18 November 2024, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kanser kolorektal merupakan ancaman kesihatan yang serius di Malaysia. Namun begitu, kesedaran tentang kepentingan saringan ini masih rendah, terutamanya dalam kalangan komuniti Perumahan Rakyat (PPR).

Dalam temu bual bersama-sama pakar gastroenterologi, Profesor Dr. Raja Affendi Raja Ali, beliau menekankan bahawa pentingnya strategi saringan yang disesuaikan dengan keperluan komuniti berisiko. Tindakan ini penting bagi memastikan kesihatan awam terjamin dan mencapai golongan yang sering terpinggir daripada inisiatif saringan.

Pendekatan baharu seperti pengenalan kit saringan immunochemical fecal occult blood test (IFOBT) yang boleh digunakan di rumah membuka peluang untuk meningkatkan capaian saringan dalam kalangan komuniti PPR. Ujian ini direka untuk memudahkan proses saringan kanser kolorektal bagi golongan berpendapatan rendah serta mereka yang tinggal di kawasan yang mungkin berhadapan dengan cabaran kekurangan kemudahan kesihatan.

Kit saringan IFOBT ini boleh diedarkan melalui pusat komuniti. Sesetengah pihak berkuasa kesihatan juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma ke pusat saringan bagi mereka yang sukar untuk ke klinik kesihatan.

Bagi individu yang terikat dengan komitmen kerja, IFOBT di rumah (home-based) membantu menjimatkan masa dan tenaga. Melalui kit yang terdapat di rumah, mereka boleh menjalani saringan pada waktu yang sesuai tanpa perlu mengambil cuti atau mengubah jadual kerja untuk mendapatkan akses kepada ujian.

Tambahan pula, jika keputusan ujian ini positif, pesakit boleh terus ke pusat endoskopi yang berhampiran tanpa memerlukan rujukan tambahan. Langkah ini mengurangkan masa yang diperlukan untuk mendapatkan rawatan lanjut dan mempercepatkan proses diagnosis serta intervensi, khususnya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

Penggunaan strategi endoskopi akses terbuka juga dicadangkan sebagai usaha mengurangkan halangan dalam penjagaan kesihatan. Bagi pesakit yang sudah mendapat keputusan positif daripada ujian saringan, strategi ini membenarkan mereka untuk terus ke pusat endoskopi tanpa perlu mendapatkan rujukan daripada pakar lain. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan masa menunggu, malah mempercepat pengesanan serta rawatan kanser kolorektal, sekali gus mengurangkan beban rawatan pada peringkat lanjutan.

Strategi ini sangat bermanfaat kepada golongan berpendapatan rendah yang mungkin terhalang dengan kos tambahan atau waktu yang terbuang dalam proses rujukan. Pelaksanaan langkah ini dapat memberiksn impak besar kepada sistem saringan kesihatan dengan memastikan setiap pesakit yang berisiko mendapat rawatan tepat pada masanya tanpa gangguan yang tidak perlu.

Teknologi juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan keberkesanan saringan kanser kolorektal. Inisiatif penggunaan aplikasi mudah alih dan Internet benda perubatan atau Internet of medical things (IoMT) dijangka mempercepat proses susulan dan memudahkan penghantaran keputusan ujian ke klinik kesihatan untuk tindakan susulan.

Teknologi digital ini, menurut Profesor Dr. Raja Affendi Raja Ali membantu mengurangkan kelewatan yang biasa dihadapi oleh pesakit apabila mereka memerlukan rawatan susulan. Aplikasi ini juga membolehkan penyelarasan maklumat antara pesakit dengan pusat kesihatan apabila keputusan ujian boleh disampaikan secara automatik ke pusat rujukan tanpa perjumpaan fizikal yang berulang, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem perubatan secara keseluruhan.

Profesor Dr. Raja Affendi Raja Ali juga percaya bahawa saringan kanser kolorektal perlu menjadi agenda nasional yang disokong oleh pelbagai pihak, termasuklah kerajaan, sektor swasta dan komuniti. Langkah proaktif ini bukan sahaja melibatkan kemudahan perubatan, tetapi juga strategi promosi kesedaran yang berkesan.

Profesor Dr. Raja Affendi Raja Ali semasa menyampaikan Syarahan Perdana Profesor di Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia yang bertajuk “Rawatan Terkini dan Hala Tuju Penyelidikan Berimpak Tinggi Penyakit Radang Usus di Malaysia” pada 16 Februari 2024.

Beliau mengesyorkan agar media massa seperti televisyen, radio dan media sosial lebih proaktif dalam meningkatkan kesedaran rakyat tentang bahaya kanser kolorektal serta kepentingan pengesanan awal. Usaha ini dapat membantu meningkatkan kepekaan rakyat terhadap kanser dan mendorong lebih ramai untuk menjalani saringan awal yang amat penting bagi meningkatkan kadar pengesanan awal kanser kolorektal, sekali gus menyelamatkan nyawa mereka yang mungkin berisiko tinggi.

Selain pelibatan kerajaan, sektor swasta juga boleh memainkan peranan dalam usaha ini, terutamanya syarikat insurans yang boleh menurunkan premium bagi pelanggan yang melakukan saringan dan memperoleh keputusan negatif. Langkah ini bukan sahaja memberikan insentif kewangan kepada pelanggan, malah membantu mengurangkan beban kos rawatan untuk kes yang dikesan pada peringkat awal.

Tambahan lagi, kerjasama antara klinik swasta dengan kerajaan mampu meluaskan capaian saringan kanser kolorektal, terutamanya di kawasan yang jauh dari klinik kerajaan. Klinik swasta boleh menetapkan sasaran bulanan untuk saringan dan diberikan insentif atas pencapaian mereka dalam menyokong kesihatan komuniti setempat.

Penerangan tentang penggunaan kit saringan IFOBT yang boleh digunakan di rumah dalam program saringan kanser kolorektal di salah sebuah PPR di Kuala Lumpur.

Di samping itu, pendekatan “command center” yang memantau status saringan kanser kolorektal di seluruh negara boleh dipertimbangkan untuk memastikan bahawa usaha saringan dijalankan secara menyeluruh. Ketersediaan data langsung daripada pelbagai kawasan membolehkan pihak berkuasa kesihatan dapat mengenal pasti lokasi yang memerlukan lebih banyak perhatian dan sumber serta memberikan fokus yang tepat dalam menyokong populasi yang memerlukan.

Pada masa yang sama, penggunaan selebriti dan tokoh masyarakat sebagai duta kesihatan turut terbukti berkesan di Malaysia. Antara peranan utama golongan ini dalam usaha ini termasuklah menyampaikan mesej kesedaran kanser kepada masyarakat

Di samping itu, Profesor Dr. Raja Affendi Raja Ali berpendapat bahawa Malaysia perlu menumpukan perhatian kepada langkah proaktif dalam penjagaan kesihatan, khususnya dalam pengesanan awal kanser kolorektal. Pengetahuannya yang luas dan pengalaman sebagai mantan Dekan Fakulti Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2019 hingga tahun 2022, beliau menyumbangkan banyak idea yang berkesan dan mudah dilaksanakan bagi memudahkan masyarakat umum, terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan B40.

Kepakarannya dalam bidang perubatan juga melayakkan beliau untuk memegang jawatan penting pada peringkat antarabangsa dan tempatan seperti Setiausaha Agung Persatuan Gastroenterologi Asia Pasifik dan Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia. Pelibatannya sebagai Presiden Kongres Asia Pacific Digestive Week pada tahun 2020 serta jawatannya dalam Jawatankuasa Pendidikan bagi Organisasi Asia untuk Penyakit Crohn dan Kolitis serta Jawatankuasa Penyelidikan Klinikal bagi Organisasi Gastroenterologi Sedunia memperkukuhkan kedudukannya sebagai tokoh utama dalam bidang ini.

Kesimpulannya, melalui pelbagai usaha yang dijalankan ini, diharapkan agar lebih banyak individu yang berisiko dalam komuniti berpendapatan rendah akan menjalani saringan awal, sekali gus mengurangkan kadar kematian akibat kanser kolorektal di negara ini. Kejayaan inisiatif ini amat bergantung pada kerjasama antara pelbagai pihak dalam membina kesedaran dan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang boleh dicapai oleh segenap lapisan masyarakat.

Usaha bersepadu antara kerajaan, sektor swasta, komuniti dengan setiap individu di negara ini membolehkan Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang lebih sihat dan peduli akan kesihatan rakyatnya. Langkah proaktif bukan sahaja mampu mengurangkan kadar kes kanser peringkat akhir, malah membawa harapan untuk mengurangkan kos penjagaan kesihatan jangka panjang dan menjamin kualiti hidup yang lebih baik bagi setiap rakyat.

 

Mohd Arman Kamaruddin,
Pelajar Sarjana Pembangunan Komuniti,
Fakulti Ekologi Manusia,
Universiti Putra Malaysia.

Pegawai Sains Kanan,
Institut Biologi Molekul Perubatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.