Oleh Suzielah Rahmad
13 November 2024, 14:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banjir kilat telah menjadi bencana alam yang semakin merisaukan, terutamanya di kawasan bandar apabila pembangunan pesat dan perubahan iklim memburukkan lagi kekerapan dan keamatannya. Banjir kilat selalunya disebabkan oleh hujan lebat dalam tempoh yang singkat, namun kesannya boleh menghanyutkan kenderaan, merosakkan bangunan dan meragut nyawa.

Banjir kilat terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Dua elemen utama penyebab banjir kilat ialah kadar dan tempoh turunnya hujan. Selain itu, faktor lain seperti topografi, keadaan tanah dan penutup tanah juga memainkan peranan utama dalam kejadian banjir kilat.

Kadar hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh dua hingga empat jam berupaya menyebabkan banjir kilat. Walau bagaimanapun, hujan monsun lazimnya turun dalam tempoh yang lebih panjang dengan letusan lebat sekejap-sekejap dan keamatannya kadangkala boleh melebihi beberapa ratus milimeter dalam tempoh 24 jam.

Walaupun mustahil untuk menghalang kejadian banjir kilat, manusia boleh memainkan peranan dalam meminimumkan risikonya. Bermula dari kediaman persendirian, beberapa langkah atau amalan, jika diamalkan secara kolektif, mampu membawa perubahan yang besar.

Antara langkah yang boleh diambil tindakan secara sendirian mahupun dalam komuniti bagi mencegah banjir kilat dan mengurangkan kesannya secara lokal dan holistik termasuklah:

 

Mengurangkan permukaan kedap air

Kawasan bandar biasanya dipenuhi dengan permukaan kalis air seperti konkrit, asfalt dan struktur bangunan yang menghalang air hujan daripada meresap ke dalam tanah. Keadaan ini meningkatkan larian air permukaan, lalu membawa kepada pengumpulan air yang lebih cepat di kawasan rendah dan menyumbang kepada banjir kilat.

Menggantikan sebahagian daripada turapan atau konkrit di halaman rumah dengan bahan telap seperti kerikil, rumput atau penurap berliang boleh mengurangkan air larian permukaan. Kawasan hijau di sekitar kejiranan seperti padang dan taman rekreasi komuniti juga amat membantu air meresap ke dalam tanah secara semula jadi. Pihak pejabat berkuasa tempatan (PBT) boleh memilih untuk menggunakan bahan telap untuk pembangunan jalan raya dan kaki lima.

 

Melaksanakan penuaian air hujan

Penuaian air hujan ialah pengumpulan dan penyimpanan air hujan untuk digunakan semula di taman, tandas atau mencuci kereta. Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) ialah satu daripada amalan pengurusan terbaik dalam pengurusan air yang berkesan.

Amalan ini mengurangkan isi padu air yang mengalir ke dalam sistem perparitan semasa hujan lebat dan seterusnya mengurangkan kemungkinan banjir kilat. Usaha ini boleh dilakukan dengan memasang tong hujan di hujung saluran air untuk mengumpulkan air dari atas bumbung. Tindakan ini bukan sahaja membantu mengurangkan air larian, malah membekalkan isi rumah air percuma untuk kegunaan selain penyediaan makanan dan minuman.

Amalan ini juga boleh dijalankan secara individu, dalam aktiviti kejiranan atau persatuan komuniti di bangunan kediaman persendirian atau di kemudahan awam. Gari spanduan amalan dan reka bentuk sistem ini boleh diperoleh secara percuma di laman sesawang Jabatan Kerja Raya Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran dan pihak berkuasa tempatan lain.

Menyelenggara sistem saliran

Satu daripada punca utama banjir kilat, terutamanya di bandar ialah sistem perparitan yang tersumbat. Apabila longkang dan parit tersumbat dengan daun kering atau sampah sarap, air hujan tidak dapat disalirkan ke mana-mana salur keluar, lalu menyebabkan air berkumpul dan bertakung sehingga mengakibatkan banjir kilat. Oleh itu, longkang dan saluran air di rumah atau bangunan milik persendirian perlu selalu dibersihkan untuk memastikan air boleh mengalir dengan bebas dari hartanah masing-masing.

Orang ramai juga seharusnya mengelakkan membuang sampah, terutamanya plastik dan sisa tidak terbiodegradasi lain ke dalam parit awam atau saluran air. Komuniti setempat boleh juga mengambil bahagian dalam aktiviti dan program pembersihan parit dan saliran setempat untuk memastikan sistem saliran tempatan bebas daripada sampah dan bahan buangan.

Menanam lebih banyak pokok dan tumbuh-tumbuhan

Pokok dan tumbuh-tumbuhan memainkan peranan penting dalam mencegah banjir kilat dengan memperlahankan air larian, menggalakkan penyerapan air dan menstabilkan tanah. Akar tumbuhan menyerap air dan seterusnya mengurangkan jumlah yang menyumbang kepada larian permukaan.

Masyarakat setempat boleh menyumbang kepada inisiatif ini dengan menanam pokok dan tumbuhan renek di sekitar hartanah. Pihak berkenaan juga boleh memberikan galakan kepada komuniti untuk meningkatkan kehijauan bandar dengan mengadakan program yang berkaitan.

Orang ramai juga dianjurkan untuk mengambil bahagian dalam program penghutanan semula atau penanaman pokok yang selalu dianjurkan oleh pihak berkepentingan seperti syarikat korporat atau PBT, terutamanya di kawasan yang terdedah kepada banjir dan banjir kilat. Dengan menyokong usaha pihak berkuasa tempatan dan kebangsaan tersebut, selain dapat menjadi penghalang banjir semula jadi, pokok dan tumbuhan ini juga bermanfaat untuk memelihara kelembapan tanah serta habitat semula jadi flora dan fauna lain.

Membina taman hujan

Taman hujan ialah taman buatan yang berlekuk dan cetek yang ditanam dengan pelbagai tumbuhan hiasan. Kewujudan taman hujan membolehkan air hujan diserap ke dalam tanah dan tidak mengalir terus ke longkang dan parit awam.

Taman hujan amat berguna dalam persekitaran bandar untuk mengurangkan air larian dan mencegah banjir. Taman ini juga boleh dibina di kediaman persendirian sebagai hiasan laman sebagai kaedah untuk mengurangkan air larian.

Taman hujan di halaman rumah boleh dibina untuk menangkap air larian dari bumbung atau jalan masuk ke hartanah. Taman hujan telah lama diadaptasikan sebagai satu daripada usaha mencegah banjir kilat di luar negara.

Panduan reka bentuk dan idea binaan taman hujan boleh dimuat turun dengan percuma dalam laman sesawang dan media sosial. Kerjasama dengan kerajaan tempatan atau persatuan kejiranan untuk membina taman hujan komuniti di kawasan awam seperti taman atau sekolah merupakan usaha murni yang perlu diberikan perhatian.

Banjir kilat mungkin berlaku secara tiba-tiba dan boleh menjadi bencana, namun kesannya boleh dikurangkan dengan usaha kolektif individu dan komuniti. Pihak kerajaan juga telah lama menggalakkan amalan reka bentuk infrastruktur hijau bagi menguruskan air ribut dan mengurangkan risiko banjir serta pelaksanaan reka bentuk bandar mampan yang merangkumi strategi tebatan banjir dalam pembangunan baharu.

Selain daripada merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan, lima amalan atau langkah yang disarankan juga terangkum dalam program Local Agenda 21 yang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan bersama-sama pihak berkepentingan yang terdiri daripada syarikat korporat dan badan bukan kerajaan. Dengan melakukan perubahan kecil tetapi ketara pada gaya hidup, kediaman dan persekitaran bandar, setiap daripada kita boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko banjir. Kerjasama semua pihak juga boleh membina komuniti yang lebih berdaya tahan dan bersedia untuk menghadapi cabaran iklim yang sentiasa berubah-ubah.

Akhir sekali, masyarakat perlu sentiasa cakna tentang punca dan risiko banjir kilat agar langkah pencegahan boleh diambil dengan serius. Orang ramai juga disarankan untuk sentiasa mengikuti ramalan cuaca tempatan, terutamanya semasa musim hujan dan monsun di samping mengambil perhatian tentang amaran banjir di kawasan masing-masing.

Maklumat cuaca boleh diperoleh dari laman sesawang dan aplikasi oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. Maklumat aras sungai pula boleh disemak di laman sesawang dan aplikasi Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

 

Dr. Suzielah Rahmad,
Jurutera Perunding Bebas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.