Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) berpeluang menyertai pameran dalam Majlis Penutup Karnival Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics (MT) 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan yang diadakan di Dewan Perdana, Putrajaya International Convention Centre dengan mengetengahkan produk dan perkhidmatan berkaitan dengan aplikasi teknologi nuklear.
Penganjuran MSN dan MT 2024 merupakan satu daripada inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi.
“Pelaksanaan kedua-dua program ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 yang bertujuan untuk menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran tentang sains, teknologi dan inovasi secara besar-besaran pada pelbagai peringkat,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Tuan Chang Lih Kang ketika merasmikan Majlis MSN dan MT 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan.

Antara yang menarik perhatian pengunjung dalam program yang dianjurkan pada kali ini termasuklah Projek Mobil Robotik dan Kejuruteraan Nuklear, Teknologi Dron dan Simulator, Program Latihan dan Pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Program Jangkau Luar Pendidikan Nuklear.

Dalam hal ini, Nuklear Malaysia mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan pasukan yang telah berjaya melepasi peringkat akhir dalam kedua-dua program berkenaan.