Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSegamat – Program bersama-sama komuniti bagi pemasangan Jeti Terapung Biokomposit (JTB) di Kampung Tekam, Pogoh 3, Johor anjuran Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) di bawah Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merupakan alternatif kepada jeti nelayan sedia ada berikutan keadaan di kawasan jeti itu terdedah kepada risiko banjir.
Jeti tersebut dibina dengan menggunakan teknologi inovasi struktur terapung biokomposit yang mesra alam dan terdiri daripada teknologi modul apungan radiation crosslinked HDPE (Rx-HDPE) yang telah mendapat sijil pendaftaran reka bentuk industri oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta penggunaan bahan pelantar biokomposit.
Teknologi ini adalah antara aplikasi teknologi Struktur Hidrodinamik Terapung Biokomposit (SHARK) yang dibangunkan sendiri oleh para penyelidik dari Nuklear Malaysia.
Pemasangan jeti terapung tersebut telah dilaksanakan bersama-sama penduduk setempat secara bergotong-royong yang turut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’. Ts. Dr. Haji Aminuddin Hashim dan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan.

Jeti terapung ini akan menjadi hab penyaluran bekalan bantuan keperluan harian semasa berlakunya banjir, selain dijadikan platform bagi pendaratan ikan dan bot nelayan, sekali gus sebagai satu daripada pusat tarikan pelancong ke Kampung Tekam sambil menikmati hidangan ikan sungai di Restoran Nelayan Kampung Tekam yang bersebelahan dengan JTB ini.
Dengan adanya pembinaan JTB ini, penduduk setempat diharapkan dapat menikmati manfaat dan sumbangan daripada penggunaan teknologi nuklear.