Oleh Hamdan Abu
Diterbitkan pada 16 November 2024, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muar – Sebanyak 10 orang ahli jawatankuasa (AJK) dan anak kariah Masjid Jamek Pekan Panchor menghadiri program “Brick to Click: Digitalization Mosque” bagi mempelajari asas menggunakan aplikasi TikTok dan Facebook secara percuma.

Program yang diadakan selama dua hari itu dikendalikan oleh penuntut dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Kampus Pagoh.

Tujuan program berkenaan dianjurkan adalah untuk memberikan bimbingan dan pendedahan kepada AJK Masjid Jamek Pekan Panchor mengenai penggunaan TikTok dan Facebook agar mereka dapat menggunakannya dengan cara yang betul.

Menerusi program ilmu ini, AJK masjid berkenaan yang terlibat dapat menghebahkan segala maklumat dan aktiviti masjid melalui media sosial tersebut.

Penyelaras program, Nur Humaira Hamdan (23 tahun) merangkap penuntut tahun akhir jurusan Komunikasi Bahasa Inggeris di UIA berkata, sesi bimbingan itu juga bertujuan untuk mempromosikan Masjid Jamek Pekan Panchor dan menggalakkan AJK serta ahli kariahnya menggunakan media sosial secara berkesan.

Penyelaras program “Brick to Click: Digitalization Mosque”, Nur Humaira Hamdan.

Ujar beliau,

Program ini merupakan usaha yang dilakukan oleh para penuntut merangkap sukarelawan di UIA ke arah pendigitalan di masjid terpilih yang masih belum memanfaatkan teknologi digital.

Jelas beliau, program seumpama ini juga dapat melatih dirinya dan rakan yang lain untuk mengukuhkan komunikasi dan mempraktikkan segala ilmu yang diajar sepanjang pengajian di universiti kepada orang lain.

Kata beliau,

Selepas ini, kami akan memasuki alam pekerjaan dan sudah tentunya komunikasi yang baik mampu memudahkan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Tambah beliau, peserta program yang berusia antara 16 tahun hingga 50 tahun itu dibimbing oleh 11 orang fasilitator dari UIA untuk menggunakan komputer riba dan tablet yang disediakan.

Fasilitator dari UIA ketika membimbing para peserta dalam program “Brick to Click: Digitalization Mosque”.

Untuk rekod, Masjid Jamek Pekan Panchor yang dibina pada tahun 1970-an di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Haji Mohd Noor Haji Jasa dan Patimah Haji Madon itu terletak di tebing Sungai Panchor, iaitu kira-kira 15 minit perjalanan dari Pekan Panchor dan terdapat sebuah tanah perkuburan di sebelah masjid ini untuk ahli kariah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi