaan.
Menurut Ketua Balai BBP Klang Utara merangkap ketua kumpulan UTARA, Tuan Shaharil, terdahulu mereka telah melalui sesi saringan yang dijalankan secara dalam talian dan terpilih dalam senarai lima kumpulan terbaik untuk bertanding pada peringkat kebangsaan.
Ujar beliau,
Alhamdulillah, hasil usaha yang tidak berbelah bahagi dan ketekunan ahli kumpulan UTARA yang tanpa jemu menyiapkan dokumentasi dan produk, akhirnya kejayaan menjadi milik kumpulan ini.
Fire Guard merupakan alat yang mampu mengesan kebakaran, menghantar pelaporan serta maklumat penting premis dan pemilik premis kepada pihak bomba secara automatik.
Fire Guard hasil inovasi kumpulan UTARA ini juga mampu mengesan kebocoran gas dan membantu membuat pelaporan insiden binatang buas seperti ular dan musang dengan lebih pantas dan tepat.
Selain kumpulan UTARA, empat lagi kumpulan yang bersaing dalam pertandingan berkenaan ialah kumpulan Temu Padu dari JBPM Negeri Melaka; kumpulan Pendiat dari JBPM Negeri Kedah; kumpulan D’resq Bravo dari JBPM Kuala Lumpur dan kumpulan Serai In-Tech dari JBPM Negeri Perak.
Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang telah diadakan dalam Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Minggu Inovasi Tahun 2024 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Lexis Hibiscus Port Dickson yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun.
Dalam pertandingan inovasi tersebut, kumpulan D’resq Bravo yang mewakili BBP Setapak, Kuala Lumpur berjaya memperoleh tempat kedua.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah JBPM, YBhg. Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad dan pengurusan tertinggi JBPM.