Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Bahagian Dana, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyertai Simposium Penyelidikan dan Pembangunan (SRDC) 2024.
Acara perasmian bagi simposium ini telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Yang Berhormat Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian mewakili Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.
“Satu cabaran utama dalam ekonomi hidrogen ialah mengurangkan kos pengeluaran, maka untuk menangani isu ini, saya ingin mengumumkan bahawa SRDC membuka permohonan geran bertemakan penyelidikan dan pembangunan tenaga,” kata YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak dalam Majlis Perasmian SRDC 2024.
Tambah beliau,
Dengan memudahkan pembiayaan melalui geran berupaya mempromosikan kerjasama untuk memastikan inisiatif penyelidikan adalah selari dengan keutamaan pembangunan Sarawak serta membina keupayaan tempatan.
Simposium yang disokong oleh Kerajaan Negeri Sarawak itu menekankan sumbangan kluster penyelidikan kepada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 dalam bidang perubatan dan bidang yang berkaitan dengannya.
Dalam majlis berkenaan, Nuklear Malaysia telah mempamerkan pelbagai produk hasil penyelidikan oleh para penyelidik, misalnya Samarium-153 EDTMP, produk biokomposit, produk padi NMR-152 dan NuRust serta beberapa produk hasil penyelidikan yang lain.
Dengan adanya pelibatan dari Nuklear Malaysia ini diharapkan dapat membuka peluang penyelidikan dan pengkomersialan teknologi, sekali gus meningkatkan kualiti hidup serta kesihatan rakyat, terutamanya di Sarawak.