Diterbitkan pada 9 November 2024, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Industri kurier Malaysia kini memasuki fasa baharu dengan kemajuan pesat dalam teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), yang dianggap sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh perkhidmatan serta kepuasan pelanggan. 

Dalam ucapan beliau bersempena dengan Hari Kurier Negara 2024 pagi tadi, Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil menekankan bahawa pemain industri kurier perlu menyertai ekosistem digital yang berkembang pantas.

Kecerdasan buatan (AI) berperanan dalam mengautomasi perkhidmatan pelanggan, memperkukuhkan infrastruktur digital dan meningkatkan sistem jejak masa nyata bagi laluan penghantaran. Jelasnya lagi,

Transformasi ini menuntut visi yang jelas dan strategi yang terancang untuk mencapai kecekapan dan pengalaman pelanggan yang optimum.

Selain itu, beliau menyeru industri kurier agar mengambil langkah ke arah kelestarian alam sekitar dengan melabur dalam teknologi hijau, termasuklah dalam aspek penggunaan kenderaan penghantaran elektrik dan pembungkusan mesra alam. 

Sinergi antara industri kurier dengan sektor lain seperti e-dagang, runcit, dan pembuatan juga penting bagi mempercepatkan inovasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Ujarnya,

Kementerian Komunikasi komited menyokong perkembangan ini bukan sahaja dalam aspek kelestarian tetapi juga transformasi digital yang seiring dengan teknologi terkini.

Beliau juga percaya bahawa industri kurier Malaysia akan terus menjadi komponen utama dalam ekonomi digital negara, selaras dengan matlamat untuk mencapai kadar penghantaran 30 bungkusan per kapita menjelang 2025.

Dalam majlis yang sama, beliau menyentuh tentang usaha memperkenalkan program MyKURIER dan Pasport Keselamatan Kurier yang dikendalikan oleh Forum Pos bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). Inisiatif ini yang turut disertai oleh 10 syarikat kurier secara sukarela bertujuan untuk memastikan piawaian keselamatan dan kualiti perkhidmatan kurier yang lebih tinggi. Menurutnya,

Inisiatif seperti MyKURIER bukan sahaja meningkatkan keselamatan pekerja, malah memberi kuasa kepada pengguna untuk membuat pilihan berdasarkan penarafan perkhidmatan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Komunikasi 2, YB Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Sektor Pembangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Puan Stella Jeevanami Navaratnam, Presiden Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC), Encik Ronald Tan, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), YBhg. Prof. Madya Ts Dr. Siti Zaharah Ishak dan Provost Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), YBhg. Prof. Madya Dr. Afandi Ahmad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi